Sunday, September 20, 2015

QURBAN DAN ISU POPULAR BERKAITAN

Klik Foto Untuk Zoom

QURBAN DAN ISU POPULAR BERKAITAN

HUKUM QURBAN
Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama termasuklah sahabat besar seperti Abu Bakar as-Siddiq r.a, Umar al-Khattab r.a,  Ibn Mas'ud r.a dan lain-lain, kecuali Imam Abu Hanifah berpendapat ianya WAJIB bagi mereka yang berkemampuan. (Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/ 197)

Allah SWT berfirman : ertinya : "dan berdoalah dan berkorban".

Allah SWT juga menyebut : Ertinya : "Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) mala ia adalah dari tanda ketaqwaan hati" (Al-Hajj : 32)

Sebuah hadis menyebut  :

Ertinya : "Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada hari kurban kecuali berkorban ( dengan menyembelih binatang)" ( Riwayat At-Tirmidzi, Abu Daud ; Gharib, namun terdapat rawi yang dipertikaikan )

HUKUM POTONG KUKU, RAMBUT BAGI ORANG YANG INGIN BERQURBAN

Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang sudah berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri dari memotong rambut dan kuku. Ia berdasarkan hadith riwayat Muslim yang sohih, iaitu :-

Ertinya : Barangsiapa yang ingin menyembelih ( berkurban ), dan telah masuk sepuluh awal Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya  SEHINGGALAH sampai korban dilaksanakan" ( Muslim, 3/39 )

Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.

Bagaimanapun ia tiadalah termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah r.a pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah menempah (menandakan dan membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan Qurban, dan Aisyah r.a menyebutkan, tiadalah Nabi SAW mengharamkan apa-apa (semasa menunggu masa untuk menyembelih) sehinggalah sampai waktu sembelihan. Hadis tersebut adalah sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Oleh itu, adalah dibenarkan untuk memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wudhu dan lain-lain kewajiban.

QURBAN DENGAN BAYAR SEDEQAH DUIT TANPA WAKIL SEMBELIHAN

TIDAK DIBENARKAN juga berkorban hanya dengan membayar harganya atau membeli daging lembu yang telah disembelih dari pasar lalu disedeqahkan atas niat Qurban. Tatkala itu, ia dianggap sedeqah biasa sahaja dan bukannya Qurban yang disyariatkan di hari raya Aidiladha.

Pahala Qurban adalah jauh lebih hebat dari bersedeqah harganya sahaja. Ia adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad dan lain-lain. (Al-Majmu, 8/425 ; Al-Mughni, 9/436)

Adalah diingatkan jua agar meniatkan Qurban itu adalah kerana Allah SWT semata-mata, menuruti sunnah Nabi SAW dan Nabi Ibrahim a.s dan bukannya untuk menyedeqahkan daging atau lain-lain niat.

Firman Allah :

Ertinya : Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik. (Al-Hajj : 37)

KONGSI LEMBU

Harus hukumnya menurut majoriti ulama untuk berkongsi seekor lembu dengan dibahagikan kepada 7 bahagian atau seekor kambing berdasarkan hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Jabir r.a. (Al-Majmu, An-Nawawi, 8/313)

Adalah digalakkan juga untuk menyembelih sendiri (jika berkemampuan) atau menghadiri majlis sembelihan.

Sebuah riwayat hadith pernah mencatatkan nasihat Nabi SAW kepada Fatimah yang ingin berqurban :

Ertinya : "Hadirkanlah dirimu di waktu sembelihan, diampunkan bagimu dari titisan darah sembelihanmu yang pertama"

BINATANG TERBAIK UNTUK KURBAN

Yang terbaik adalah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri, kambing dan jika tidak mampu bolehlah 1/7 dari unta, lembu, kerbau.

Yang terbaik sudah tentulah yang paling banyak dagingnya maka lebih ramai mendapat merasai dan manfaatnya.

QURBAN DI LUAR KAWASAN

Hukum asal, yang terbaik adalah sembelih dengan tangan sendiri di dalam kawasan bagi manfaat orang sekeliling.
Namun, diHARUSKAN mewakilkan seseorang menyembelih di luar kawasan kerana hukum daging Qurban boleh disimpan dan diagihkan kepada sesiapa jua sama ada di dalam kawasan atau mereka yang di luar.

Pun begitu, ulama Mazhab Shafi’e TIDAK MEMBENARKAN dipindah keluar kawasan jika di dalam masih terdapat yang memerlukan. Demikian pendapat sebahagian ulama kontemporari (Ibn Uthaimin & Majlis Fatwa Kuwait) kerana kehilangan maslahat sebenar dari udhiyyah. bayangkan apabila kita mewakilkan seseorang lain melaksanakan qurban itu sudah menyebabkan kita terluput dari melaksanakan sunnah sembelihan dengan tangan sendiri sebagaimana Rasulullah TIDAK PERNAH mewakilkan sembelihan baginda kepada orang lain.

Malah sewaktu hari raya Qurban berlangsung, bagi mereka yang mewakilkan kepada pihak lain, apakah yang dapat mereka rasakan dari ibadah Qurban kecuali hanya seolah menyedeqahkan wang sahaja, sepatuttnya Qurban MELEBIHI DARI hanya sekadar sedeqah wang dan makanan, ia adalah suatu ibadah khas menghidupkan syiar dalam komuniti dan diri.

GABUNG QURBAN DAN AQIQAH

Mazhab Syafi’e, Maliki & Pandangan Ahmad : Tidak boleh kerana maksud keduanya berbeza. Qurban objektifnya untuk diri dan menaikkan syiar Allah, manakala aqiqah adalah tanda kesyukuran atas kurniaan anak. Imam Ibn Hajar Al-Haithami Al-Syafie :

Ertinya : Yang jelas dari perkataan ulama mazhab, iaitu jika diniatkan seekor kambing untuk qurban dan aqiqah sekaligus, TIADA DIPEROLEHI SALAH SATU ANTARA KEDUANYA, kerana keduanya sunnah yang maqsudah atau khas pada tujuan tertentu.

Pun begitu, Mazhab Hanafi, Pandangan Ahmad, Alhasan Basri, Ibn Sirin & Qatadah serta Majlis Fatwa Kuwait : Harus di gabung semua dengan niat Qurban, atau sebahagian qurban dan sebahagian aqiqah.
Pandangan yang terpilih adalah tidak menggabungkannya jika punyai kemampuan.

Klik Foto Untuk Zoom
PEMBAHAGIAN DAGING

Daging qurban yang telah siap dilapah bolehlah dibahagikan SEPERTI BERIKUT :

§        1/3 (sepertiga) kepada tuan rumah yang berqurban,

§        1/3 (sepertiga) kepada faqir miskin termasuklah jirannya dan saudara mara dan

§        1/3 (sepertiga) lagi bagi sesiapa yang memintanya.

Ia berdasarkan firman Allah SWT :

Ertinya : "Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan faqir." (Al-Haj : 28) dan juga firman Allah :

Ertinya "Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya dan yang tidak memintanya" (Al-Haj : 36)

Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW sebagaimana riwayat Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a. Namun demikian HARUS (DIBENARKAN) untuk tidak mengikut cara pembahagian ini SAMADA UNTUK MAKAN KESELURUHANNYA ATAU KEBANYAKKANNYA. (Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/200)

UPAH KEPADA TUKANG SEMBELIH DAN LAPAH SERTA JUAL DAGING QURBAN

Bagaimanapun DILARANG untuk memberikan tukang-tukang lapah dan penyembelih upah atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal), bagaimanapun ia harus jika dia termasuk dari kalangan faqir miskin atau diberikan secara sukarela orang ramai sebagai hadiah. Ini berdasarkan sebuah hadis

Ertinya : Rasulullah mengarahkan aku agar TIDAK memberi pelapah sesuatu apa (upah) pun. ( Riwayat Al-Bukhari)

Pun begitu, boleh diberikan daging qurban sebagaimana orang lain.

TIDAK DIBENARKAN juga sepakat ulama untuk menjual dagingnya.

Namun tidak sepakat berkenaan penjualan kulit, bulunya dan tulang hasil Korban. Majoriti mazhab termasuk Syafie tidak membenarkan. (Bidayatul Mujtahid, Ibn Rusd Al-Hafid, 1/321 ( cet Maktabah al-Riyadh al-Hadithiyah) ; Rawdah At-Tolibin, An-Nawawi, 3/225)
DIBENARKAN untuk menyimpan daging-daging kurban walaupun melebihi 3 (tiga) hari berdasarkan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim.

MEMBERI DAGING KORBAN KEPADA ORANG KAFIR

Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, sebahagian mazhab mengatakannya HARAM, ada yang mengatakannya MAKRUH dan Mazhab Hanbali, Hanafi mengatakannya sebagai HARUS kerana ia bukannya sedeqah wajib. (Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/201)

Namun tiada khilaf, mendahulukan umat Islam adalah lebih utama dalam hal ini.

BERQURBAN ATAU MEMBAYAR HUTANG

Bolehkah seorang yang dibebani hutang bank dan rakan berkorban sekali setahun demi tawaran pahalanya?.

Untuk menentukan keutamaan samada menjelaskan hutang atau melakukan ibadah kurban kita perlu melihat kepada jenis hutang, tempoh janji bayaran semula dan kemampuan orang yang berhutang.

Jika ia adalah dari jenis hutang yang telah terancang pembayarannya seperti hutang bank dan selepas ditolak semuanya masih ada baki wang, tatkala itu individu tersebut sewajarnya melihat dan memikirkan berkenaan hutang tidak rasmi dari individu lain atau rakan-rakan serta tempoh yang dijanjikan.

Jika tempoh langsaian hutang masih jauh dan diyakini pendapatan akan datangnya boleh menampung semunya tanggungjawab wajib itu. Di ketika itu  barulah ibadah kurban menjadi utama untuk dilaksanakan.

Ia amat jelas kerana ibadah kurban hanya sunat muakkad sahaja menurut majoriti mazhab mankala langsai hutang dalam tempohnya adalah wajib.

Jika disebabkan oleh ingin berkorban sehingga menyebabkan rakan pemberi hutang pula ‘TERKORBAN', hubungan persaudaraan ‘terkorban', atau hingga menyebabkan pihak bank mengenakan penalti kerana lewat bayar, tidak wajar sama sekali untuk berkorban juga. Keutamaan tetap bagi pelangsaian hutang berbanding berkorban. Demikian pandangan ringkas saya.

SEMBELIH QURBAN GUNA AYAM

Asal hukum mesti bahimatul al-an’am sebagaimana disebut di dalam Al-Quran. Ayam tidak tergolong dalam kategori itu.

Bagi mereka yang tidak mampu, gugurkan kesunatan Qurban dari mereka, namun jika mereka ingin sembelih ayam sebagai ganti, ia hanya menjadi sedeqah biasa. Diriwayatkan Ibn Abbas pernah membeli daging dengan harga satu dirham dan berkata nah, inilah qurban Ibn Abbas, iaitu secara majaz.

QURBAN OLEH ORGANISASI & SYARIKAT?

Ramai yang bertanya dan ramai juga yang melakukan amalan ini. Adakah sebuah syarikat boleh mengeluarkan bajet tertentu untuk membeli dua puluh ekor lembu dan berkorban atas nama syarikat?

Jawabnya ringkas : "TIDAK BOLEH"

Ibadah korban adalah ibadah yang dilakukan oleh individu tertentu atau untuk individu tertentu. Ia bukan untuk organisasi yang bukan manusia. Justeru, sebuah organisasi ingin melaksanakannya, ia MESTI menghadiahkannya kepada mana-mana Pengarah atau kakitangannya. Ketika itu korban barulah sah dan ia menjadi korban oleh individu yang ditentukan namanya sahaja dan bukan atas nama syarikat.

Pihak syarikat terbabit boleh bergilir-gilir menghadiahkan lembu tertentu dan bahagiannya DIHADIAHKAN kepada kakitangan secara khusus UNTUK DILAKSANAKAN sembelihan atau korban, pahala korban akan hanya diperolehi oleh individu dan pihak organisasi pula (iaitu pemilik organisasi iaitu manusia) hanya mendapat pahala kerana ‘menghadiahkan' lembu atau bahagiannya kepada kakitangan sahaja.

Jika pihak syarikat tidak mahu berbuat demikian, bermakna ia mestilah meletakkan secara specific 20 ekor lembu itu, untuk para lembaga pengarahnya secara khusus juga. Ia bukan atas nama syarikat tetapi individu.


QURBAN BINATANG YANG DIKONGSI

a) Yang boleh dikongsi : Lembu, Unta, Kerbau

Dalilnya dari hadis :
Ertinya: Rasulullah berkongsi sewaktu Hajinya bersama kaum Muslimin, seekor Lembu dibahagi tujuh bahagian. (Riwayat Ahmad)

b) Yang tidak boleh dikongsi (Ijma’ ulama) : Kambing, kibash dan sepertinya. Adapun kongsi pahala, terdapat khilaf dan sebahagian mengHARUSkannya.

KONGSI PAHALA QURBAN

a) Ketua keluarga diHARUSkan menyembelih satu bahagian lembu atau kerbau atau unta dan diniatkan pahalanya kepada keluarganya. Ini sebagaimana yang dilakukan oleh Baginda Nabi saw.

b) Namun untuk kongsi pahala dengan seluruh syarikat atau negara, ia tidak dilakukan oleh shabat nabi. Hanya Nabi sahaja yang berqurban dan menyatakan "ini adalah untuk ummatku yang tidak berqurban. Disebutkan di dalam sebuah hadis bahawa Nabi membaca doa ini semasa ingin menyembelih

Nabi berkata : Dengan Nama Allah dan ya Allah terimalah dari Muhammad dan keluarga Muhammad dan ummatnya.