Tuesday, April 16, 2013

Hukum Pelaburan Emas - Syarat-Syaratnya


Pelaburan Emas - Syarat-syaratnya
 
Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah membincangkan mengenai Parameter Pelaburan Emas. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut : -

Setelah mendengar taklimat dan penjelasan daripada Y. Bhg. Prof. Dr. Ashraf Md. Hashim dan Y. Bhg. Ustaz Lokmanulhakim bin Hussain daripada Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA), Muzakarah bersetuju menerima dan memperakukan Parameter Pelaburan Emas seperti berikut:

Harga Belian (al-Thaman)

1. Harga belian (al-Thaman) hendaklah diketahui dengan jelas oleh kedua-dua pihak yang berakad ketika sesi jual beli.

Barang Belian (al-Muthman)

2. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang wujud, dan dimiliki sepenuhnya oleh pihak yang menjual ketika berlangsungnya kontrak jual beli. Oleh itu, jual beli suatu yang tidak wujud secara fizikalnya dan juga jual beli suatu yang tidak dimiliki oleh pihak yang menjualnya adalah tidak sah.

3. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang boleh diserahkan kepada pembeli atau wakilnya. Jika barang belian tidak dapat diserahkan kepada pembeli, ataupun penjual mensyaratkan tidak menyerahnya kepada pembeli, maka akad tersebut tidak sah.

4. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang diketahui oleh kedua-dua pihak yang berakad ketika sesi jual beli. Ia boleh terlaksana melalui kaedah-kaedah di bawah:

i. Melihat sendiri barangan yang hendak dibeli ketika akad jual beli, atau sebelum akad jual beli dalam tempoh yang tidak menjejaskan sifat-sifatnya.

ii. Melihat sampel barangan yang hendak dijual beli. Ini biasanya berlaku semasa proses pemesanan sebelum akad dilaksanakan.

iii. Menentukan sifat-sifat dan kadar barang belian secara terperinci yang secara urufnya tidak menimbulkan pertikaian. Dalam konteks emas, penentuannya adalah dengan mengenalpasti tahap ketulenan emas samada mengikut standard lama berasaskan karat (seperti emas 24 karat), atau standard baru berasaskan peratusan (seperti emas 999). Penentuan sifat juga mestilah mencakupi bentuk emas, samada dalam bentuk syiling, wafer, jongkong dan sebagainya. Timbangan emas secara tepat juga adalah suatu yang disyaratkan dalam penentuan sifat emas.


Sighah

5. Sighah dalam jual beli adalah suatu yang menunjukkan kepada keredhaan kedua-dua pihak untuk memetrai kontrak jual beli. Ia boleh berlaku samada melalui pertuturan, atau suatu yang boleh mengambil hukum pertuturan seperti tulisan dan seumpamanya. Manakala jual beli secara Mu’ataah (serah-hulur) juga adalah dikira sebagai sighah yang muktabar oleh sebahagian fuqaha’.

6. Di dalam sighah jual beli tidak boleh dimasukkan unsur penempohan. Contohnya, seseorang mengatakan, ” Saya menjual barangan ini kepada kamu dengan harga RM100 untuk selama tempoh setahun”.

7. Ijab dan qabul mestilah bersepadanan dan menepati antara satu sama lain dari sudut ciri-ciri dan kadarnya.

Syarat Khusus Jual Beli Emas Yang Bercirikan Item Ribawi

10. Oleh kerana emas dan wang adalah dua item ribawi yang mempunyai illah yang sama, maka syarat tambahan bagi transaksi pembelian atau penjualan emas mestilah memenuhi syarat berikut:

i. Berlaku taqabudh (penyerahan) antara kedua-dua item yang terlibat dalam transaksi sebelum kedua-dua pihak bertransaksi berpisah daripada majlis akad.

ii. Jual beli emas hendaklah dijalankan secara lani, dan tidak boleh berlaku sebarang penangguhan.

Syarat-syarat tersebut adalah khas bagi emas yang bercirikan item ribawi, seperti emas jongkong dan syiling emas. Syarat ini tidak termasuk barang perhiasan emas kerana ia telah terkeluar daripada illah ribawi.

Perincian taqabudh dan urusniaga lani adalah seperti berikut:

Syarat Pertama: Taqabudh

11. Taqabudh (penyerahan) hendaklah berlaku terhadap kedua-dua item jual beli iaitu harga dan juga barang belian (emas), dan ia hendaklah terlaksana sebelum kedua-dua pihak berpisah daripada majlis akad.

12. Penyerahan harga boleh dilakukan melalui kaedah-kaedah berikut:

a. Pembayaran secara tunai

b. Pembayaran secara cek yang diperakui (seperti banker’s cheque)

c. Pembayaran secara cek peribadi

d. Pembayaran secara kad debit

e. Pembayaran secara kad kredit

f. Pemindahan wang daripada akaun simpanan atau semasa.

Secara urufnya, kesemua bentuk bayaran di atas kecuali (c) adalah dianggap sebagai pembayaran tunai oleh penjual. Pembayaran melalui kad kredit masih lagi dianggap tunai kerana pihak penjual akan mendapatkan harga jualan secara penuh dari pihak yang mengeluarkan kad kredit tersebut. Hutang yang berlaku, jika ada, adalah di antara pemegang kad dengan pengeluar kad dan bukannya dengan penjual barangan.

Status tunai ini masih lagi diterima secara urufnya oleh penjual walaupun pada hakikatnya pihak penjual akan menerima secara fizikal atau dimasukkan ke dalam akaunnya beberapa hari selepas transaksi berlaku.

13. Penyerahan barang belian (emas) hendaklah berlaku secara penyerahan hakiki ataupun kaedah muktabar yang boleh menggantikan penyerahan hakiki. Penyerahan barang belian yang muktabar akan membawa kesan sama seperti penyerahan hakiki, iaitu:

a. Berpindah dhaman (tanggungjawab jaminan) daripada penjual kepada pembeli.

b. Kemampuan pembeli untuk mendapatkan barang beliannya pada bila-bila masa tanpa ada halangan.

14. Majlis akad di dalam transaksi jual beli boleh berlaku dengan pertemuan secara fizikal, ataupun secara maknawi. Contoh majlis akad secara maknawi ialah ijab dan qabul melalui telefon, sistem pesanan ringkas (sms), emel, faksimili dan lain-lain. Tetapi disyaratkan dalam semua bentuk majlis akad tersebut, hendaklah berlaku taqabudh ketika majlis akad, contohnya melalui penyerahan secara wakalah.

Perlu diberi perhatian bahawa majlis akad secara bertulis akan hanya bermula apabila ianya diterima oleh pihak yang berkontrak. Contohnya, pembeli menandatangani akad jual beli dan kemudian menghantarnya melalui pos kepada penjual. Selepas tiga hari, akad tersebut sampai ke tangan penjual. Maka majlis akad bermula pada waktu tersebut, jika pihak penjual bersetuju, maka akad tersebut perlu disempurnakan oleh penjual dengan menandatanganinya, dan barang belian hendaklah diserahkan kepada pembeli secara hakiki atau hukmi.

Syarat Kedua: Secara Lani

15. Transaksi jual beli emas hendaklah berlaku secara lani dan tidak boleh dimasuki sebarang unsur penangguhan, samada dalam penyerahan harga atau dalam penyerahan emas.

16. Penangguhan penyerahan harga yang tidak dibenarkan adalah meliputi pembelian secara hutang secara keseluruhannya atau pembelian secara bayaran ansuran.

17. Kelewatan penyerahan emas yang melebihi tempoh tiga hari selepas akad jual beli dimeterai adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Manakala bagi kelewatan penyerahan emas dalam tempoh kurang daripada tiga hari, Muzakarah mengambil maklum bahawa terdapat perbezaan pandangan ulama di dalam hal ini. Namun Muzakarah lebih cenderung untuk mengambil pakai pendapat yang tidak membenarkan berlakunya kelewatan walaupun tempohnya kurang daripada tiga hari. Dengan kata lain, penyerahan emas mestilah di lakukan di dalam majlis akad tanpa ada penangguhan. Ini adalah kerana di dalam urusniaga emas, kelewatan tiga hari bukanlah suatu uruf, berbeza dengan isu tukaran matawang asing.

Di dalam pertukaran mata wang asing, tempoh T+2 diperlukan kerana ianya melalui proses tertentu yang melibatkan tempoh masa bekerja yang berbeza antara negara, perpindahan wang elektronik, clearing house dan lain-lain lagi. Proses-proses yang disebutkan ini tidak terdapat di dalam perniagaan jual beli emas fizikal. Maka adalah tidak tepat untuk membuat qiyas ke atas proses pertukaran matawang asing.

Namun secara praktikal, pihak penjual akan menyerahkan emas selepas amaun bayaran yang dibuat melalui cek dan sebagainya dikreditkan ke dalam akaunnya. Proses ini biasanya akan mengambil masa tiga hari bekerja. Di dalam menangani tempoh antara penyerahan cek dan penerimaan emas, maka pihak penjual dan pembeli bolehlah mengambil pakai aturan berikut:

Pihak pembeli akan hanya membuat pesanan (order) kepada penjual dengan dinyatakan jenis dan berat emas yang ingin dibelinya. Pesanan ini akan disertai dengan pengiriman wang ke akaun penjual. Pada tahap ini, perkara berikut perlu diberi perhatian:

i. Pada peringkat ini, akad jual beli emas masih belum berlaku.

ii. Wang yang berada di dalam akaun penjual masih lagi bukan milik penjual tersebut. Ianya masih milik pembeli dan disimpan sebagai amanah oleh penjual. Di dalam hal ini, adalah lebih baik jika satu akaun khas yang bersifat amanah (trust account) dibuka oleh penjual.

iii. Emas masih lagi kekal menjadi milik penjual dan ia bertanggungjawab penuh ke atas emas milikannya itu.

iv. Di dalam peringkat ini, pembeli masih boleh membatalkan pesanan yang dibuat dan penjual hendaklah memulangkan wang kepada pembeli. Namun, jika berlaku kerugian sebenar disebabkan pembatalan tersebut, bolehlah dibuat syarat bahawa ia perlu ditanggung oleh pembeli. Contohnya, pembeli membuat pesanan 100gm emas 999 dengan harga RM20,000. Ketika ini, pihak penjual telah menyimpan emas tersebut dan tidak menjualkannya kepada pihak lain yang telah bersedia untuk membelinya. Selepas tiga hari, apabila penjual bersedia untuk membuat akad jual beli dan seterusnya menyerahkan emas tersebut kepada pembeli, pembeli membatalkan pesanannya. Pada hari tersebut harga emas telah jatuh kepada RM19,000. Dengan kata lain, penjual akan kerugian RM1,000 jika menjualnya kepada pihak lain. Di dalam hal ini, kerugian sebenar adalah sebanyak RM1000.

Apabila wang pesanan sudah diberi clearance oleh bank, maka akad jual beli perlu dilakukan. Wang di dalam trust account (jika ada) bolehlah dipindahkan ke akaun penjual dan emas hendaklah diserahkan kepada pembeli.

Akad Dan Unsur Sampingan

18. Penglibatan hibah dalam transaksi jual beli samada hibah dalam bentuk barangan ataupun wang tunai adalah dibenarkan jika mencukupi syarat-syarat hibah, dan tidak melibatkan unsur-unsur yang bercanggah dengan syarak. Perlu diberi perhatian bahawa hibah secara hakikatnya adalah akad sukarela dan ia bukanlah di dalam bentuk lazim. Dengan kata lain, jika janji hibah ini tidak ditunaikan oleh penjual, maka pembeli tidak boleh memaksanya memberi hibah tersebut.

19. Penglibatan wadiah dalam pelan pelaburan emas hendaklah menepati hukum hakam wadiah, yang antara lain ialah pegangan wadiah adalah berasaskan kepada Yad Amanah.

20. Seseorang yang membeli emas bebas mengendalikan (tasarruf) emasnya, termasuklah memberi pinjaman (qardh) kepada orang lain. Tetapi hendaklah memenuhi kriteria qardh yang dibenarkan syarak, yang antara lain tidak boleh membawa unsur faedah, tidak wujud unsur ”salaf wa bay” iaitu hutang yang diikat bersama dengan jual beli.

21. Seseorang yang membeli emas bebas mengendalikan (tasarruf) emasnya termasuk menjadikannya sebagai pajakan untuk wang secara hutang, selagi konsep al-Rahn yang digunakan adalah bertepatan dengan hukum syarak. Namun secara teorinya, perkara ini seharusnya tidak digalakkan kerana secara tidak langsung ia menggalakkan aktiviti berhutang di dalam keadaan yang tidak perlu.

22. Wa’d boleh dimasukkan dalam pelaburan emas, selagi mana ia adalah wa’d dari sebelah pihak dan bukannya muwa’adah dari kedua-dua belah pihak. Contoh aplikasi wa’d dalam konteks ini ialah membuat purchase order, iaitu pelanggan membuat perjanjian untuk membeli emas dengan harga tertentu. Perjanjian pembelian ini dinamakan ’kunci harga’. Sekiranya proses kunci harga adalah menyamai proses akad jual beli, ia tidak dibenarkan kerana akan berlaku penangguhan.

23. Transaksi jual beli hendaklah bebas daripada unsur-unsur riba, perjudian, gharar yang berlebihan, dan kezaliman. Jika sekiranya terdapat unsur-unsur tersebut, transaksi jual beli adalah dikira tidak memenuhi kriteria syarak.


Sunday, April 14, 2013

PRU13 - PILIH NAK UNDI SIAPA?


APAKAH
PILIHAN KITA ITU MEMANG PILIHAN KITA?
 
Beberapa orang melayu yang kurang biasa dengan makanan Jepun memasuki sebuah restaurant makanan Jepun untuk mencuba.  Pelayan Japanese Restaurant itu datang dan memberikan menu makanan yang ada di restaurant berkenaan. Nama-nama makanan semuanya berbunyi jepun. Semua bunyi itu agak asing bagi pelanggan-pelanggan melayu berkenaan. ‘Sila pilih menu yang tuan-tuan mahukan’, kata pelayan.

Oleh kerana mereka tiada pengalaman merasai makanan jepun mereka kata ‘kami mahu menu yang sedap’. Pelayan itu pun mula membuat cadangan yang sedap pada pendapat beliau. Mereka pun setuju dan memesan makanan berdasarkan cadangan tersebut. Setelah makanan dihidangkan, para pelanggan melayu berkenaan mendapati ia tidak sedap seperti yang diharapkan.

Kata mereka: ‘Ini tidak sedap! Kami minta yang sedap! Dah la harganya pula mahal, kita tertipu!’. Pelayan menjawab: “Saya berikan berdasarkan pilihan tuan-tuan. Saya tidak bersalah. Tuan-tuan telah membuat pilihan tadi tanpa sebarang paksaan”.

Terhad
Saya mulakan sketch di atas sebagai gambaran bagaimana manusia kemungkinan memilih apa yang bukan menjadi hasratnya sekalipun dia diberikan kebebasan memilih. Hal ini juga dibincangkan oleh ahli-ahli theology, falsafah dan kerohanian tentang sejauh manakah manusia benar-benar memilih apa yang dia benar-benar mahukan.
 

Who decides? Do I choose for myself? Am I really free to decide? .
(Siapakah yang membuat keputusan? Adakah saya pilih untuk diri saya sendiri? Adakah saya benar-benar bebas untuk membuat keputusan?)

Namun saya tidak mahu tenggelam dalam perbahasan mereka. Saya ingin membahaskan perkara ini dengan lebih simple terutamanya di musim pilihanraya ini.

Kegagalan para pelanggan tadi memilih apa yang mereka benar-benar mahukan iaitu makanan yang sedap adalah disebabkan beberapa perkara. Antaranya, mungkin makanan yang sedap yang mengikut selera melayu mereka tidak wujud di restaurant berkenaan. Maka, walaupun hak memilih diberikan, namun pilihan mereka terbatas dan apa yang dihajati tidak wujud dalam senarai pemilihan. Ini juga berlaku dalam hidup kita di mana kita kadang-kala walaupun mempunyai ruangan memilih tetapi apa yang menjadi pilihan kita tiada dalam senarai yang boleh kita pilih. Ini telah membataskan kebebasan pemilihan yang ada. Sehingga seseorang mungkin terpaksa memilih yang terbaik antara yang buruk-buruk.

Ini disebut dalam qawaid fiqhiyyah ‘ Yukhtar Ahwan al-Syarrain’ atau Akhaf al-Dararain iaitu dipilih keburukan ataupun kemudaratan yang paling ringan dibandingkan yang lain. Ertinya jika tiada pilihan kita disuruh memilih bahaya yang paling kurang dibandingkan yang lain.

Pengetahuan
Kedua, kebebasan pemilihan tidak memberikan apa-apa makna jika kita tidak mempunyai pengetahuan tentang apa yang kita pilih. Ini seperti kaki ‘tikam ekor’ yang sekalipun dia memilih nombor yang dia mahu, tetapi semuanya tidak berasaskan ilmu pengetahuan. Kejahilan! Ya kejahilan akan mensia-siakan kebebasan memilih sesuatu. Para pelanggan Japanese Restaurant tadi jahil tentang makanan Jepun.

Sekalipun mereka diberikan peluang memilih, tetapi memilih dalam kejahilan. Oleh kerana mereka jahil, maka terpaksa bergantung kepada pihak lain yang belum tentu tahu apakah maksud ‘sedap’ yang sebenarnya menjadi hasrat mereka. Ataupun, mereka tertipu kerana mereka mudah ditipu sebab tidak tahu. Mereka terdedah untuk ditipu atas nama pilihan sendiri. Padahal pilihan mereka ditentukan oleh pihak lain disebabkan kegagalan ilmu untuk menentukan pilihan yang benar-benar dikehendaki.

Justeru, memberikan kebebasan memilih tetapi tidak memberikan ilmu mengenai pilihan yang ada hanya mensia-siakan hak pemilihan. Akhirnya, walaupun seseorang mempunyai hak memilih tetapi pilihannya ditentukan oleh pihak lain yang mengambil kesempatan atas kejahilan. Dalam kata lain, memberikan kebebasan memilih, tapi tidak diberikan ruang ilmu untuk mengetahui senarai pilihan dengan adil dan betul adalah satu penipuan.

Kesempatan
Manusia hari ini banyak yang tertipu oleh iklan palsu. Dunia pengiklanan mempunyai seni yang tersendiri untuk mempengaruhi pelanggan sehingga mereka membeli apa yang bukan sebenarnya hasrat mereka. Media-massa demikian juga. Manusia akhirnya mempercayai apa yang bukan sebenarnya mereka patut percayai. Kedanggalan pengetahuan boleh diambil kesempatan oleh pihak lain untuk menipu pilihan seseorang.

Dalam pilihanraya, jika kebebasan memilih diberikan tetapi peluang untuk rakyat mengenali setiap calon dan parti secara adil tidak diberikan maka itu mensia-siakan hak memilih. Jika ada pihak yang menghalang rakyat mengetahui latar senarai pilihan secara adil dan saksama bererti pihak itu adalah penipu dan perosak kepada hak memilih yang sebenar rakyat.

Islam melarang kita mengikut ataupun memilih sesuatu tanpa ilmu yang cukup. Firman Allah: (maksudnya): “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta jantung akal kamu, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya”. (Surah al-Isra: 36).

Al-Quran menyuruh untuk kita mendengar dari pelbagai maklumat dan mengikut yang terbaik. Inilah yang dipanggil Ulul Albab. (maksudnya) “..oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu . (Iaitu) mereka yang berusaha mendengar perkataan (yang sampaikan) lalu mereka menurut yang terbaik; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albab” (al-Zumar: 17-18).

Ertinya, untuk seseorang dapat menjadi insan yang baik dia hendaklah mendengar pelbagai maklumat kemudian mengikut yang terbaik dari apa yang didengari dan dipelajari. Jika ada pihak yang menghalang rakyat dari ruang mendapat maklumat yang seimbang, maka itu satu usaha untuk menyesat rakyat dari pilihan yang betul samada dalam pemikiran ataupun politik.

Tariq Ramadan dalam The Quest For Meaning menyebut: ‘..any society that does not guarantee the conditions for survival and life of all, education for all and rule of law to defend individual freedom (in the handling of interpersonal relationships) is a society that fails to respect basic human rights. It deprives its members of their potential and their powers, and, at best, encourages their illusions as to the immensity of power offered by the virtuality of their will, their dreams and their imagination.’ (57-58. Penguin Books, UK).

Maksudnya ; '.. mana-mana masyarakat yang tidak menjamin keadaan untuk hidup dan kehidupan semua, pendidikan untuk semua dan kedaulatan undang-undang untuk mempertahankan kebebasan individu (dalam mengendalikan hubungan interpersonal) adalah sebuah masyarakat yang tidak menghormati hak asasi manusia. Ia menafikan anggotanya tentang keupayaan mereka dan kuasa mereka, dan pada yang terbaik, menggalakkan ilusi mereka tentang keluasan kuasa yang ditawarkan oleh kehendak impian maya mereka dan imaginasi mereka. '(57-58. Penguin Books, UK).

Tertipu
Menipu dengan cara mengelirukan pemilihan orang lain adalah satu kesalahan. Penipuan bererti mengkaburkan pengetahuan pihak yang memilih sehingga dia memilih apa yang bukan pilihannya.

Justeru itu suatu ketika, Rasulullah s.a.w melintasi satu bekas makanan (untuk dijual), lalu baginda memasukkan tangannya ke dalamnya. Tangan baginda menjadi basah. Baginda pun bersabda: “Apakah ini wahai empunya makanan (peniaga)?. Dia menjawab: “Terkena hujan, wahai Rasulullah!”. Baginda bersabda: “Mengapa engkau tidak jadikan bahagian yang basah itu di atas makanan supaya orang boleh nampak?! Sesiapa yang menipu, dia bukan dari pengikutku” (Riwayat Muslim).

Jika dilihat dalam konteks pilihanraya, ramai yang menyembunyikan hakikat dan menzahir yang baik sehingga orang ramai tertipu. Mereka menyangka mereka membeli barangan yang baik, padahal itu sebenarnya buruk. Mereka sangka mereka undi pihak yang baik, sebenarnya mereka memilih yang buruk. Namun, kempen yang bohong telah merosakkan hasrat pemilihan mereka yang sebenar. Sesiapa yang terlibat dalam kempen yang sedemikian, dia bukan dalam pengikut umat Nabi s.a.w.

Kita impikan kerajaan dan pemimpin yang menjamin hak-hak rakyat memilih dengan cara yang adil dan saksama. Pemberian hak mengundi secara bebas tidak bermakna jika ruang mengetahui apa yang hendak dipilih secara adil tidak bebas dan diberikan secara yang adil juga. Keadilan media awam amatlah penting dalam proses pilihanraya yang adil. Jika tidak, kita memilih apa yang bukan pilihan kita kerana kita tertipu.

Artikel Oleh : Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin


Maksud Firman Allah SWT;
“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta jantung akal kamu, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya”.
(Surah al-Isra: 36).

Sunday, April 7, 2013

'Pinjaman Secara Islam' Atau 'Pembiayaan Secara Islam?'


Tiada 'Pinjaman Secara Islam'
Di Perbankan Islam?

Ramai yang terkeliru apabila menyebut 'pinjaman secara Islam' apabila merujuk kepada produk-produk yang ditawarkan oleh bank-bank Islam. Hakikatnya, mereka semua silap, kerana produk bank Islam yang berasaskan pinjaman hampir tiada. Ini adalah kerana sesebuah 'pinjaman' Islam tidak boleh sama sekali dijadikan sebagai medium untuk meraih sebarang keuntungan. Pinjaman tidak lain hanya satu jenis kontrak belas ihsan, untuk menolong mereka yang susah secara percuma sahaja.

Hasil dari itu, Allah swt menjanjikan mereka yang memberikan pinjaman tanpa sebarang caj dengan gandaan pahala sebanyak 18 kali ganda. Terlalu sedikit produk bank-bank Islam yang didasari oleh aqad pinjaman, contoh seperti kad Caj oleh Ar-Rajhi Bank dan beberapa lain, yang lain semuanya bukan atas aqad pinjaman.

Ekoran dari itu, bank-bank Islam berusaha mencari pelbagai konsep lain yang lebih sesuai. Ternyata keuntungan secara halal boleh diperolehi tiga kaedah iaitu:-
(1) melalui aqad jual beli, termasuk sewaan
(2) melibatkan diri dalam sistem perkongsian pelaburan dari jenis Mudharabah atau    Musharakah.
(3) Melalui konsep ujrah atau upah hasil sesuatu perkhidmatan yang diberi.


Namun begitu, menurut kebiasaanya ketiga-tiga konsep ini digunapakai oleh individu atau syarikat-syarikat persendirian atau biasa bagi memperolehi untung. Ia ternyata amat sesuai dan tepat untuk digunakan oleh industri tersebut.

Oleh kerana sifat dan fungsi sebuah bank berbeza dengan sebuah syarikat jualan biasa, sambil menyedari ketiga-tiga konsep sahaja yang ada bagi membolehkan sesebuah bank untuk memperolehi keuntungan, pihak bank cuba mengadaptasikan konsep-konsep tersebut bagi menyesuaikannya dengan sifat sebuah bank di zaman moden ini.

Sebuah bank pada asasnya berfungsi sebagai pemberi pinjaman, itu adalah dalam konteks sebuah bank riba, maka fungsi itu terpaksa ditukar kepada bank Islam sebagai pembiaya yang juga bersifat sebagai 'trader', iaitu penjual dan pembeli.

Untuk mengubah sifat asal fungsi sebuah bank dari pemberi pinjam kepada pembiaya dan penjual serta pembeli, bank-bank Islam banyak menghadapi cabaran undang-undang setempat.
Adakalanya halangan undang-undang setempat boleh menjadikan sebuah bank Islam gagal untuk berfungsi secara seratus peratus menepati Shariah.

Bukan kerana mereka sengaja untuk ingkar dan culas, tetapi terpaksa tunduk dek undang-undang setempat yang enggan diubah oleh pembuat undang-undang. Usaha mendesak masih berterusan tetapi tentunya tidak wajar diletakkan ancaman dan kecaman kepada bank-bank Islam. Jika ingin mengecam, pastinya anda faham siapa yang patut ditujukan kecaman.

Cara Bank Islam
Dalam tulisan ini, saya akan cuba mendedahkan dengan ringkas salah satu cara yang cuba digunapakai oleh sebuah bank Islam bagi menjalankan fungsinya sebagai pembiaya dan juga trader.

Caranya adalah dengan memperkenalkan konsep jualan secara Murabahah. Bagi mengadun kontrak Murabahah agar ia dapat disesuaikan dengan peranan asas sebuah bank iaitu sebagai pembiaya, financier atau orang tengah (intermediaries) yang pada hakikatnya tetapi ingin bertransaksi seperti syarikat peniaga (trader), beberapa jenis pengadunan kontrak Murabahah telah dibuat bagi tujuan itu. Ia seperti berikut :-
  • Produk pembiyaan aset atau modal (Financing): Murabahah antara tiga pihak (Tri-partied Murabahah )
  • Produk Perbendaharaan (treasury) : Komoditi Murabahah
  • Produk pasaran modal (capital market) : Terbitan Sukuk Murabahah
Demikian tadi tiga contoh produk utama yang menggunakan konsep Murabahah dalam tiga sektor utama perbankan. Namun dalam tulisan ini, saya hanya akan menyebut satu sahaja dari tiga produk tadi.

Murabahah Dengan Pihak Yang Pinta Beli (Murabahah Lil Amir Bishira)
Murabahah Lil Amir Bishira didefinisikan sebagai jualan Murabahah bagi individu yang berjanji untuk membeli atau Murabahah to the purchase orderer, ia adalah satu bentuk permintaan satu pihak (pelanggan) kepada satu pihak lain yang mempunyai wang (biasanya bank) untuk membeli satu satu aset yang diingi pelanggan dengan pihak pelanggan berjanji akan membelinya dari pihak yang pembeli awal (bank) dengan harga yang lebih tinggi dari pembelian pertama. (Al-Murabahah kama Tujrihi Al-masarif Al-Islamiah, Al-Qaradhawi)

Produk ini mempunyai bentuk idealnya dan mempunyai bentuk praktikal yang diamalkan oleh beberapa buah bank Islam di Malaysia. Kebiasaannya konsep ini digunakan untuk produk-produk runcit di bank-bank Islam (retail banking products).

Produk yang menggunakan asas Murabahah biasanya boleh digunakan untuk pembiayaan aset seperti :
  • kereta, rumah, kapalterbang, kapal
  • alatan mesin untuk kegunaan kilang,
  • bangunan
  • tanah
  • hak cipta
  • hak pemilikan saham dan lain-lain aset yang bersifat tangible dan intangible.
Hukum
Majoriti ulama mengharuskan pembelian secara dalam bentuk ini dengan beberapa syarat yang mesti dijaga. Selain syarat-syarat Murabahah yang biasa, kontrak Murabahah antara tiga pihak ini punyai beberapa syarat tambahan, tanpanya jual beli ini dikira batal dan haram.
Keharusan jual beli ini telah lama disebut, khususnya oleh Imam As-Syafie :-

Ertinya : Apabila seorang lelaki menunjukkan kepada seorang yang lain satu barang lalu berkata : Engkau belilah ia, dan aku akan beli dari kamu dengan tambahan beberapa jumlah untung buatmu, maka lelaki (pertama) itu membelinya, jual beli ini adalah harus, manakala lelaki yang berkata akau akan membeli darimu dengan untung( yang berjanji), adalah terbuka kepada pilihan, sama ada untuk membelinya atau menolaknya . (Al-Umm, Muhammad bin Idris As-Syafie, 3/33)

Proses jual beli sebegini juga turut difatwakan oleh majoriti ulama semasa sebagai harus, termasuk majlis Syariah Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions (AAOIFI) [1], Fatwa muktamar Perbankan Islam kedua di Kuwait tahun 1983 dan juga Akademi Fiqh OIC dalam sidang mereka yang kelima pada tahun 1988.

Antara syarat bagi menjadikannya halal sebagaimana yang dijelaskan secara ringkas dalam resolusi akademi Fiqh OIC adalah ( rujuk Qararat wa tawsiat, Akademi Fiqh OIC, Dar al-Qalam):-

Ertinya :

Pertama : Jualan ini apabila berlaku ke atas satu asset, diwajibkan pihak pembeli (bank) untuk memiliknya dengan pemilikan sah menurut hukum syara, maka tatakala itu ia jualbeli yang sah. Iaitu selagi mana pihak yang diminta (biasanya bank) menanggung tanggungjawab dan risiko jika aset rosak sebelum dijual (serahan) kepada pelanggan, dan juga bertanggung jawab untuk menerimanya jika dipulangkan kerana terdapat ‘aib yang tersembunyi pada asset dan sebab-sebab yang mewajibkan pengembalian semula setelah diserah kepada pembeli.

Kedua : Janji : iaitu yang diberikan oleh peminta (pelanggan) kepada yang diminta ( bank), janji ini bersifat mengikat (mulzim) ke atas yang member janji dari sudut agama kecuali jika terdapat keuzuran sebenar

Ketiga : Kedua pihak saling berjanji : Iaitu janji yang diberikan oleh kedau-dua belah pihak (pihak peminta janji akan beli dan yang diminta janji akan jual), ia adalah harus dengan syarat kedua pihak bebas dan boleh memilih (sama ada untuk meneruskan atau membatalkan), jika kedua belah pihak terikat dan tidak boleh membatalkan janji mereka, tatkala itu janji kedua belah pihak menjadi tidak harus (kontrak batal dan haram), kerana saling berjanji untuk membeli dan menjual adalah sama seperti kontrak jual beli, yang ketika itu memerlukan penjual telah memiliki aset, agar mereka tidak jatuh ke dalam larangan menjual sesuatu sebelum memilikinya.

Kesimpulannya, jual beli secara murabahah ini boleh dan halal dilaksanakan oleh bank-bank Islam dengan syarat-syarat khusus yang disebutkan di dalam resolusi fatwa di atas dan  ringkasannya :-
  • Bank mestilah telah membeli aset dan memilikinya sebelum dijual kepada pelanggan.
  • Aset yang dijual oleh bank mestilah berada dalam jaminan pihak bank selaku penjual sekiranya terdapat kerosakan dan aib tersembunyi, justeru pihak pelanggan boleh memulangkannya kepada bank jika terdapat rosak.
  • Janji dari satu pihak adalah bersifat mengikat.
  • Janji dari dua pihak tidak boleh bersifat mengikat, kerana ia akan jatuh dalam jualan hutang dengan hutang dan jualan aset yang belum dimiliki. 
Sumber : Zaharuddin Abd Rahman | Tuesday, 12 May 2009