Ramadhan
: Batalkah Puasa Kita Jika ...
Oleh : Dr. Zaharuddin Abd Rahman
Ulama terbilang dunia ketika ini, Dr Yusoff
Al-Qaradhawi pernah menyebut dan meluah rasa kurang setuju beliau dengan
tindakan para ulama yang terlalu meluaskan perbuatan yang membatalkan puasa.
Beliau lebih setuju untuk mengecilkan skop dan ruang lingkup pembatalan puasa
kepada perbuatan yang benar-benar terdapat dalil tepat dari al-Quran, al-Hadith
dan disepakati ulama sahaja.
Beliau berpendapat perbincangan panjang lebar oleh
ulama silam, antaranya para ulama dari mazhab Hanafi dan ulama mazhab-mazhab
lain menyebut sekitar 57 bentuk perbuatan yang membatalkan puasa adalah adalah
tindakan yang kurang sesuai. Malah ia juga amat digemari oleh ulama masa kini
sehingga terdapat yang menghabiskan masa begitu lama untuk merangka fatwa,
berijtihad dan meletakkan kaedah bagi sesuatu perbuatan. Adakalanya ia adalah
isu yang tidak memerlukan perhatian begitu mendalam.
Masalah ini dilihat semakin bertambah, apabila ijtihad
dalam bab ini semakin bercambah hingga menyebabkan kesukaran orang kebanyakkan
(awam) menjalankan ibadah ini dengan tenang kerana perincian perbuatan yang
membatalkan puasa amat cabang (furu') dan terlampau banyak. Ia menyebabkan
orang awam yang terhad kemampuan, masa dan rujukan sering berada dalam
kebimbangan dengan isu batal dan tidak batal puasa ini. Lebih dikesali adalah
perbincangan tentang ini juga ada meninggalkan perbincangan yang lebih besar
berkenaan Ramadhan. (Taysir al-Fiqh - Fiqh As-Siyam, hlm 86-87)
Sebagai contoh, antara isu
terbesar yang patut diberikan fokus mendalam di waktu Ramadhan adalah :-
1) Raih Taqwa & Mendapatkan Keampunan : Sangat jelas arahan Allah
dan RasulNya menegaskan keperluan kita berusaha meraih taqwa dan keampunan di
dalam bulan ini. Perbincangan berkenaan kaedah, cara dan cabaran yang boleh
menghalang kita mencapai target ini perlu diberikan perhatian lebih.
2) Bulan Ingatan Fungsi Al-Quran : Firman Allah yang menyebut
bahawa Al-Quran diturunkan di bulan Ramadhan ini sebagai petunjuk, dan bukti
kebenaran petunjuk dan pembeza di antara haq dan yang batil. Justeru
perbincangan berkenaan kemestian umat Islam kembali kepada Al-Quran sebagai
satu-satunya formula untuk berjaya sebagai golongan bertaqwa dan selamat dunia
akhirat perlu diperhebat.
3) Amaran Terhadap Pengikis Pahala
Ramadhan Yang 'Confirmed'
: Sabda-sabda Nabi berkenaan tindakan yang boleh menghapuskan pahala puasa
Ramadhan seperti bercakap kotor, nista, carut dan perbuatan jahat dan keji di
waktu bulan ini. Ia perlu dipertekankan kerana ia adalah perkara yang
disepakati bakal merosakkan pahala puasa seseorang walaupun ia tidak sampai
membatalkan zahir puasanya.
4) Kaedah Penambah Pahala & Redha
Allah di Bulan
Ramadhan Yang 'Confirmed': Sabda-sabda Nabi yang mengandungi janji-janji dan
tawaran Allah di bulan ini juga perlu diperluas kepada orang ramai agar semakin
ramai yang berpotensi ke Syurga Allah sekaligus melemahkan fungsi Syaitan dan
nafsu amarah yang sentiasa ingin mengajak kepada kemaksiatan.
PERKARA
YANG MEMBATALKAN PUASA
1.
PERKARA YANG DISEPAKATI BATAL PUASA
Adapun isu perkara yang membatalkan puasa, sewajarnya
ditumpukan kepada hukum yang disepakati sahaja.
Justeru, larangan yang disepakati tatkala puasa adalah
menahan nafsu syahwat, menanggung lapar dan dahaga serta menahan diri dari
bersetubuh dengan isteri di siang hari dengan niat ikhlas ibadat kerana Allah.
Inilah yang dijelaskan dari al-Quran dan as-sunnah, demikian juga menjauhi
kata-kata nista, bohong, mengumpat, cercaan dan lain-lain dosa anggota demi
kerana Allah. Ia disebut di dalam ayat al-Baqarah : 187 dan disokong oleh
hadith-hadith yang banyak.
Merokok, keluar darah haid atau nifas dan
hilang aqal adalah dipersetujui secara sepakat ulama membatalkan puasa.
2.
PERKARA YANG TIDAK DISEPAKATI BATAL PUASA
Adapun yang tidak disepakati, boleh dibincangkan cuma
jangan sampai ia mengambil perhatian
utama kita apabila berada di dalam Ramdhan.
BATAL
ATAU TIDAK PUASA JIKA ...
Sebagai panduan, berikut disertakan beberapa hukum
secara ringkas berkaitan puasa yang kerap ditanya oleh orang ramai :-
1) Darah
keluar dari tubuh ; samada untuk berbekam, ambil darah pesakit, menderma
darah, tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain.
Hukumnya : Tidak batal puasa kerana yang membatalkan
adalah yang masuk ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya
‘yang keluar' dari tubuh. (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd
‘Uqlah, hlm 215). Manakala pandangan pembatalan puasa dengan berbekam yang
berdalil hadith riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad sohih menurut Imam
An-Nawawi, ia telah dipinda (nasakh) dengan hadith dari Ibn Abbas yang menyebut
Nabi SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa. (Riwayat Al-Bukari, 3/43)
kerana hadith dari Ibn Abbas ini berlaku tatkala Haji Wida' dan terkemudian
dari hadith yang menyebut batal kerana bekam. (Tasysir al-Fiqh, Qaradawi, hlm
90). Malah ini juga padangan majority mazhab kecuali Hanbali. ( Bidayatul
Mujtahid, 1/247)
2)
Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai
ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala.
Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan
wanita atau dubur ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga
memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.
Hukumnya : Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan
itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal
puasa adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau
lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu,
maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja' atau membasuhnya maka
hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md
‘Uqlah, hlm 211). Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang
mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau
bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa).
Tidak dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya
adalah lebih baik menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana
menjauhi yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.
3) Pil
elak haid untuk puasa penuh :
Hukumnya : Harus dengan syarat tidak membawa mudarat
kepada pusingan haidnya, dan memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa.
Namun yang terbaik adalah tidak menyekat haid, dan tidak menganggu kitaran
fitrah yang telah ditentukan oleh Allah swt. selain itu wanita sedang haid juga
masih boleh melaksanakan pelbagai jenis ibadah.
4)
Penyembur gas untuk pesakit lelah :
Hukumnya : Baru-baru ini pada bulan Julai 2007,
Persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa di Putrajaya ada membincangkan isu ini.
Isu ini amat kerap dibincangkan oleh para ulama seantero dunia dan mereka
berbeza pandangan apabila sebahagian
menyatakannya batal dan sebahagian lain menolak.
Menurut kajian terperinci bantuan para doktor,
mendapati gas semburan itu punyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika
di sembur di atas kertas. Selain itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk ke
tekak dan melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna ianya
jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia
membatalkan puasa. Demikian pandangan awal dari Majlis Fiqh Antarabangsa yang
bersidang Julai 2007 baru-baru ini, tetapi kemudiannya mereka menarik balik
keputusan mereka untuk dibincangkan lebih terperinci dalam persidangan akan
datang. Namun itu adalah pandangan sebahagian ulama kontemporari yang menyakini
masuknya serbuk jisim gas ke dalam perut.
Bagaimanapun para ulama masih perlu bergantung kepada
makumat jelas dari para doktor bagi memberikan fatwa tepat. Sebahagian ulama
seperti Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal
kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut. Manakala,
ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan puasa kerana ia akan
masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226)
Namun jelas para ulama berhati-hati dalam memberikan
keputusan dalam hal ini kerana menyedari walaupun serbuk-serbuk dari inhaler
tersebut boleh memasuki ruang perut, namun ia adalah satu keperluan mendesak
buat pesakit athma dan tidak pula dilaksanakan secara saja-saja, bukan pula
kerana nafsu lapar.
Pandangan terpilih adalah TIDAK BATAL, kerana terdapat
perbezaan informasi dan data oleh para pakar perubatan berkenaan ketepatan
fakta masuknya jisim ke dalam perut pada setiap kali semburan dibuat. Justeru,
hukum puasa adalah kekal di atas sifat asalnya iaitu sah selagi belum terdapat
bukti nyata dan diyakini terbatalnya ia. Sebagaimana kaedah Fiqh "
Ertinya : Hukum asalnya, kekalnya hukum
sesuatu pada sifat sebelumnya.
Justeru, jika ada sekalipun jisim yang termasuk ke
dalam perut, ia bukanlah makanan yang mengenyangkan dan bukan pula dilakukan
secara suka-suka serta ia tergolong dalam ubat-ubatan yang diperlukan secara
mendesak. Selain itu, jisim yang termasuk ke dalam perut pula adalah tergolong
di dalam kategori DIMAAFKAN sebagaimana beberapa kadar air yang tertinggal di
atas lidah dan dalam hidung semasa berkumur dan berwudhu. Wallahu'alam.
5)
Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal:
Hukumnya : Terdapat dua jenis : samada untuk berubat
atau untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, 'pain
killer' dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan
puasa (Al-Qaradawi, hlm 100 ; ‘Uqlah , hlm 226). Demikian juga hukumnya
suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.
Berkenaan suntikan makanan, airseperti glukos dan sepertinya
untuk tujuan perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan : Pandangan
majoriti adalah : Tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh
melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercanggah dengan
hikmah puasa.
Ia adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md
Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah
Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar'iyyah,
hlm 268 ; Yasalunaka, 5/53 dll ).
Bagaimanapun, suntikan jenis makanan ini membatalkan
puasa terutama jika dilakukan secara sengaja untuk melarikan diri dari ujian
keletihan lapar dahaga puasa.
6)
Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa wudhu.
Hukumnya : Tidak membatalkan puasa, cuma jika
berlebihan berkumur ulama Syafie mengatakannya terbatal. Justeru, jauhilah
berlebihan di ketika puasa adalah lebih baik.
Ia berdasarkan hadith : "Sempurnakan wudhu ,
basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu
kecuali tatkala kamu berpuasa (Riwayat Abu Daud , no 142 ; At-Tirmidzi, 788 ;
Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan
dipersetujui oleh Az-Zahabi ; albani ; Sohih).
7)
Melakukan Maksiat seperti tidak solat
Hukumnya : Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab
dan ulama. Akan tetapi dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut
jenis maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik kehormatan
Ramadhan. Pahala puasanya pula akan terhapus. Selain itu, ia juga mencarikkan
keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan taqwa, beroleh
keampunan dan jauh dari maksiat. (Qaradawi, hlm 104) Nabi bersabda :
"Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka
semakin jauh ia dengan Allah" (Riwayat Ibn Hibban)
8) Mencium
lelaki dan wanita semasa berpuasa
Hukumnya : Mencium isteri atau suami tatkala berpuasa,
tidak batal menurut majoriti ulama.
Ia berdasarkan beberapa dalil antaranya :-
Ertinya : "Nabi S.a.w mencium dan bermesra
(dengan isterinya) dalam keadaan ia berpuasa, tetapi baginda adalah seorang
yang menguasai diri dan nafsunya" (Riwayat Abu Daud, 2/311 ; Syuaib arnaout : Sohih)
Dan satu lagi adalah : -
Ertinya : Kami bersama Nabi tiba-tiba didatangi oleh
seorang pemuda dan bertanya : Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab nabi
: Jangan ; tiba-tiba dating seorang tua dan bertanya soalan yang sama : Jawab
nabi : Ye ( tiada masalah) ; kami kami saling berpandangan antara satu sama
lain, maka nabi berkata :-
"aku tahu apa mengapa kamu saling berpandangan
antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya
(nafsu)" (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat Ibn Lahi'ah yang
diperkatakan tentangnya, menyebabkan hadis dianggap dhoif)
Al-Qaradawi pula menambah "berapa ramai orang tua
zaman sekarang yang turut tidak mampu mengawal nafsunya " (Fiqh As-Siyam,
hlm 106 )
Kesimpulannya, ia tidak membatalkan puasa dan ciuman
sebegini tidak harus jika ia boleh membawa mudarat seperti menaikkan nafsu dan
boleh membawa kepada persetubuhan di siang hari Ramadhan.
9) Wanita
tamat haid
Wanita tamat haid pada waktu malam dan sempat niat
pada waktu malamnya sebelum naik fajar subuh. Ia dikira sah walaupun belum
mandi hadas. Jika ia tidak sempat berniat sebelum fajar subuh, seperti belum
makan dan minum apa-apa pada pagi itu, kemudian pada jam 8 pagi haidnya kering,
ia tidak dikira boleh berpuasa pada hari itu kerana tiada niat bagi puasa wajib
boleh dibuat selepas terbit fajar.
Demikian juga ditegaskan oleh majoriti ulama (Al-Mughni,
Ibn Quddamah, 4/201)
Dalilnya adalah :-
Ertinya : "Barangsiapa yang tidak berniat untuk
puasa sebelum fajar, tiada puasa (wajib) baginya" ( Riwayat Abu Daud,
3/108 ; Albani : Sohih )
10) Keluar air mazi
Air mazi adalah air yang keluar dari kemaluan lelaki
atau perempuan kerana naik syahwat. Banyak persoalan berkenaan keluarnya air
mazi semasa berpuasa, samada ia membatalkan puasa atau tidak.?
Hukumnya : Zahir dalam mazhab Hanbali menyatakan, ia membatalkan
puasa.
Bagaimanapun mazhab Hanafi, Syafie, Awzai'e, Hasan
albasri, As-Sya'bi dan Imam Ahmad dalam satu pendapatnya berfatwa keluarnya air
mazi tidak membatalkan puasa. Saya lebih cenderung dengan pendapat ini.
11) Keluar
air mani tanpa setubuh
Hukumnya : Mencium dan menyentuh melalui onani sehingga keluarnya
mani dengan syahwat adalah membatalkan puasa dan wajib qadha, ia adalah
disepakati oleh seluruh ulama.
Adapun keluarnya air mani hanya kerana berfikir lucah
dan melihat dengan syahwat, ia tidaklah batal menurut sebahagian ulama termasuk
mazhab Syafie, Hanafi. (Al-Mughni, 4/159)
Manakala mazhab Hanbali dan Maliki mengatakannya
batal.
Walau bagaimanapun, saya lebih cenderung dengan
pendapat yang mengatakannya batal kerana ia benar-benar bercanggah dengan
tujuan dan maqasid puasa dalam Islam. Selain itu, ia juga adalah sama dengannya
keluar mani kerana sentuhan.
Keluar air mani kerana bermimpi di siang hari Ramadhan
atau kerana sakit tertentu. Sepakat ulama menyatakan ia tidak membatalkan
puasa.
12)
Menelan air liur dan kahak
Hukumnya : Ia tidak membatalkan puasa disebabkan terlalu
sukarnya untukmenjaga hal seperti ini. (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/159).
Manakala Kahak yang selagi ia belum sampai ke anggota mulut (sebelah hadapan
lidah), iaitu masih berada pada had tekak makatidak membatalkan puasa jika
ditelan. Kerana ia masih tidak keluar daripada anggota zahir. Kahak yang sudah
sampai pada mulut, inilah yang menjadi khilaf adakah membatalkan puasa atau
tidak. Ada pendapat yang mengatakan batal dan ada pendapat yang mengatakan
tidak batal. Sebahagian ulama berpendapat HARAM menelannya dengan sengaja
kerana ia adalah kotoran.Jadi, kesimpulan yang terpilih adalah kahak yang
sampai ke mulut haram ditelan dan kebanyakan ulama menyatakan ia membatalkan
puasa. Manakala yang berada di bahagian pangkal lidah dan tekak, jika ditelan
tidak membatalkan puasa.
13 ) Mandi
Tiada masalah untuk orang berpuasa mandi, ia tidak
membatalkan puasa. Dalilnya adalah hadis yang menunjukkan Nabi s.a.w mengizinkan
orang yang junub mandi selepas waktu subuh, namun mandi junub adalah wajib,
bagaimana pula mandi sunat atau harian yang biasa?.
Hukumnya : ia tidak membatalkan puasa malah
sahabat besar seperti Ibn Abbas juga pernah disebutkan mandi ketika berpuasa.
Anas bin Malik pula adakalanya merendam kepalanya di dalam batu dipenuhi air
(seperti telaga) akibat bersangatan panas. (Rujuk Fath Al-bari). Cuma puasa hanya boleh batal apabila seseorang
mandi sambil mencuri minum sebagaimana yang mungkin dilakukan oleh para remaja
dan lainnya, maka ia batal kerana minum dan bukan mandi itu sendiri.
14)
Berniat berbuka atau membatalkan puasa sebelum waktu.
Hukumnya : Tindakan sebegini adalah membatalkan puasa menurut
mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi. Cuma jika dengan segera seseorang itu
kembali berniat dan membetulkan niatnya tadi, puasa tidak terbatal.
Justeru, seluruh individu berpuasa wajib menjaga
niatnya agar tidak terpesong untuk membatalkannya. Imam Ibn Qudamah menolak
pandangan yang mengatakan tidak batal kerana ibadah itu adalah berdasarkan niat
seperti solat juga yang akan terbatal jika berniat membatalkannya. (Al-Mughni,
4/175)
15)
Mengosok gigi ketika berpuasa
Persoalan ini telah diulas di link 'Gosok Gigi Ketika Puasa'
Ustaz Zaharuddin Abd Rahman, 13 Sept 2007
= 01 Ramadhan 1428 H