TAKBIR
HARI RAYA AIDILFITRI DAN PENGERTIANNYA
Hari Raya Aidilfitri adalah kurniaan daripada Allah SWT sebagai hadiah kemenangan kepada umat
Islam, kerana kita telah berjaya melaksanakan ibadah puasa dengan menahan diri
daripada hawa nafsu dan perkara-perkara yang dilarang ketika berpuasa di bulan
Ramadhan.
Islam ada tatacaranya yang tersendiri untuk
menzahirkan kegembiraan semasa merayakan hari raya. Hari raya hari adahlah hari
kemenangan dan kita disunatkan untuk melaungkan takbir yang tujuannya untuk mengagungkan
dan membesarkan Allah SWT sebagai tanda kesyukuran terhadapNya disamping dapat
menyedarkan diri betapa kerdil, hinanya dan bergantungnya kita terhadap-Nya.
Dengan bertakbir, kurniaan Hari Raya Aidilfitri akan
dapat dirasai sesuai dengan maksud tujuan takbir iaitu mengagungkan Allah SWT dengan melafazkan kalimah ‘Allahu
Akbar’. Mafhum firman Allah SWT dalam al-Qur’an:
“Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan),
dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu
bersyukur.” (Surah Al-Baqarah: 185)
Lafaz
Takbir Hari Raya
KLIK IMEJ UNTUK BESARKAN
KLIP VIDEO TAKBIR AIDILFITRI
Lafaz takbir Hari Raya sebagaimana yang di sebut dalam
kitab-kitab fiqh ialah:
Ertinya: “Allah Maha
Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Tiada Tuhan (yang berhak disembah)
melainkan Allah dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan segala puji-pujian hanya layak bagi
Allah.”
Lafaz takbir tersebut disunatkan membaca
sebanyak 3 kali.
Disunatkan selepas bertakbir tiga kali itu membaca :
“Allah Maha Besar, Allah Maha Besar,
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar Yang Teramat Besar, Segala Puji bagi Allah
Yang Teramat Banyak, Maha suci Allah
pada waktu pagi dan petang, tiada Tuhan melainkan Allah, dan Tidak ada lain yang
kami sembah melainkan Dia, kami ikhlas kepadaNya (mengikuti ajaran agama Islam)
sekalipun dibenci oleh orang-orang
kafir, tiada Tuhan melainkan Allah Yang Tunggal, Yang Menepati janjiNya, Yang
Menolong hambaNya, dan Yang Memuliakan tenteraNya dalam mengalahkan tentera
al-Ahzab dengan sendiri (KekuasaanNya), Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan
Allah Maha Besar dan segala puji-pujian hanya bagi Allah.”
Waktu
Melaungkan Takbir
Takbir pada Hari Raya Aidilfitri dinamakan sebagai
takbir mursal atau muthlaq iaitu takbir
yang tidak terikat waktunya selepas
solat yang sunat dilaungkan pada bila-bila masa sahaja mulai maghrib 1 syawal
sehinggalah imam mengangkat takbiratulihram untuk menunaikan solat Hari Raya
Aidilfitri.
Imam Ibnu Hajar RA, salah seorang daripada ulama ‘asy-Syafi‘iyyah berkata:
“Sunat melaungkan takbir (Hari Raya
Aidilfitri) sama ada di rumah-rumah, di jalan-jalan, di masjid-masjid dan di
pasar-pasar dengan suara jahr (nyaring),
bermula dari terbenam matahari pada
malam Hari Raya (1 Syawal) dan berterusan sehingga imam mengangkat
takbiratulihram pada sembahyang Hari Raya. Ini kerana takbir itu adalah sebagai
syi‘ar Islam bagi menandakan waktu Aidilfitri itu telah tiba maka adalah lebih
awla (utama) dikerjakan atau disambut dengan takbir.”
Melaungkan takbir dengan suara jahr
(nyaring) adalah disunatkan bagi kaum
lelaki sahaja, dan bagi perempuan atau
khunsa, tidak disunatkan melaungkannya dengan suara jahr ketika ada orang lain yang bukan mahram
hadir bersama mereka.
Manakala had waktu bertakbir bagi orang yang sembahyang
sunat Hari Raya secara bersendirian pula, adalah dikira sehingga dia mengangkat
takbir sembahyang Hari Raya Aidilfiri untuk dirinya.
Menurut asy-Syabramallisiy Rahimahullah, Apabila bertepatan malam Hari
Raya itu dengan malam Jumaat, maka hidupkanlah pada malam tersebut dengan
bertakbir, membaca surah al-Kahfi dan bershalawat kepada Nabi SAW.
Dengan bertakbir itu sudah cukup membuktikan
bahawa Hari Raya Fitri bukan Hari untuk kita berpesta bahkan untuk kita beribadah dengan melafazkan rasa syukur
di atas anugerah Allah SWT melalui
takbir dan ibadat-ibadat lain yang kita lakukan.
Dengan ini juga membuktikan bahawa Hari Raya orang
Islam berbeza sekali konsepnya dengan Hari Raya orang bukan Islam, apatah lagi
ia disambut sebaik sahaja selesai menunaikan ibadah puasa. Kalau orang bukan
Islam berhari raya hanya sekadar untuk berhibur dan bergembira, maka kita
sebagai umat Islam bukan itu cara dan konsepnya sebaliknya Hari Raya bagi orang
Islam adalah ibadah.
Pengertian
Yang Perlu Diambil Daripada Lafaz Takbir
Jika umat Islam benar-benar menghayati dan menginsafi
maksud lafaz takbir yang dilaungkan, UMAT ISLAM TIDAK AKAN :
1. Tunduk kepada 'tuhan-tuhan' ciptaan manusia
2. Bersekutu dengan Kuffar untuk memerangi umat Islam
yang
lain dalam
menegakkan agamaNya
3.
Menjadikan Hari Raya sebagai pesta hiburan berbanding hari
kemenangan dan hari kesyukuran dengan membesarkan
Allah.
4. Takbir
dan tahmid yang dilaungkan tidak sekadar menjadi
senandung penuh kepiluan semata-mata tanpa
difahami lafaznya.
Sumber Asal (dengan sedikit suntingan) :
http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2008/bil296.pdf
No comments:
Post a Comment