Cara
Menyambut Hari Raya Aidilfitri
Al-Quran dan sunnah adalah sebagai petunjuk dalam
mengendalikan tatacara menyambut Hari Raya Aidilfitri kerana inilah masa untuk
kita semua membuktikan bahawa kita benar-benar telah menjadi seorang insan yang
bertakwa setelah melalui ibadah puasa dan pengisiannya di bulan Ramadan kerana
matlamat utama yang terdapat dalam ibadah puasa ialah membentuk golongan
muttaqin (orang yang bertakwa).
Amalan-amalan yang telah diajarkan oleh Rasulullah
s.a.w semasa menyambut ketibaan hari raya Aidilfitri ini antaranya ;
1.
Bertakbir
Bertakbir pada 1 Syawal bersempena Aidilfitri
merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula
ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari
raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah. Firman Allah S.W.T:
“Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan
Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi
petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur.” – Surah al-Baqarah:185.
Adalah juga disunnahkan untuk kita bertakbir
disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untu menunaikan solat
Aidilfitri.
Bertakbir sejak mula keluar dari rumah adalah
disyariatkan bertujuan menyerlahkan syiar Islam di setiap pelusuk jalan yang
dilalui ketika menuju ke tempat solat.
2.
Meneruskan qiamullail
Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah
bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya
solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada
hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak
bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail. Apa
yang cuba
ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadan (solat tarawih)
haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnya
sesudah bulan Ramadan.
3.
Mandi pada pagi hari raya
Disunnahkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi
wajib, iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri.
Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab:
“Tidak
harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat,
hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.” – Hadis riwayat Imam Syafie di
dalam Musnad al-Syafi’i, jil. 1, ms. 118-119.
4. Makan sebelum solat
Aidilfitri.
Disunnahkan
kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri.
Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada
hari raya. Menurut al-Muhallab r.h:
“Mengenai
hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar
seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat hari raya
Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah s.a.w ingin menutup prasangka
semacam ini.” – Rujuk Fath al-Bari, jil. 5, ms. 272.
Kebiasaannya,
Rasulullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari
raya. Namun, tidak bermakna umat Islam perlu menyediakan buah kurma untuk
dimakan pada pagi hari raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja.
Tetapi,
mengikut sunnah itu lebih baik daripada menyanggahinya. Sedangkan, sunnah itu
termasuk perkara tauqifi (tidak boleh dipersoalkan). Anas bin Malik r.a
berkata:
“Rasulullah
s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan
beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata: Ubaidillah menceritakan
kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang
ganjil.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 953.
Namun,
jika tidak memiliki kurma maka dibolehkan untuk mengisi perut dengan makanan
lain terutamanya makanan yang manis-manis seperti madu. Sekiranya tidak ada
makanan sama sekali, memadai dengan hanya meminum air.
5. Memakai pakaian yang indah
Disunnahkan
kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya.
Imam Syafier.h berkata:
“Aku
lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada
hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan
Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia
hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.” – Rujuk
Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327.
Bagi
kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, namun
mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang bercorak-corak serta
perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian golongan lelaki.
Bagi golongan kanak-kanak pula, Imam Syafie r.h menambah:
“Mengenai
golongan kanak-kanak pula, mereka boleh memakai pakaian paling bagus yang
dimilikinya, baik lelaki mahupun perempuan dan mereka juga boleh
memakaiperhiasan emas atau apa sahaja perhiasan.” – Rujuk Ringkasan Kitab
al-Umm, Imam Syafie, jil. 1, ms. 327.
Semoga
di pagi hari raya kita akan memilih pakaian yang terbaik serta paling mahal
mengikut kemampuan masing-masing menuju ke tempat solat hari raya. Disunnahkan
juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada
kaum wanita. Sabda
Rasulullah s.a.w:
“Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia
melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia
adalah penzina.” – Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya. no: 5036.
Namun begitu bukanlah bermakna kaum wanita harus
membiarkan dirinya berbau busuk. Islam adalah agama yang menitik-beratkan
kebersihan serta kesihatan diri. Dibenarkan bagi wanita untuk memakai wangian
yang keharuman sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau busuk dan tidak
sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya. Haruman-haruman yang kuat
dan boleh menaikkan nafsu berahi hanyalah khusus untuk suaminya.
6.
Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya.
Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat
solat Aidilfitri jika tidak keberatan. Ali bin Abi Thalib r.a:
“Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke
tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat.” – Hadis riwayat
al-Tirmizi di dalam Sunannya, no: 487.
Namun begitu bagi yang sesiapa yang perlu menggunakan
kenderaan kerana tempat solat terlalu jauh, ia dibolehkan dalam syarak. Tetapi,
berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan.
7.
Mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat
hari raya.
Disunnahkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika
pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. Jabir bin ‘Abdullah r.a
berkata:
“Nabi s.a.w melalui jalan yang berbeza pada hari
raya.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 986.
Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h berkata:
“Baginda s.a.w selalu melalui jalan yang berbeza
ketika menuju dan pulang dari tempat solat pada hari raya. Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar
dapat bersalaman dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu.
Sebahagian lain berpendapat untukmemberikan barakah kepada mereka. Ada juga berpendapat untuk
memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di kedua-dua jalan itu.
Menurut pendapat lain pula untuk menampakkan syiar Islam
di jalan-jalan.
Terdapat juga pendapat
yang mengatakan supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya).
Orang yang berjalan ke masjid atau tempat solat, salah satu langkah kakinya
akan meninggikandarjat. Sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan
kesalahan-kesalahannya.” – Rujuk Zaadul Ma’ad, Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, ms.
49.
8. Tempat perlaksanaan solat hari
raya
Sunnah mengerjakan solat
hari raya di kawasan lapang atau musholla (tempat terbuka seperti padang sehingga
khatib dapat melihat semua hadirin) merupakan satu amalan yang jarang dilakukan
di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat berpegang
kepada sunnah Nabi s.a.w.
Apakah musholla itu
berbeza dengan masjid? Abu Said al-Khudri r.a berkata:
“Pada hari Aidilfitri dan
Aidiladha, Rasulullah s.a.w keluar menuju ke musholla. Ketika itu, perkara
pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mengerjakan solat hari raya (tanpa
ada sebarang solat sunat).” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no:
956.
Tentang hikmah mengerjakan
solat hari raya di musolla, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata:
“Sesungguhnya mengerjakan
kedua-dua solat hari raya di tanah lapang mengandungi hikmah yang besar. Di
antaranya adalah seluruh kaum muslimin setidak-tidaknya mereka boleh berkumpul
bersama (bersua muka) dua kali dalam setahun. Semua orang dariseluruh pelusuk
negeri akan berkumpul di sebuah tempat sama ada lelaki, perempuan atau
kanak-kanak. Mereka semua menghadap Allah dengan hati yang penuh konsentrasi,
dikumpulkan dengan satu kalimat (tauhid), solat di belakang seorang imam,
membaca takbir dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas.
Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan mensyukuri
nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan itu, hari raya
benar-benar bermakna bagi mereka.” – Rujuk Koreksi Total Ritual Shalat, Syeikh
Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan, ms. 394.
9. Mengerjakan Solat Aidilfitri
Di antara syiar yang
paling utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlakasanaan solat Aidilfitri
sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam. Ibn Abbas r.a berkata:
“Rasulullah s.a.w telah
keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya
sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan
sesudahnya.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 989.
Disunnahkan menyampaikan
khutbah sesudah mengerjakan solat hari raya Aidilfitri. Abu Sa’id al-Khudri r.a
berkata:
“Pada hari raya Aidilfitri
dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar menuju musolla. Perkara pertama
yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan mengimami
solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum yang
sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat,
wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah).” – Hadis riwayat al-Bukhari di
dalam Sahihnya, no: 956.
Para jemaah tidak
diwajibkan menghadiri atau mendengar khutbah hari raya. Sebaik sahaja selesai
mengerjakan solat hari raya, sesiapa yang tidak ingin turut serta mendengar
khutbah maka dia dibenarkan meninggalkan majlis itu. Abdullah bin al-Sa’ib r.a
berkata:
“Aku pernah menghadiri
solat hari raya bersama Nabi s.a.w. Setelah selesai solat baginda bersabda:
Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk mendengar
khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang ingin pergi, dia boleh beredar.” – Hadis
riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, no: 975.
10. Bergembira Pada Hari Raya
Aidilfitri
Islam adalah agama yang
begitu praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan
sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut
kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan.
Oleh itu, usaha-usaha
untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada hari
raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam. Suasana kegembiraan ini
berbeza mengikut adat setempat. Semua
bentuk suasana kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian dari tuntutan
agama Islam sempena menyambut hari raya Aidilfitri selagi ia dilaksanakan
sesuai dengan lunas-lunas syarak. Syeikh Sayyid Sabiq r.h berkata:
“Mengadakan permainan
serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk
nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar agama yang
disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani dan memberi
kepuasan serta kegirangan hati.” – Rujuk Fiqh al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq,
jil. 2, ms. 290.
Rasulullah s.a.w sendiri
telah membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya
hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik r.a berkata:
“Nabi s.a.w pernah datang
ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main
(bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata:
Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang
menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi:
Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebihbaik,
iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” – Hadis riwayat al-Nasaai di dalam
Sunannya, no: 959.
11. Mengerjakan Puasa Sunat Enam
Hari Pada Bulan Syawal
Sabda
Rasulullah s.a.w:
“Sesiapa
yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan
Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.” – Hadis riwayat Muslim di
dalam Sahihnya, no: 1164.
Demikianlah
keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Cara yang paling afdal untuk
melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri secara
berturut-turut (bermula pada 2 Syawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh para
ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie r.h. Namun,
seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal,
pertengahan mahupun di akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan secara
berturut-turut atau berpisah-pisah.
Afdhal
menyempurnakan puasa bulan Ramadan yang itinggalkan terlebih dahulu diikuti
puasa sunat di bulan Syawal. Perbuatan ini lebih bertepatan dengan maksud hadis
di atas untuk mendapat keutamaannya, iaitu seolah-olah berpuasa setahun.
No comments:
Post a Comment