BAHAYA PENYAKIT
AL-AIN
Hadis al-‘Ain, Sabda Rasulullah SAW:
Al-‘Ain adalah benar.[1]
Apakah
itu Al-‘Ain ?
Benarkah ia boleh menyebabkan sihir dan penyakit hanya apabila dua orang saling
memandang ?
Al-‘Ain adalah tilik mata yang dengannya seseorang itu
boleh menyebabkan orang lain yang dipandang matanya menjadi sakit, lemah atau
disihir.
Al-‘Ain berlaku kerana kejahatan segelintir manusia
yang memiliki tenaga telepati yang tinggi[2] dan juga kerana kejahatan jin dan
syaitan. Sabda Rasulullah SAW:
Al-‘Ain adalah benar, syaitan dan manusia
yang dengki mengganggu kamu dengannya.[3]
Syaitan mengganggu manusia melalui beberapa cara dan
salah satu daripadanya adalah seperti hadis di atas, iaitu melalui pandangan
mata.
Dalam kes ini mungkin sahaja syaitan menjelma menjadi
sesuatu makhluk dan dengan pandangannya dia berjaya menilik mata seseorang dan
memberi gangguan kepadanya, sama ada gangguan jasmani atau rohani.
Gangguan manusia juga tidak dapat kita nafikan. Ia
lahir dari sifat dengki dan cemburu seseorang kepada seseorang yang lain. Disebabkan
tahap kedengkian dan kecemburuannya yang amat tinggi, mungkin sahaja ia dapat
disalurkan melalui matanya hingga memberi pengaruh buruk kepada mata orang lain
yang dipandangnya.
Kerana itu Rasulullah SAW pernah mengingatkan kita:
Apabila seseorang kamu melihat terhadap
dirinya atau hartanya atau tentang saudaranya apa yang mengkagumkannya, maka
doakanlah baginya keberkatan, kerana sesungguhnya Al-‘Ain adalah sesuatu yang
benar.[4]
Makhluk jin juga boleh mengganggu manusia melalui al-‘Ain.
Ummu Salamah radiallahu ‘anha menerangkan bahawa di satu ketika pernah seorang
budak kerja wanita di rumahnya yang warna mukanya berbeza daripada kebiasaan. Melihat
itu baginda bersabda:
Jampikanlah untuk dia sebab dia terkena al-Nazrah.[5]
Al-Nazrah maksudnya adalah sesuatu yang berasal daripada jin. Justeru maksudnya ia
terkena Al-‘Ain lantaran pandangan jin yang menusuk dari mata lembing.[6]
Dalam hadis di atas Rasulullah SAW menyuruh pesakit Al-‘Ain
diubati dengan jampi-jampian. Jampi yang dimaksudkan ialah membaca dua surah
terakhir dalam al-Qur’an. Abu Sa‘id al-Khudri RA menerangkan:
Adalah Rasulullah SAW berta‘awuz (berdoa
meminta perlindungan Allah) daripada ‘ain Jin, kemudian ‘ain manusia. Setelah
turunnya surah al-Mu‘awwizatani, baginda mengambil (mengamalkan) keduanya dan
meninggalkan yang selain dari itu. [7]
Demikian penjelasan tentang al-‘Ain. Tentang benar
atau tidak al-‘Ain, memang sukar untuk diukur dengan daya nalar kerana ia
adalah sesuatu yang berada di luar jangkauannya. Kerana itu Rasulullah SAW
bersabda: Al-‘Ain adalah benar – bertujuan untuk menyedarkan umatnya tentang kebenaran
perkara ini dan bahayanya yang tinggi.
Oleh itu hendaklah setiap orang berwaspada tentangnya
kerana ia termasuk dalam bab perkara ghaib sepertimana gangguan syaitan, jin
dan sihir yang semuanya sukar dikesan oleh mata kasar. Hendaklah
selalu membaca dua surah terakhir al-Qur’an (Al-Falaq
Dan An-Nas) , iaitu surah yang dikenali
sebagai al-Mu‘awwizatan sebagai pelindung daripada al-‘Ain.
---------------------
Nota Kaki :
[1] Sahih: Sebahagian hadis daripada Abu
Hurairah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Muslim dan lain-lain,
lihat Sahih al-Bukhari – no: 5740 (Kitab Tibb, Bab Al-‘Ain adalah benar).
[2] Lihat penjelasan Ibn al-Qayyim dalam
Zaad al-Ma‘ad, jld 6, ms 244-247.
[3] Sahih: Hadis daripada Abu Hurairah
radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad dan dinilai sahih oleh Hamzah Ahmad
Zain dalam Musnad Ahmad – no: 9631 (Musnad Abu Hurairah, hadathana Ibn Numair...............).
[4] Hasan: Hadis daripada ‘Amr bin Rabi‘ah
radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Abu Ya’la, al-Hakim dan al-Thabarani, isnadnya
dinilai baik (jayyid) oleh Husain Salim Asad dalam Musnad Abu Ya’la – no: 7195
(Musnad hadis ‘Amr bin Rabi‘ah, hadathana Abu Bakar bin Abi Syaibah.............).
al-Suyuti menukilnya dalam al-Jamii’ al-Sagheir – no: 622 dan beliau
mensahihkannya dan ini dipersetujui oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih al-Jamii’
al-Sagheir – no: 556.
[5] Sahih: Sebahagian hadis yang
dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, di atas dengan lafaz
al-Bukhari, lihat Sahih al-Bukhari – no: 5739 (Kitab Tibb, Bab Ruqyah al-‘Ain).
[6] Al-Baghawi – Syarah al-Sunnah (tahqiq &
takhrij Syu‘aib al-Arna’uth, Maktabah Islami, Beirut 1983), jld 12, ms 163.
[7] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi, al-Nasa’i
(Sunan & Kabir), Ibn Majah, al-Baihaqi (al-Kubra & al-Iman) dan lain-lain,
dinilai sahih oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih Sunan al-Nasa’i (Maktabah
al-Ma‘arif, Riyadh 1998) – no: 5509 (Kitab Memohon perlindungan, Bab
Perlindungan dari ‘ain jin).
Kredit kepada : http://www.hafizfirdaus.com/ebook/HadisMusykil/tajuk25.htm
No comments:
Post a Comment