PERSTIWA TAHKIM
(VERSI SYIAH LWN VERSI AHLI SUNNAH)
Peperangan Siffin adalah peperangan kedua yang berlaku antara para Sahabat Nabi s.a.w ridwanullahi alaihim ajmain.
Sebelumnya berlaku peperangan Jamal di antara
Saidina Ali bin Abi Talib r.a dan Saidina Talhah r.a, al-Zubair, dan Ummul
Mukminin Aisyah r.a. Semuanya angkara tipu
muslihat puak kafir Yahudi dikepalai oleh Abdullah bin Saba’.
Telah popular peristiwa yang berlaku antara Saidina
Ali bin Abi Talib r.a dan Saidina Muawiyah bin Abi Sufian radiallahuanhuma
selepas selesai perang Siffin, pihak Saidina Muawiyah r.a menuntut perdamaian
dengan tentera Syam (pihak Saidina
Muawiyah r.a) mengangkat Mushaf al-Quran di hujung tombak tanda memohon
perdamaian.
Abdullah bin Saba’, pengasas ajaran Syiah
telah menyebar fitnah dan mempergunakan kaum muslimin yang masih baharu memeluk
Islam daripada Mesir, Iraq, dan Farsi (Iran) untuk bangkit menentang Khalifah
Usman bin Affan r.a sehingga terbunuhnya Khalifah Usman r.a secara terzalim dan
teraniaya.
Kematian Usman r.a yang tragis ini
menimbulkan kemarahan Sahabat r.a dan bangkit untuk menuntut bela terhadap
Usman r.a, namun keadaan yang rumit berlaku kerana pembunuh-pembunh Usman r.a
telah melantik diri mereka sebagai kerajaan yang baru seperti al-Asytar yang telah
dijadikan oleh para pemberontak sebagai panglima perang Khalifah yang baharu,
Saidina Ali bin Abu Talib r.a.
Saidina Ali r.a berpandangan perkara yang
pertama perlu dilakukan adalah mengukuhkan pemerintahan beliau dan para Sahabat
hendaklah membaiat beliau terlebih dahulu untuk memperkukuh kedudukan kaum
muslimin dan melemahkan kedudukan para pemberontak Usman r.a.
Saidina Muawiyah r.a berpandangan
sebaliknya, iaitu hendaklah dilaksanakan Qisas dahulu terhadap pembunuh Usman
r.a baharulah mereka akan membaiat Saidina Ali r.a. Antara mereka yang berkeras
dengan pedirian ini adalah Saidina Muawiyah r.a berpegang dengan firman Allah
Taala:
Maksudnya: “dan sesiapa yang dibunuh
secara zalim, maka Sesungguhnya Kami telah menjadikan warisnya berkuasa menuntut
balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu,
kerana Sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum
Syarak).”
[al-Israa: 33].
Saidina Muawiyah r.a berijtihad, menurut
hukum Syarak beliau mempunyai kekuasaan penuh untuk menuntut qisas terhadap
pembunuh Usman r.a kerana beliau adalah wali (sepupu) Usman r.a yang paling
utama.
[al-Bidayah wa al-Nihayah, 8/23].
Saidina Muawiyah r.a bukanlah memerangi
Saidina Ali r.a kerana ingin merebut jawatan Khalifah daripada Saidina Ali r.a
sebagaimana kata beliau:
Maksudnya: “Aku tidak
memerangi Ali kecuali kerana urusan Usman” [Musannaf Ibn Abi
Syaibah, hadis no. 31193, cet Darul Qiblah].
Abu Muslim al-Khaulani r.h datang kepada Saidina
Muawiyah r.a bersama dengan beberapa orang lagi bertanya kepada beliau: “Adakah tuan mencabar Ali atau tuan ini setaraf
dengannya?”
Jawab Saidina Muawiyah r.a: “Tidak, demi Allah sesungguhnya aku mengetahui bahawa Ali itu lebih
utama daripada aku dan dia lebih berhak menjadi Khalifah berbanding aku, tetapi
bukankah kamu mengetahui bahawa Usman dibunuh secara zalim, sedang aku adalah
sepupu beliau, maka aku menunutut darah Usman (pelaksanaan Qisas), maka
pergilah kamu kepada beliau (Ali r.a) dan beritahu kepadanya: beri kepadaku
pembunuh-pembunuh Usman maka aku akan menyerah kepadanya (berbaiat)”.
[Siyar A’lam al-Nubala’, 3/140]
Maka jelas sekali bahawa Saidina Muawiyah
r.a bukanlah berperang atas dasar hawa nafsu bahkan beliau tersalah dalam
ijtihad beliau, maka baginya satu pahala, adapun Saidina Ali r.a beliau
melakukan yang terbaik dan beliau lebih benar dalam ijtihad beliau, maka bagi
beliau dua pahala Insha Allah. [al-Hiqbah min al-Tarikh, Usman al-Khumayyis, 187].
Riwayat
Peristiwa Tahkim Yang Popular
Telah masyhur dalam kitab-kitab sejarah riwayat
peristiwa Tahkim iaitu perdamaian antara Saidian Ali r.a dan Saidina Muawiyah
r.a. S emua riwayat ini kembali kepada Kitab Tarikh al-Tabari r.h sebagai
berikut:
“Ali r.a telah mengutuskan 400 orang lelaki
diketuai oleh Syuraih bin Hani al-Harisi, bersama mereka juga Ibn Abbas r.a
selaku Imam solat dan pemutus kata urusan mereka, termasuk juga bersama mereka
Abu Musa al-Asy’ari. Muawiyah juga mengutus 400 orang daripada penduduk Syam
sehingga mereka bertemu di Daumatul Jandal, Azrah. Muawiyah apabila dia
mengutuskan utusan kepada Amru bin al-As r.a maka utusannya adalah rahsia
antara Abdullah bin al-As, adapun Saidina Ali apabila mengutus apa-apa pesanan
kepada Ibn Abbas r.a terpaksa didedahkan kepada pengikutnya kerana mereka suka
berwasangka. Hal ini menimbulkan ketidak selesaan kepada Ibn Abbas kerana
menunjukkan pasukan Ali r.a kurang setia sedangkan pasukan Muawiyah sangat
patuh kepada ketua mereka.
Turut menyaksikan perhimpunan mereka itu
(selaku pemerhati) adalah Abdullah bin Umar, Abdullah bin al-Zubair, Abdul
Rahman bin al-Haris al-Makhzumi, Abdul Rahman bin Abdu Yaghus al-Zuhri, Abu
Jahm bin Huzaifah al-Adwi, dan al-Mughirah bin Syu’bah al-Saqafi. Umar bin Saad
bin al-Waqqas telah berjumpa dengan bapanya Saad bin al-Waqqas r.a yang
menjauhkan diri daripada fitnah dan memujuk ayahnya supaya menyertai
perhimpunan tersebut dengan harapan mereka akan melantik beliau sebagai
Khalifah kerana Saad bin al-Waqqas adalah salah seorang Ahli Syura yang
dilantik Saidina Umar r.a. Namun, Saad tetap bertegas untuk tidak menyertai
perhimpunan tersebut atas dasar menjauhi fitnah.
Kemudian dua orang hakam itu (Amru bin al-As
dan Abu Musa al-Asy’ari) bertemu dan Amru cuba memujuk Abu Musa untuk
menyokong Muawiyah r.a dengan memberikan tawaran jawatan namun Abu Musa
al-Asy’ari menolak tawaran tersebut dan memarahi Amru bin al-As.
Abu Musa al-Asyari pula mencadangkan untuk
melantik Abdullah bin Umar r.a namun Amru mencadangkan nama anaknya sendiri
Abdullah bin Amru r.a tetapi ditolak juga oleh Abu Musa al-Asyari.
Ali r.a juga memberi pesanan kepada Amru bin
al-As r.a melalui Syuraih bin Hani, memujuk Amru bin al-As supaya memihak
kepada beliau dan meninggalkan Muawiyah r.a namun Amru bin al-As enggan
mendengar dan menolak.
Kemudian setelah Amru enggan menurut
cadangan Abu Musa al-Asy’ari melantik Ibn Umar sebagai Khalifah dan Abu Musa
enggan menerima cadangan Amru melantuk Abdullah Ibn Amru sebagai Khalifah,
mereka bersetuju untuk memecat kedua-dua Khalifah Ali r.a dan Muawiyah r.a
serta menyerahkan perlantikan Khalifah yang baharu kepada Syura kaum muslimin.
Namun, ketika pengumuman persetujuan dibuat,
Amru bin al-As r.a menyuruh Abu Musa berucap dahulu dan Abu Musa
mengisytiharkan pemecatan Ali dan Muawiyah dan mengembalikan hak perlantikan
Khalifah kepada kaum muslimin. Ibn Abbas r.a pada mulanya melarang Abu Musa
bercakap dahulu kerana bimbang akan berlaku tipu helah daripada Amru namun Abu
Musa tetap percaya kepada Amru.
Kemudian Amru bangun berucap dan
mengisytiharkan pemecatan Saidina Ali r.a dan dia membaiat Saidina Muawiyah r.a
sebagai Khalifah. Keadaan ini menimbulkan huru hara dan Abu Musa al-Asy’ari r.a
telah melaknat Amru bin al-As r.a dengan memanggil beliau sebagai pengkhianat
dan anjing. Syuraih kemudiannya telah memukul Amru dengan cemeti dan dia
menyatakan bahawa alangkah baiknya jika dia membunuh sahaja Amru bin al-As r.a.
Kemudian kedua-dua pihak kembali kepada
ketua masing-masing, Ahli Kufah kepada Ali r.a kecuali Abu Musa yang melarikan
diri kerana malu dan Ahli Syam kembali kepada Muawiyah dan membaiat beliau
sebagai Khalifah. Hasil peristiwa ini, Ahli Syam berqunut dalam solat mereka
dan melaknat Saidina Ali r.a dan Ahli Kufah manakala Ahli Kufah pula berqunut
melaknat Muawiyah r.a dan Ahli Syam.” [Tarikh al-Tabari, juz 5, Bab Berita Perhimpunan
Keduanya (Ali dan Muawiyah)].
Demikianlah ringkasan riwayat-riwayat yang disebut
dalam Tarikh Tabari dan dinaqal para sejarawan selepas beliau. Namun, Imam al-Tabari r.h selaku seorang Ahli Tafsir
bahkan Imam al-Mufassirin dan seorang Ahli Hadis tidaklah meriwayatkan kisah
ini begitu sahaja, bahkan beliau telah mendatangkan sanadnya sekali.
Kesemua kisah ini bersumber daripada Abu
Mikhnaf Lut bin Yahya al-Kufi, seorang yang banyak meriwayatkan kisah-kisah dan
riwayat-riwayat sejarah.
Maka dengan mudah kita dapat menilai kisah
yang menjadi sandaran kaum Syiah mencela dan melaknat Saidina Amru bin al-As
r.a bahkan Abu Musa al-Asy’ari r.a ini. Abu Mikhnaf adalah seorang yang tidak
dipercayai pada riwayatnya.
Imam Yahya bin Main r.h berkata: “Tidak
Siqah”, Abu Hatim r.h berkata berkenaan Abu Mikhnaf ini: “Matrukul Hadis
(ditinggalkan riwayatnya)”, dan Imam al-Daruqatni r.h berkata: “Seorang pembawa
berita yang daif (lemah)”. [Siyar A’lam al-Nubalaa, 7/302].
Al-Zarkali r.h dalam kitabnya, al-A’lam
menyatakan bahawa Abu Mukhnif ini adalah seorang Syiah Imamiah. Hal ini
dashihkan oleh Aqabazrak al-Tehrani dalam kitabya, al-Zariah fi Wasail al-Syiah
yang merupakan Mukjam kepada senarai kitab-kitab Syiah. [al-A’lam, 5/245, al-Zariah,
1/333-337].
Telah sabit dalam kaedah Ilmu Hadis, tidak
diterima riwayat Ahli Bidaah yang menyeru kepada bidaahnya, dan dalam riwayat
ini jelas sekali menyeru kepada pencelaan terhadap Sahabat bahkan menyeru
kepada melaknat Muawiyah r.a, Amru bin al-As r.a dan ramainya Sahabat-sahabat
Nabi s.a.w yang mulia.
[Qawaid al-Tahdis, 191-192].
Syeikh Yahya bin Ibrahim al-Yahya
hafizahullah telah menghimpunkan semua riwayat berkenaan peristiwa Tahkim
daripada Abu Mikhnaf dan riwayat lain yang seumpama dengan cerita Abu Mikhnaf
ini namun kesemua riwayat yang seumpama ini adalah daif yang tidak dapat
dijadikan hujah sama sekali. [Marwiyyat Abi Mikhnaf, Fasal Keempat: al-Tahkim dan Keluarnya
Khawarij, 377 dan selepasnya, Darul Riyad].
Syeikh Usman al-Khumayyis hafizahullah
berkata: “Kisah ini adalah palsu dan dusta, jaguh periwayatnya adalah Abu
Mikhnaf yang telah kami sebutkan berkali-kali (kedaifan dan keplasuan
riwayatnya)..”
[al-Hiqbah min al-Tarikh, 191].
Pencerahan - Kisah
Tahkim yang Sahih
Kisah yang sahih berkenaan peristiwa
Tahkim ini adalah sebagaimana yang dikeluarkan Imam al-Bukhari secara ringkas
dalam Tarikh Kabir [5/398] dan Ibn Asakir dalam Tarikh Damsyiq [46/175],
al-Daruqatni sebagimana yang dinyatakan Abu Bakar Ibn al-Arabi r.h dalam
al-Awasim [m.s 143-144] sebagai berikut :
“Setelah Muawiyah r.a (yakni
setelah Muawiyah r.a menjadi Khalifah) memecat Amru bin al-As r.a daripada
jawatan gabenor Mesir, Amru bin al-As r.a telah membina fustat (khemah tempat
tinggal) beliau berdekatan dengan fustat Muawiyah r.a dan selalu duduk di
khemahnya itu, lalu Muawiyah r.a telah mengutusku kepadanya dan berkata:
‘Pergilah kamu kepadanya dan beritahu kepadanya telah sampai kepadaku sesuatu
yang aku tidak suka berkenaannya, tanya kepadanya berkenaan peristiwa ketika
dia berkumpul dengan Abu Musa al-Asy’ari (Tahkim) bagaimana mereka lakukan?’.
Maka aku pergi kepadanya dan berkata: ‘Ceritakanlah kepadaku bagaimana
sebenarnya yang berlaku pada hari kamu berjumpa dengan Abu Musa al-Asy’ari?’.
Kata beliau: ‘Manusia telah bercerita dengan pelbagai cerita tetapi apa yang
mereka ceritakan itu bukanlah yang sebenarnya demi Allah, tetapi apabila aku
telah bertemu dengan Abu Musa aku berkata kepada beliau: Apakah pendapat kamu
berkenaan perkara ini? Kata Abu Musa: Aku lihat perkara ini (pertlingkahan)
berlaku antara kaum yang telah diredai Rasulullah s.a.w ketika baginda wafat.
Kataku: Bagaimana pendapat kamu mengenai aku dan Muawiyah? Kata Abu Musa: Jika
dia (Ali r.a) meminta bantuan kamu berdua maka kamu berdua perlu menolongnya
namun jika dia tidak meminta bantuan kamu maka demikianlah urusan Allah pada
kamu berdua”.
Demikianlah yang sebenarnya, iaitu peristiwa Tahkim ini berakhir dengan tiada
keputusan muktamad kecuali Saidina Ali r.a terus
kekal sebagai Khalifah dan Saidina
Muawiyah r.a terus kekal sebagai Gabenor Syam.
Telah kita nyatakan sebelum ini bahawa
pertelingkahan antara Ali dan Muawiyah radiallahuanhuma adalah berkenaan
pelaksanaan Qisas terhadap pembunuh-pembunuh Usman r.a bukan masalah jawatan
Khalifah, maka
adalah amat pelik jika Tahkim ini berlangsung di luar tajuk, maka riwayat Abu Mikhnaf yang lalu telah maklum kebatilannya
walaupun tidak meneliti kepada sanadnya sekalipun.
Demikian juga kisah sahih bahawa
Muawiyah r.a memujuk Abu Musa al-Asy’ari r.a berbaiat kepada beliau seperti
mana Amru bin al-As r.a berbaiat bukanlah bermakna baiat sebagai Khalifah
tetapi usaha Muawiyah r.a memujuk Abu Musa untuk menyokong usaha beliau
menuntut darah Usman r.a kerana ini lah baiat Ahli Syam kepada Muawiyah r.a
iaitu tidak akan membaiat Ali r.a sehingga Ali r.a melaksanakan Qisas terhadap
para pembunuh Usman r.a bukan melantik Muawiyah r.a sebagai Khalifah. [Asrul Khilafah al-Rasyidah,
Dr. Akram Diya’ al-Umari, 474-475].
Kesimpulan
:
Berdasarkan penjelasan berkenaan peritiwa ini,
menunjukkan bahawa :
1. Amru bin al-As r.a adalah Sahabat
yang mulia dan beliau bukanlah seorang
penipu atau pengkhianat.
2. Peperangan Siffin berlaku atas ijtihad
para Sahabat dan janganlah kita mencemarkan lidah dengan darah yang Allah Taala
telah biarkan ianya mengalir.
3. Abu Musa al-Asy’ari bukanlah seorang
bodoh atau kurang cerdik seperti tuduhan kaum Syiah bahkan beliau seorang faqih
dan sangat bijak dalam menjaga perpaduan kaum muslimin.
4. Peristiwa Tahkim menunjukkan
keikhlasan pihak Ali r.a yang diwakili oleh Abu Musa r.a dan pihak Muawiyah r.a
yang diwakili Amru r.a untuk mencari perdamaian walaupun tidak membawa hasil
yang diharapkan.
5. Amru bin al-As r.a bukanlah seorang
yang memecah belahkan umat bahkan beliau berusaha mencari perdamaian dengan Ali
r.a yang terserlah melalui perbincangan beliau dengan Abu Musa r.a seperti
dalam riwayat tahkim yang sahih.
6. Kaum Syiah adalah Dajjal dan perosak
sebenar sejarah Islam, merekalah yang berhak dilaknat Allah.
Sumber Asal : http://bahayairan.wordpress.com/tag/tahkim/
MUHAMMAD ASRIE BIN
SOBRI
No comments:
Post a Comment