Puasa Sunat Enam Syawal
Persoalan Sunat Sebelum Qadha Dan Gabung Qadha dan Sunat
Ibadah puasa adalah amalan
mulia yang amat digalakkan oleh Islam.
Selain puasa fardhu Ramadhan, umat
Islam juga boleh melakukan ibadat
puasa sunat. Ada
puasa sunat yang bersifat mingguan (seperti berpuasa pada hari isnin dan
khamis), puasa bulanan (tiga hari dalam sebulan) dan puasa tahunan (hari Arafah,
‟Asyura‟ dan enam hari dalam bulan Syawal). Puasa
adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa
Rasulullah saw bersabda, Allah swt berfirman (dalam hadis Qudsi): Maksudnya: “Setiap
amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku
memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu).”
(Rasulullah menjelaskan): “Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tanganNya, nafas
orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian
kasturi.” [Muslim no: 1151]
Selain
hadis di atas, terdapat banyak hadis lain yang menerangkan keutamaan puasa
sunat. Abu Said Al-Khudri ra berkata: Rasulullah saw bersabda: Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya
Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun”.
[Al-Bukhari no: 2840]
Di
antara puasa sunat ialah puasa enam hari pada bulan Syawal. Di
sini ini akan dibincangkan tentang puasa sunat ini. Dalil Puasa Sunat Enam
Syawal. Abu Ayyub Al-Ansari ra berkata:
Rasulullah saw bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” [Muslim no: 1164].
Di dalam hadis tersebut Rasulullah saw menyatakan bahawa puasa enam hari
selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama
setahun. Para ulama‟
menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut, kerana setiap amalan kebaikan
manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan
diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula
diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir
menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari.
Hukum Puasa Enam
Syawal.
Hukumnya adalah sunat. Berkata Imam An-Nawawi rh:
“Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam alSyafi‟e, Imam Ahmad, Daud dan ulama‟ yang
sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan
Syawal).
Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula menganggap hukumnya
makruh. Sebabnya kerana bimbang orang ramai akan menyangka ia adalah sebahagian
dari puasa Ramadhan (yang wajib hukumnya) padahal ia bukanlah dari puasa
Ramadhan.” [Syarah Sahih Muslim 8/56]
Bilakah
Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal?
Puasa
sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1
Syawal adalah hari Eidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari
tersebut. Abu Hurairah ra berkata:
Maksudnya: “Nabi saw melarang puasa pada hari (Eidil) Fitri dan (Eidil)
Adha.” [Al-Bukhari no: 1991].
Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal?
Syarat dan adab bagi puasa
sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan.
Persoalan yang menjadi perbincangan di kalangan para ulama‟
ialah:
1- Adakah ia dilaksanakan secara
berturut-turut selama enam hari atau secara terputus?
Pandangan yang lebih tepat
adalah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah
enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila
Rasulullah saw menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan
Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Maka puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal
asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah berakhir bulan Syawal.
Namun
adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan umum
firman Allah swt: Maksudnya: “Dan
bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat)
keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya
seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.”
[Surah Aali Imran:133]
2- Melaksanakan
Puasa Sunat Enam Syawal Sebelum Mengqadha Puasa Ramadhan.
Wujud perbincangan di kalangan para ulama, apakah dibolehkan berpuasa
sunat enam Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan yang belum
diqadhanya? Perbincangan ini menghasilkan dua pendapat. Pendapat Pertama: Boleh
melakukannya, berdasarkan dalil bahawa Aisyah radhiallahu 'anha pernah
mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya hingga ke bulan Sya’ban yang akan datang. Aisyah
ra berkata: Maksudnya: “Aku memiliki hutang puasa
bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bulan Sya‟ban.” Kerana sibuk (melayani) Rasulullah saw. [Muslim no: 1146. Al-Bukhari,
no: 1950]
Penjelasan “kerana sibuk
melayani Rasulullah saw” ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang
bernama Yahya bin Sa„id. Para ulama‟ yang mengemukakan pendapat
pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah saw, yakni Aisyah
ra, tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya
dan tindakan beliau yang mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Sya‟ban menunjukkan dibolehkan
berpuasa sunat enam Syawal sekali pun rang itu memiliki hutang puasa Ramadhan.
Pendapat Kedua: Tidak boleh melakukannya, berdasarkan hadis yang
menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang telah dikemukakan di awal
risalah ini. Hadis tersebut berbunyi: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian
dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa
sepanjang tahun.” Rasulullah saw mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian
barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”.
Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah
seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan
ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi
dengan puasa sunat enam Syawal.
Kalau diperhatikan secara teliti, pendapat yang kedua lebih rajih
(kuat); Kerana ianya lebih menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri.
Selain dari itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan dari memberi
sedekah yang sunat. Ini disokong dengan ayat 133 surah Aali Imran yang
dikemukakan sebelum ini, yang menganjurkan kita untuk menyegerakan amal
kebajikan. Sudah tentu amal yang wajib lebih perlu disegerakan daripada amal
yang sunat.
Namun, sekiranya seorang itu tidak berkesempatan (disebabkan keuzuran)
untuk melakukan qadha kemudian berpuasa enam dan dia berkeyakinan akan sempat
mengqadhakannya sebelum Ramadhan tahun berikutnya, maka pendapat yang pertama
boleh diterima, berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aisyah ra. Menurut Imam
An-Nawawi rh,Mazhab Malik, Abu Hanifah, Asy-Syafie, Ahmad dan jumhur salaf dan
khalaf mengatakan: “Qadha puasa Ramadhan bagi mereka yang berbuka kerana uzur
seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan mengqadhanya adalah secara
bertangguh (’ala at-tarakhi), tidak disyaratkan qadha terus apabila boleh
melakukannya”. [Syarah Sahih Muslim 8/22].
Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini: “Sesiapa yang tertinggal puasa
Ramadhan, sunat dia mengqadhakannya secara berturut-turut dan makruh bagi orang
yang ada qadha Ramadhan melakukan puasa sunat”. [Mughni Al-Muhtaj 2/181 cet,
Darul Kutub al-Ilmiah, Beirut].
3- Menggabungkan
puasa qadha dan puasa enam.
Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah
harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha dan puasa enam hari
di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa
yang satu?
Persoalan ini berlaku khilaf di kalangan ulama, sebahagiannya yang
berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang
lain atau dengan puasa sunat yang lain, sekiranya dilakukan maka puasanya itu
tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat.
Ada dikalangan ulama Syafi’iyyah berpendapat bahawa
ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha
sekalipun ia tidak berniat menggabungkan keduaduanya, namun pahala yang
diperolehi kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan.
[Lihat: Mughni Al-Muhtaj 2/184, Hasyiah Asy-Syarqawi 1/428, Fatawa Al-Azhar
9/261 Al-Maktabah Asy-Syamilah]
Setelah dikaji, pandangan ulama yang membolehkan
puasa dua dalam satu ini, tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Quran dan
al-Sunnah. Mereka juga mengatakan amalan ini hanya mendapat pahala kerana
kebetulan berpuasa qadha dalam bulan Syawal, sama seperti pahala sunat
tahiyatul masjid dengan solat fardhu (orang yang terus melakukan solat fardhu
apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyatul
masjid).
Wajarlah, lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardhu dan
sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah
SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi
kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentulah lebih menunjukkan
kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredhaan Tuhannya. Ini
juga lebih berhati-hati (ahwat) dalam ibadat, serta melakukan ibadat dengan
yakin adalah lebih utama (aula).Sebagai kesimpulan, puasa sunat semata-mata
kerana Allah (bukan kerana sakit atau ingin berdiet) mempunyai kelebihan yang
besar di sisi Allah swt dan sangat digalakkan oleh Rasulullah saw.
Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah
sebagai penampal kepada mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Puasa enam
hari pada bulan Syawal ini pula thabit dari sunnah Rasulullah saw. Sempurnakan dahulu qadha
beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan
kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa
hadapan.
Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat
kerana sibuk dengan puasa wajib diharapkan Allah swt akan memberi ganjaran
berdasarkan niat dan azamnya. Semoga kita semua diberi taufiq dan hidayah oleh
Allah swt ke jalan yang di redhai-Nya.
Sumber Asal :
No comments:
Post a Comment