PERJALANAN ROH SETELAH MENINGGALKAN JASAD
Apabila ruh sudah berpisah dari tubuh, ia berada di
alam yang dinamakan Barzakh, dan ia tidak akan mampu sama sekali untuk kembali
ke alam dunia semula sama ada dalam keadaan baik atau buruk.
Dakwaan Roh pulang kembali ke
rumahnya setelah hari-hari tertentu adalah TIDAK BENAR. Tidak kiralah sama ada
roh itu dalam keadaan baik atau buruk. Manakala jika
benar kelihatan mahkluk seperti si mati dan kendengaran suara-suara menangis,
maka pandangan Ulama adalah ia hanyalah angkara Jin dan Syaitan yang menyerupai
si mati dan gangguan mereka, tidak lebih dari itu.
Bukti bahawa Roh tidak boleh kembali berdasarkan dalil
berikut :-
Firman Allah ertinya : " Hingga apabila datang kematian
kepada seseorang dari mereka ( orang kafir) dia berkata : " Ya Tuhanku
kembalikanlah aku ke dunia, agar aku berbuat amal yang soleh terhadap apa yang
telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak (jawapan Allah), sesungguhnya itu
adalah perkataan yang diucapkannya sahaja (janji kosong) . Dan di hadapan
mereka ada DINDING (barzakh) sampai hari mereka dibangkitkan" (
Al-Mu'minuun : 99-100).
Imam Mujahid (Tabien dan anak murid Ibn Abbas r.a) dan
Ibn Zaid berkata tentang ayat ini : "Barzakh adalah seperti satu tembok yang menghalang
orang yang mati kembali ke dunia."
Firman Allah ertinya : "Allah SWT memegang jiwa (ruh) ketika
matinya (seseorang) dan memegang jiwa(ruh) orang yang belum mati di waktu
tidurnya, maka Dia tahanlah jiwa yang lain sampai waktu yang ditentukan.."
( Az-Zumar : 42 ).
Melalui ayat ini, jelas bahawa roh berada di dalam
pegangan Allah SWT dan Allah tidak membenarkan sama sekali Roh untuk kembali ke
dunia, sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat sebelum ini,
Terdapat juga ulama berpandangan bahawa
roh orang yang telah mati boleh bertemu dengan roh orang hidup ketika mereka
sedang tidur (melalui mimpi). (Ar-Ruh, Ibn Qayyim, ms 20). Bagaimanapun, tiada
yang berpandangan roh tersebut boleh bertemu dengan orang hidup semasa sedar
mereka. Semua roh yang telah di ambil Allah SWT akan sibuk dengan urusan mereka
sama ada baik atau buruk.
Prof Ahmed Azzedine Al-Bayanuny dan Prof. Mohamed
Hussin pernah menegaskan bahwa dakwaan orang-orang kristian yang boleh bertemu
dengan ruh si mati dengan teknik jampian kahs adalah penipuan yang menggunakan
Jin dan syaitan. Ia bukannya ruh yang sebenar. ( Rujuk Al-Iman Bil Malaika dan
Al-Ruhiya al-Haditha)
Destinasi Roh Selepas Mati.
Ulama berbeza pandangan dalam menentukan tempat
tinggal Roh selepas mati seperti berikut
(Rujuk Syarh Al-‘Aqidah At-Tohawiyah, Tahqiq Syuaib Arnout, 2/613-614, cet
Muasassah ar-Risalah) :-
a) Roh Mukmin di
dalam Syurga dan Roh Kafir di dalam Neraka.
b) Kedua-duanya
di dalam kubur mereka, dan Roh Mukmin di bukakan taman Syurga serta memperolehi
nikmatnya dan Kafir di bukakan lubang azab neraka.
c) Roh Mukmin di
alam tinggi (‘illiyyin) di langit ketujuh dan Kafir di ‘Sijjin' di dunia yang
ketujuh terbawah.
d) Roh para
Shuhada' (mati syahid) berada di Syurga dan Roh seluruh Mukmin lain berada di
kuburan mereka. (pandangan Imam Ibn Abd Al-Barr)
Antara dalil dalam hal destinasi roh selepas kematian
ini ada diterangkan di dalam hadith
"
Roh yang Mukmin dalam keadaan burung-burung yang bergantungan di pokok-pokok di
dalam Syurga, sehinggalah Allah mengembalikannya kepada jasadnya pada hari
dibangkitkannya." (Ibn Majah, no 1449 ;
Ahmad, no 15716 12/315 cet Dar al-Hadis; Sohih menurut Ibn Hibban no. 743,
Syuaib Arnaout dan Ahmad Syakir)
Berdasarkan
sebuah hadith lain, apabila seorang Mukmin
itu mati rohnya akan dibawa naik
ke langit sehingga sampai ke langit ke tujuh, maka berkata Allah SWT : Tuliskan
buku hambaku ini di ‘illiyyin' (tempat yang tinggi) dan kemudian
dikembalikannya ke jasadnya kembali dan di datangi pula oleh dua Malaikat ... (Ringkasan Hadith riwayat
Ahmad, Abu Daud no 4753, Sohih menurut al-Hakim, Syuaib Arnaout dan Ahmad
Syakir)
Manakala
Roh si jahat dan Kafir pula juga di bawa naik ke langit dengan bau yang amat
busuk dan digelar dengan nama yang terburuk dan apabila sampai di langit, maka
tidak dibukakan pintu langit kemudian Nabi SAW membacakan ayat 40 dari Surah
al-A'raf . Kemudian Allah SWT mengarahkan agar dtuliskan namanya di dalam
‘Sijjin' (neraka) kemudian di campakkan Rohnya dan Nabi SAW membacakan firman
Allah : " Sesiapa yang syirik kepada Allah, maka adalah seolah-olah jatuh
dari langit lalu disambar oleh burung, atau diterbangkan ke tempat yang
jauh" (Al-A'raf : 31) . Kemudian dikembalikan kepada jasadnya, ...kemudian
di datangi Malaikat..lalu dibukakan pintu dari neraka, lalu datanglah kepanasannya
dan racunnya, dan kuburnya pula menyempit sehingga bersilang rusuknya. (Ringkasan dari Hadith
riwayat Ahmad, Abu Daud no 4753, Sohih menurut al-Hakim, Syuaib Arnaout dan
Ahmad Syakir)
Berdasarkan ayat Quran juga, ruh si jahat juga akan di
azab di dalam alam barzakhnya. Iaitu :
"
Api neraka dikenakan kepada mereka (kafir) pada pagi dan petang, manakala di
apabila tiba qiyamat mereka di masukkan bersama keluarga Firaun yang dikenakan
azab"
(Ghafir : 40)
Kesimpulannya, Roh tidak mampu kembali ke alam dunia kerana Barzakh
adalah tembok yang menghalangnya, dan Roh mukmin di berikan nikmat di alam
barzakh manakala Roh di kafir diazab sehingga kiamat.
Wallahu'alam.
Sumber :
http://zaharuddin.net/aqidah-&-kepercayaan/283-hantu-roh-kembali-a-destinasi-roh.html
No comments:
Post a Comment