Monday, October 21, 2013

Hukum Darah Yang Keluar Kerana Keguguran

Hukum Darah Yang Keluar Kerana Keguguran
 
Ada di kalangan para suami dan isteri yang mungkin musykil tentang hukum berkaitan darah yang keluar kerana masalah keguguran oleh si isteri. Sama ada ianya darah haid, nifas atau pun istihadah (darah penyakit)? Perkara ini penting kerana ianya akan melibatkan kepada keperluan hukum-hakam lain seperti bersuci(mandi wajib), solat fardu, puasa fardu dan ibadah lainya.

Bagi menetukan apakah status darah tersebut pandangan dari sudut perubatan dan ulama perlu diambilkira.

Pandangan perubatan

Semasa berlaku keguguran ataupun isi rahim (kandungan) yang telah meninggal dunia keluar daripada rahim hendaklah dipastikan ‘benda’ yang keluar itu sama ada ianya janin atau ketulan darah/darah beku.

1). Janin
Untuk kehamilan yang umurnya memasuki 10 minggu ke atas ianya di anggap sebagai janin yang mempunyai cukup sifat.  Menurut sains perubatan janin akan membentuk sifat seperti muka, jari jemari tangan dan kaki apabila memasuki umur kehamilan 10 minggu (kira-kira 2 ½ bulan) – lihat foto di bawah.

 


2). Ketulan daging/darah beku
Sekiranya keguguran terjadi di bawah 10 minggu ianya dianggap sebagai
ketulan daging atau darah beku - lihat foto di bawah.




Pandangan ulama (Mazhab Syafie)

Berdasarkan ilmu perubatan di atas dan sebahagian ulama berpandangan seperti berikut ;

1). Keguguran di bawah usia kehamilan 10 minggu
Sekiranya umur kehamilan belum mencapai 10 minggu dimana yang keluar  kerana keguguran itu berupa ketulan daging atau darah beku maka darah yang keluar itu dianggap sebagai darah haid.

Tempoh Haid Berdasarkan mazhab Syafie
Dalam tempoh haid berlangsung wanita yang keguguran dikecualikan daripada ibadah fardu seperti solat fardu dan berpuasa fardu .
Tempoh minima keluar haid          : 1 hari 1 malam,  dan
Tempoh normal keluar haid          :  7 hari 7 malam
Tempoh maksima keluar haid        :  sehingga 15 hari 15 malam

Darah yang keluar selepas tempoh maksima darah haid (selepas 15 hari 15 malam) akan dianggap sebagi darah istihadoh (darah penyakit) di mana diwajibkan ke atas wanita yang keguguran tadi bersuci (mandi wajib) seterusnya menunaikan solat fardu dan puasa fardu (jika dalam bulan Ramadhan).

2). Keguguran setelah usia kehamilan 10 minggu ke atas /Janin Cukup Sifat
Apabila umur kehamilan telah mencapai 10 minggu dan atau dapat dipastikan yang keluar kerana keguguran itu berupa janin yang cukup sifatnya (seperti muka, jari jemari tangan dan kaki) maka darah yang keluar itu dianggap sebagai darah nifas.

Menurut mazhab Syafie darah nifas mula dikira setelah keluar janin tadi dan darah yang keluar sebelumnya adalah darah penyakit (istihadoh). Bagaimana pun ada pendapat yang mengganggap ianya darh haid (sila baca “ Darah yang Keluar sebelum melahirkan”)

Tempoh Nifas Berdasarkan mazhab Syafie
Dalam tempoh nifas berlangsung wanita yang keguguran dikecualikan daripada ibadah fardu seperti solat fardu dan berpuasa fardu.
Tempoh minima keluar nifas          :  sedetik/seketika jua
Tempoh normal keluar nifas          :  40 hari 40 malam
Tempoh maksima keluar nifas       :  sehingga 60 hari 60 malam

Sekiranya wanita tersebut mengalam pendarahan terputus-putus seperti wanita mengalami keluar darah beberapa hari kemudian terhenti beberapa hari tetapi kemudiannya keluar darah lagi, ianya adalah darah nifas selagi mana masih dalam tempoh maksima nifas 60 hari 60 malam tadi.

Manakala darah yang keluar selepas tempoh maksima darah nifas (selepas 60 hari 60 malam) akan dianggap sebagi darah istihadoh (darah penyakit) di mana diwajibkan ke atas wanita yang keguguran tadi bersuci (mandi wajib) seterusnya menunaikan solat fardu dan puasa fardu (jika dalam bulan Ramadhan).

Darah yang Keluar Sebelum Dan Semasa Melahirkan/Keguguran

Sebelum bersalin/keguguran wanita hamil lazimnya akan mengalami pendarahan. Apakah status darah yang keluar itu, haid, nifas atau istihadah?  Membahaskan perkara ini ulama berbeza pendapat dalam menentukan jenis darah yang keluar itu.  Secara ringkasnya di sini dibawakan 5 pendapat ulama seperti berikut :-

1. Mazhab Hanafi & Hanbali  : Ia adalah darah istihadah. Justeru solat masih wajib.

2. Sebahagian ulama Hanbali : Ia adalah darah nifas jika keluar sehari atau dua hari sebelum melahirkan anak. Jika demikian bermakna, tidak lagi wajib puasa (jika pada bulan Ramadhan) dan solat.

3. Mazhab Syafie : Ia adalah darah haid dari sudut tidak perlu solat, puasa dan haram untuk digauli suaminya.

Pendapat mazhab Syafie ini boleh dirujuk dari kata-kata Imam An-nawawi di dalam kitabnya :

Ertinya : "Apabila seorang wanita yang sedang hamil melihat darah (keluar), yang sesuai untuk dihukum sebagai darah haid maka terdapat dua pendapat yang masyhur (dalam mazhab Syafie), berkata pengarang kitab Al-Hawi (Al-Mawardi), Al-Mutawalli dan Imam Al-Baghawi dan lain-lain.

"Pendapat Syafie yang baru adalah ia Haid, pendapat Syafie yang lama, ia bukan haid.  Telah sepakat ulama Syafie pendapat yang paling sohih ia adalah DARAH HAID" ( Al-Majmu', 1/412)

4. Mazhab Maliki : Ia adalah darah haid jika keluar pada bulan pertama dan kedua mengandung, namun jika keluar darah itu pada bulan ketiga, keempat dan kelima serta berterusan lebih dari 20 hari, jelaslah ia darah istihadah.

5. Al-Lajnah al-Da’imah li al-Buhuth al-Ilmiyyah wa al-Ifta’ :  sekiranya darah yang keluar tidak diikuti oleh rasa sakit akibat kontraksi, maka darah tersebut bukan darah haid. Oleh sebab itu, ibadah sepatutnya diteruskan seperti biasa.

Namun sekiranya darah yang keluar diikuti oleh kontraksi yang menyebabkan rasa sakit hampir melahirkan, maka darah itu darah nifas. (Fatawa al-Mar’ah al-Muslimah)

Bagi penduduk Malaysia yang bermazhab Syafie, bolehlah bertaqlid dengan pendapat mazhab Syafie dalam hal ini. Iaitu ianya adalah darah haid.


Anda boleh juga boleh merujuk kepada pandangan mana-mana ulama atau kitab muktabar yang membahaskan perkara ini yang lebih menepati nas Quran dan Hadis.

Wallahu’alam.



Rujukan :


No comments:

Post a Comment