Saturday, April 26, 2014

Solat Fardu 40 waktu di Masjid Nabi

Solat 40 waktu di Masjid Nabawi


Riwayat yang menyebut adanya kelebihan bersolat 40 waktu, iaitu menunaikan 40 solat fardu (8 hari) adalah sebagaimana diriwayatkan oleh Anas bin Malik ra., bahawa Nabi saw bersabda :-

"Barangsiapa bersolat 40 solat (yakni, solat fardu) di dalam masjidku tidak terputus solatnya ditulis baginya (pertama) terpelihara dari neraka dan (kedua) dijauhkan dari azab dan (ketiga) dipelihara dari sifat-sifat nifaq (atau, menjadi orang munafiq)." [Hadis Imam Ahmad, dalam Musnad].

Status (kedudukan) hadis ini dipertikaikan. Imam Haithami menjelaskan didalam Majma' al-Zawaid mengatakan, Imam Tirmudzi meriwayatkan sebahagiannya. Hadis ini diriwayatkan sepenuhnya oleh Imam Ahmad, dan Imam Tabarani didalam Awsat, periwayatnya adalah tsiqah (dipercayai).

Menurut Imam Mundhiri didalam al-Targhib wa al-Tarhib bahawa periwayat didalam rantaian dari periwayatan Imam Ahmad adalah sangat sahih.

Namum demikian terdapat pertikaian mengenai salah seorang periwayat yang bernama Nabith ibn Umar yang dikatakan tidak dikenali.

Perlu diingat bahawa walaupun ada yang berpendapat hadis ini lemah (Dhaif), ia masih lagi boleh diamalkan didalam ruang lingkup Fadhail Amal.  Amalan ini sudah menjadi tradisi umat Islam melakukannya.

Menurut Dr Abdullah al-Faqih, beberapa ulama' percaya bahawa jika sesuatu amalan didasarkan pada dalil (hadis) yang bukan PALSU, In Sha Allah ia adalah benar. Tambah beliau, maka adalah dinasihatkan melakukan amalan tersebut menurut hadis.

Menurut ulama', latihan 40 waktu solat itu merupakan praktik asas bagi seseorang itu menjadikan solat berjemaah sebagai amalan penghidupan mereka sekembalinya ke tanah air masing-masing. (Lihat buku Madinah Munawarah : kelebihan dan sejarah, karangan al-Fadhil Dr Abdul Basit Abdul Rahman).

Umat Islam digalakkan banyak melakukan solat di Masjid Nabi sebagaimana hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim bahawa solat di Masjid Nabi ganjaran 1000 kali dari masjid lain, kecuali Masjid al-Haram.
Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda : "Melakukan sekali sembahyang di dalam masjidku (Masjidil nabawi di Madinah) ini adalah lebih baik daripada 1,000 kali sembahyang dalam masjid yang lain melainkan Masjidil Haram."

Dari  Jabir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda : "Satu sembahyang di masjidku lebih afdhal daripada 1,000 sembahyang di masjid-masjid yang lain kecuali Masjidil Haram di Mekah dan satu sembahyang di Masjidil Haram pula lebih afdhal daripada 100,000 sembahyang di masjid-masjid yang lain."

Terdapat sebuah hadis yang statusnya HASAN mengenai kelebihan bersolat 40 hari di Masjid Nabawi. Hadis dari Anas bin Malik, bahawa Rasulullah :saw bersabda :

"Barangsiapa bersolat berjemaah 40 hari dan mendapat Takbir al-Ihram (bersama Imam), akan ditulis kepadanya 2 perkara; dia akan selamat dari Api Neraka dan dia akan selamat dari Nifaq (munafik)" [Riwayat Imam al-Tirmizi].

Hadis diatas ini menjelaskan solat 40 hari, dan bukan 8 hari (40 waktu).

Kesimpulan

1). Amat digalakkan memperbanyakkan solat di Masjid Nabi SAW, dimana ganjarannya adalah 1,000 kali dari masjid lain. Amalan 40 waktu boleh diamalkan sebagai motivasi "kelebihan amal" dan hadis tersebut bukanlah sepakat ulama' menolaknya.

2). Amalan 40 waktu ini adalah sebagai diharap dapat mentarbiah, melatih dan membentuk sikap cintakan solat berjemaah di masjid, atau bagi yang mampu, bolehlah menunaikan solat berjemaah 40 HARI di Masjid Nabawi.

Adalah rugi dan malangnya jika peluang masa 8-9-10 hari semasa di Madinah hanya dihabiskan kerana bersiar-siar atau tidur semata-mata dan bersolat sendirian dibilik hotel.


Rujukan Asal : http://www.al-ahkam.net/home/content/sj-05-0534-solat-40-waktu-di-masjid-nabawi

Monday, April 21, 2014

Selawat Haji

SELAWAT  HAJI
(Diamalkan sebagai  doa supaya dipermudahkan
dan
dizinkan Allah SWT menunaikan Fardu Haji dan Umrah)


Kelebihan Berselawat

Rasulullah SAW diutus ke dunia ini adalah sebagai rahmatan lil 'alamin (membawa rahmat kepada sekalian alam). Yang mana jalan rahmat itu boleh diperolehi satu dari caranya ialah dengan kelebihan berselawat kepada Baginda Rasulullah SAW. Antara kelebihan dengan sebab berselawat itu adalah agar mudah mendapatkan syafaatnya baik di dunia mahu pun di akhirat. Diantara syafaat Rasulullah di dunia yang In sha Allah dengan rahmat Allah SWT akan memudahkan kita untuk menjadi tetamu Allah dan berziarah ke dua tanah suci Makkah dan Madinah yang semuanya itu adalah dengan kehendak, izin dan pilihan Allah SWT jua.

Dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali, maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).” [HR An-Nasa’i No. 1297, Ahmad, sahih.]

Hadis yang agung ini menunjukkan keutamaan berselawat kepada Nabi SAW dan anjuran memperbanyakkan selawat tersebut.

Maksud Selawat

Apakah makna Selawat? Perkataan selawat berasal daripada perkataan solat yang bererti doa atau pujian.

Selawat Allah SWT ialah pujian-Nya di sisi para malaikat. Selawat malaikat ialah doa memohon tambahan gandaan pahala. Dan selawat orang mukmin ialah berdoa memohon supaya Allah SWT melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada penghulu kita Nabi Muhammad SAW.

Antara maksud selawat dari Allah Ta’ala kepada hamba-Nya adalah limpahan rahmat, pengampunan, pujian, kemuliaan dan keberkatan daripada-Nya. [Lihat kitab “Zadul Masir”, 6/398].

Ada juga yang mengatakan ia bererti taufik daripada Allah Ta’ala untuk mengeluarkan hamba-Nya daripada kegelapan (kesesatan) menuju cahaya (petunjuk-Nya), sebagaimana dalam firman-Nya:

“Dialah yang berselawat kepadamu (wahai manusia) dan malaikat-Nya (dengan memohonkan keampunan untukmu), supaya Dia mengeluarkan kamu daripada kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman”. (Surah al-Ahzab: ayat 43).

Waktu Afdhal Berselawat

•Ketika mendengar orang menyebut nama Rasulullah SAW.
•Sesudah menjawab azan dan sebelum membaca doa azan.
•Selesai berwuduk, sebelum membaca doa.
•Pada permulaan, pertengahan dan penutup doa.
•Di akhir qunut dalam solat.
•Di dalam solat jenazah.
•Ketika masuk dan keluar dari masjid.
•Setiap waktu pagi dan petang.
•Hari Khamis malam Jumaat.
•Sepanjang hari Jumaat.
•Ketika berada di mana-mana tempat perhimpunan orang ramai.

Maka lafaz selawat haji ini disusun oleh ulama silam yang diamalkan sebagai doa dengan tujuan mencari rahmat Allah SWT. Adapun mengarang, menyusun dan mengamalkan teks selawat selain yang diajarkan Rasulullah SAW selagi baik maksud dan tujuannya adalah harus dan tiada larangan dalam agama.

Atas inisiatif ulama silam yang mencintai Baginda Rasulullah SAW maka Selawat  Haji ini telah disusun dan diamalkan kebanyakan umat Islam sehingga kini.

Selawat Haji Dengan Terjemah Jawi
Sila Klik pada gambar untuk besarkan
atau
Klik tetikus kanan untuk "save image as"

Selawat Haji Dengan Terjemah Rumi
Sila Klik pada gambar untuk besarkan
atau
Klik tetikus kanan untuk "save image as"

Friday, March 28, 2014

SYARAT MENDAPAT SYAFAAT NABI

4 SYARAT UNTUK MENDAPAT SYAFAAT NABI

Apa tujuan selawat?  Berselawat banyak-banyak bukan sebagai TANDA cinta kepada nabi. Tetapi tujuan kita berselawat banyak-banyak adalah sebagai syarat untuk mendapat syafaat nabi SAW. Ulamak kata untuk mendapat syafaat nabi ada 4 syarat :-

1. Umat Nabi Muhammad SAW
Umat selain nabi Muhammad SAW tidak (boleh) dapat.

2. Dosa yang menyebabkan masuk neraka tidak banyak
Di akhirat nanti kita akan diperlihatkan oleh Allah SWT segala amalan kita daripada umur baligh hingga kita mati sama ada amalan baik ataupun jahat.  Firman Allah dalam surah Az-Zalzalah : ayat 7-8 :

Maksudnya : “(7). Maka sesiapa berbuat kebajikan sekecil zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). (8). Dan sesiapa berbuat kejahatan sekecil zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)”

Segala amalan kita yang berupa dosa dan pahala akan ditimbang dengan Mizan (neraca) Allah yang Maha Adil. Lebar sebelah neraca Allah SWT seumpama antara langit dan bumi.  Firman Allah dalam surah Al-Qariah : ayat 6-9 :

Maksudnya : “(6) Setelah berlaku demikian, maka (manusia akan diberikan tempatnya menurut amal masing-masing), adapun orang Yang berat timbangan amal baiknya, (7). Maka ia berada Dalam kehidupan Yang senang lenang, (8). Sebaliknya orang yang ringan timbangan amal baiknya, (9). Maka tempat kembalinya ialah neraka "Haawiyah"

Orang berat timbangan pahalanya berbanding dosanya maka dia termasuk golongan yang berbahagia. Sebaliknya jika timbangan dosanya lebih berat berbanding pahalanya sengsaralah dia. Golongan ini nabi Muhammad tidak mengaku umat.

Ada pun jika timbangan dosanya berat sedikit daripada pahalanya Allah perintah malaikat masukan dia ke dalam neraka 10 hari (akhirat). Satu hari akhirat di sisi Allah SWT seumpama 1,000 tahun di dunia.  Jika 10 hari akhirat bermakna 10,000 tahun di dunia. Golongan inilah yang akan (boleh) mendapat syafaat Nabi Muhammad SAW.

Atas sebab itu ulama menyuruh kita agar segera bertaubat supaya timbangan pahala kita lebih berat daripada dosa kita.


3. Semasa hidupnya banyak berselawat ke atas Nabi SAW

Melalui syafaat Nabi Muhammad SAW akan menolong kita masuk syurga. Daripada hendak dimasukkan ke dalam neraka dengan sebab berat timbangan dosa daripada pahalanya tadi, akhirnya kita dimasukkan ke dalam syurga. Itulah syafaat.

Hendak dapatkan syafaat, (antaranya) kita kena banyakan berselawat. Ada ulama yang berselawat hingga beribu kali sehari. Mungkin kita akan dimasukkan ke neraka, tapi oleh kerana kita selalu berselawat, dapat syafaat Nabi maka kita dimasukan ke syurga.

Sabda Nabi saw : “Sesungguhnya manusia yang paling utama bersama-samaku pada hari Kiamat (iaitu yang paling hampir kepadaku dan yang lebih berhak dengan syafaatku pada hari Kiamat) ialah yang paling banyak berselawat ke atasku di dunia di kalangan mereka”. (Hadith riwayat Imam Tirmizi daripada Abdullah bin Mas’ud r.a)

Firman Allah (s.w.t) yang bermaksud :

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bershalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya”. (Surah Al-Ahzab: 56)

Selawat Allah SWT ialah pujian-Nya di sisi para malaikat. Selawat malaikat ialah doa memohon tambahan gandaan pahala. Dan selawat orang mukmin ialah berdoa memohon supaya Allah SWT melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada penghulu kita Nabi Muhammad SAW.

Sabda Rasulullah (S.A.W.) yang bermaksud: “Barang siapa yang berselawat ke atasku dengan 1 selawat nescaya Allah SWT akan berselawat ke atasnya 10 kali”. (Hadis riwayat Imam Muslim daripada Abdullah bin Amru bin Al-‘Ass r.a)

Sabda Rasulullah (S.A.W.) juga yang bermaksud: “Barang siapa yang berselawat ke atasku 1 kali nescaya Allah akan berselawat ke atasnya 10 kali”. (Hadis riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a)

Makna selawat dari Allah Ta’ala kepada hamba-Nya adalah limpahan rahmat, pengampunan, pujian, kemulian dan keberkatan daripada-Nya. [Lihat kitab “Zadul Masir”, 6/398]. Oleh itu Syafaat Nabi SAW merupakan rahmat Allah untuk umat Muhammad SAW di akhirat nanti.

Ada juga yang mengatakan selawat bererti taufik daripada Allah Ta’ala untuk mengeluarkan hamba-Nya daripada kegelapan (kesesatan) menuju cahaya (petunjuk-Nya), sebagaimana dalam firman-Nya :

“Dialah yang berselawat kepadamu (wahai manusia) dan malaikat-Nya (dengan memohonkan keampunan untukmu), supaya Dia mengeluarkan kamu daripada kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman”. (Surah al-Ahzab: ayat 43).

Menurut Kitab Mestika Hadis 1/259 : “Dan yang seafdhal-afdhalnya (paling baik) ialah selawat yang biasa dibaca selepas tasyahud akhir setiap solat (dinamai sebagai ‘Selawat Ibrahimiyyah’). Hal ini kerana para ulama telah menetapkan bahawa sesiapa yang bersumpah atau bernazar hendak berselawat kepada Nabi Muhammad SAW dengan seafdhal-afdhal selawat, tidak dihukum terlepas daripada wajib menepati sumpah atau nazarnya itu melainkan dengan membaca selawat itu.”

4. Sayang/cinta kapada Nabi SAW
Bukti sayang nabi bukan dengan banyaknya kita berselawat, bukan dengan  dengar ceramah, tetapi BUKTI & TANDA SAYANG NABI adalah sepertimana sabda nabi Muhammad SAW yang dikeluarkan oleh As-Sajzi dari Anas ra. dari Nabi SAW, baginda bersabda : “Barangsiapa yang menghidupkan sunnahku, maka dia telah mengasihiku, dan siapa yang mengasihiku dia akan memasuki syurga bersama-sama aku” . Hadis ini mengisyaratkan sayang Nabi adalah dengan menghidupkan sunnah Nabi SAW dalam kehidupan kita.

Bahkan iman seseorang itu tidak sempurna (tidak cukup) sehinggalah apabila Allah dan Rasulnya Muhammad SAW dicintainya melebihi segalanyaDiriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab r.a bahawa beliau telah berkata kepada Rasulullah SAW : “Wahai Rasulullah! Engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu melainkan nyawa yang ada di dalam diriku. Lalu Rasulullah s.a.w berkata:” Tidak sempurna iman seseorang sehinggalah aku lebih dicintai daripada dirinya sendiri. Umar pun berkata:” Demi Tuhan yang telah menurunkan al-Kitab kepada engkau, sesungguhnya engkau lebih aku kasihi daripada diri aku. Baginda berkata kepada Umar:”Sekarang iman engkau telah sempurna wahai Umar!”

Catatan Daripada Ceramah Umum Maghrib Ustaz  Hassan Din Al-Hafiz, Masjid Jamek Yong Peng 6-2-2014 dengan sedikit tambahan.

Wednesday, February 19, 2014

REPLIKA DALAMAN RUMAH RASULULLAH SAW

MODEL RUMAH RASULULLAH SAW
Sila Klik Pada Gambar Untuk Besarkan
Gambar di atas adalah replika atau model rumah Nabi yang mulia Rasulullah SAW bersandarkan hadis yang sahih. Replika ini dipertontonkan di Jeddah.  Betapa 'ringkas'nya kehidupan Rasulullah SAW.  Sejauh mana ketepatannya, Wallahu'alam. Tetapi inilah gambaran perbezaan kesederhanaan hidup antara insan yang paling Mulia di sisi Allah dengan kehidupan kita sekarang.

Replika atau model rumah Rasulullah SAW ini berdasarkan maklumat yang pernah disampaikan oleh para sahabat baginda tentangya. Ia merupakan replika dalaman rumah Nabi SAW di Mekah.
Model rumah ini dibina bagi memberi gambaran kehidupan Nabi SAW yang sangat sederhana insan agung pilihan Allah SWT yang diutus menjadi utusanNya supaya menyampaikan risalah Allah dan membawa rahmat bukan sahaja kepada umat manusia bahkan sekalian alam. Dari rumah yang sederhana inilah ledakan arus perubahan besar ke seluruh dunia yang dari sinilah cahaya Islam bersinar buat pertama kalinya.
Sememangnya rumah ini sangat sederhana. Tidak terdapat perabut mewah dan tiada hiasan yang mahal-mahal. Zaid bin Thabit berkata : “ Anas bin Malik RA, khadam Rasulullah SAW pernah memperlihatkan kepadaku tempat minum Rasulullah SAW yang diperbuat daripada kayu yang keras yang dipateri dengan besi, lalu Anas berkata, “Wahai Ibnu Thabit, inilah tempat minum Rasulullah. Dengan gelas kayu itulah Rasulullah minum air perahan kurma, madu dan susu.” (At-Tirmizi)

Thursday, February 6, 2014

Petua Mencegah Stroke dan Angin Ahmar

Petua Mengelak Stroke dan Angin Ahmar
 (Mencegah Lebih Baik Daripada Mengubati)
Adapun, di dalam perubatan moden, Stroke dan angin ahmar dilihat sebagai sama. Namun, di dalam Perubatan Islam, stroke dan Angin Ahmar adalah dua hal yang seakan sama, tetapi berbeza. Ianya dilihat dari faktor :

1) Asal Usul (Punca)
2) Simptom (Tanda)
3) Kaedah Rawatan

Di sini dikongsikan beberapa cara yang boleh dilazimkan untuk mengelak sebagai langkah utama (First Aid) dan kaedah rawatannya secara ringkas seperti berikut ;

1) Pastikan Tekanan Darah (Systolic dan Diastolic) sentiasa stabil (120/80)

2) Pastikan tahap Kolestrol sentiasa rendah terutamanya LDL dan Trigliserida.

3) Amalkan Meminum Cuka (cuka epal/kurma/madu)  3sudu ditambah Air masak (atau air mineral)  setengah gelas (150-200ml) setiap malam sebelum tidur.

4) Amalkan menyapu Minyak zaitun ke tubuh, sekurang-kurangnya ke belakang leher, sekerap mungkin (Bertujuan memberi haba pada saluran sinus carotid yang menjadi punca kepada sumbatan darah sehingga menyebabkan Stroke)

 
5) Amalkan mengambil kurma 3-5 biji sebagai awalan sarapan.

6) Kurangkan pengambilan kafein terutamanya nescafe.

7) Amalkan Habbatus  sawda (biji atau pati), setiap pagi sebelum sarapan.

8) Lazimkan diri dengan Riadah Memanah (Khusus untuk Otak dan
Jantung), Berkuda (Khusus untuk Tulang Belakang) dan Berenang (Khusus untuk sistem kardiovaskular).

9) Amalkan mandi songsang (Siraman bermula dari kaki ke arah kepala perlahan-lahan) setiap kali mandi pagi dengan air sejuk bukan air panas.

10) Elakkan pengambilan herba atau pemakanan tambahan dengan ambilan dos yang tidak terkawal. Perkara ini akan merosakkan hati jika ianya berlarutan.

Dan banyak lagi perkara lain dalam usaha mengelakkan Stroke dan Angin Ahmar iaitu antara penyakit yang dibimbangi oleh kebanyakan mereka yang berumur 40an.