Showing posts with label Bulan Sya'ban. Show all posts
Showing posts with label Bulan Sya'ban. Show all posts

Monday, June 24, 2013

HUKUM BERPUASA SELEPAS SETENGAH (15Haribulan) SYA'BAN

HUKUM BERPUASA SELEPAS SETENGAH SYA'BAN


Apakah boleh berpuasa setelah 15 Sya'ban? Iaitu bermula daripada 16 Sya'ban dan seterusnya.

Sila ikuti penjelasan lanjut daripada Dr Basit Abdul Rahman daripada video di bawah.


Semoga bermanfaat.




Thursday, July 5, 2012

PUASA DI BULAN SYA’BAN (2)

PUASA DI BULAN SYA’BAN (2)

1. Telah memberitahu kepada kami Abdullah bin Yusuf Telah memberitahu kami Malik daripada Abi An-Nadhri daripada Abi Salamah daripada Sayyidatina ‘Aishah telah berkata :  “Rasulullah S.A.W berpuasa sehingga kita mengatakan dia tidak berbuka dan baginda S.A.W berbuka sehingga kami berkata dia tidak berpuasa. Dan aku tidak pernah melihat Rassulullah S.A.W menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat baginda S.A.W banyak berpuasa melainkan pada bulan Sya’ban.”
( Diriwayatkan oleh imam Bukhari di dalam sohihnya dan imam Muslim di dalam sohihnya)

2. Telah memberitahu kami Muaz bin Fudhalah telah memberitahu kami Hisham daripada Yahya daripada Abi Salamah sesungguhnya sayyidatina ‘Aishah telah memberitahunya dengan berkata :
“Nabi S.A.W tidak banyak berpuasa melainkan pada bulan Sya’ban, dan baginda S.A.W telah berpuasa sebulan penuh pada bulan Sya’ban. Dan adalah baginda S.A.W bersabda : Lakukanlah amalan yang mana kamu mampu membuatnya maka sesungguhnya Allah tidak membebankan
(mewajib )kamu sehingga kamu merasa berat dengan bebanan.

Dan apa yang disukai oleh Rasulullah S.A.W adalah sembahyang(sunat) yang sentiasa dibuat sekalipun sedikit. Dan adalah baginda S.A.W apabila mendirikan sembahyang maka baginda S.A.W sentiasa berterusan di dalam berbuat demikian.” (Diriwayatkan oleh imam Bukhari di dalam sohihnya dan imam Muslim di dalam sohihnya)

3. Telah memberitahu kami Sufian bin ‘Uyainah daripada Ibn Abi Labid daripada Abi Salamah telah berkata : “Aku telah bertanya Sayyidatina ‘Aishah tentang puasa Rasulullah S.A.W maka dia menjawab : Adalah baginda S.A.W berpuasa sehingga kami berkata :
“Sesungguhnya baginda S.A.W telah berpuasa dan baginda s.A.W berbuka sehingga kami mengatakan : Telah baginda S.A.W berbuka. Aku tidak pernah melihat baginda S.A.W berpuasa dari sebulan sahaja lebih banyak daripada puasa baginda S.A.W pada bulan Sya’ban. Kadang-kadang baginda S.A.W berpuasa Sya’ban sebulan penuh dan kadang-kadang baginda S.A.W berpuasa sedikit daripadanya.” (Diriwayatkan oleh imam Muslim di dalam sohihnya)

4. Telah memberitahuku Muawiyah bin Soleh daripada Abdullah bin Abi Qais sesungguhnya dia telah mendengar Sayyidatina Aishah berkata : “Bulan yang disukai oleh Rasulullah S.A.W yang mana baginda S.A.W berpuasa padanya adalah bulan Sya’ban kemudian disambung puasa pada bulan Ramadhan.”  ( Hadis ini sanadnya Hasan dan diriwayatkan oleh Abu Daud, An-Nasaei, Ibn Khuzaimah, Al-Baihaqi dan Al-Baghawi

5. Telah memberitahuku Al-Maqburi daripada Abu Hurairah daripada Usamah bin Zaid telah berkata:
“Aku telah berkata : Wahai Rasulullah! sesungguhnya kau telah melihat engkau berpuasa pada bulan yang mana aku tidak melihat engkau berpuasa pada bulan yang mana engkau puasa padanya. Soal Rasulullah S.A.W : Bulan apa? Aku telah berkata: Sya’ban bulan diantara Rejab dan Ramadhan yang mana melupai manusia mengenainya(diangkat kepadaNya) segala amalan semua hamba maka aku lebih suka amalanku tidak diangkat melainkan bersamanya aku berpuasa. Maka aku berkata lagi: Aku melihat engkau berpuasa pada hari Isnin dan Khamis dan tidak mengabaikan kedua-dua hari itu.

Sabda baginda S.A.W : Sesungguhnya segala amalan semua hamba akan diangkat pada kedua-dua hari itu maka aku lebih suka tidak diangkat amalanku melainkan bersamanya aku berpuasa.”  (Hadis ini sanadnya Hasan dan telah dikeluarkan oleh An-Nasaei, Imam Ahmad dan imam Al-Baihaqi)

KELEBIHAN MALAM NISFU SYA’BAN

KELEBIHAN MALAM NISFU SYA’BAN

1. Daripada Makhul daripada Malik bin Yakhamir daripada Muaz bin Jabal daripada Nabi S.A.W telah bersabda: 
“Sesungguhnya Allah ta’ala memerhati makhlukNya pada malam nisfu(pertengahan) daripada Sya’ban maka Dia akan mengampuni semua makhlukNya melainkan orang yang syirik atau orang yang bermusuhan.” (Hadis ini isnadnya Hasan dan dikeluarkan oleh Ibn Habban, Al-Baihaqi dan At-Thobarani )

2.Daripada Hisham bin Hassan daripada ( Al-Hasan daripada) Usman bin Abi Al-’As daripada Nabi S.A.W telah bersabda :
“Apabila tibanya malam nisfu (pertengahan) daripada bulan Sya’ban, pemanggil akan memanggil : Adakah daripada mereka yang memohon keampunan maka nescaya diampun baginya ? Adakah daripada kalangan mereka yang meminta maka akan diberi? Maka tidak ada seseorang yang memohon sesuatu melainkan akan diberi melainkan penzina dengan kemaluannya ataupun orang syirik.” (Hadis ini isnadnya Hasan dan dikeluarkan oleh Al-Kharaiti, Al-Baihaqi dan imam Sayuti)

Keterangan Hadis

1. Hadis-hadis ini menjelaskan kepada kita bagaimana kelebihan bulan Sya’ban yang mana Rasulullah S.A.W banyak berpuasa padanya melebihi bulan-bulan yang lain.

2. Hadis-hadis ini juga menerangkan hukum sunat berpuasa pada bulan Sya’ban dan bukannya wajib.  Oleh itu baginda S.A.W kadang-kadang berpuasa penuh sebulan pada bulan ini dan pada suatu ketika baginda tidak berbuat demikian. Kita perlu ingat bahawa setiap perbuatan Rasulullah S.A.W merupakan sunnah fi’liyyah (sunnah yang berasaskan perbuatan) yang boleh dijadikan hujah di dalam mengeluarkan sesuatu hukum.

3. Baginda S.A.W juga menggalakkan kita agar di dalam melakukan sesuatu yang baik terutama dalam ibadat khusus seperti solat sunat, puasa sunat dan sedekah maka ia mestilah dilakukan secara berterusan (istiqamah) walaupun sedikit.

Kita kadang-kadang melakukan perkara ini secara banyak tetapi tidak berterusan (istiqamah) dan ia dilakukan apabila timbulnya perasaan rajin sahaja. Ini menyebabkan kita kurang merasai nikmat dan kesan daripada amalan tersebut.

Ini kerana apabila ia dilakukan secara berterusan akan mendatangkan kepada kita perasaan untuk menghisab dan menghitung diri sendiri secara berterusan dan ini akan melahirkan individu yang sentiasa berada dalam ibadat dan mengingati Allah setiap masa dan tempat sama ada ditikar sembahyang, ketika belajar mahupun ketika berkerja.

4. Galakan ini juga bertujuan untuk melatih dan membiasakan kita dengan berpuasa sebelum masuknya bulan Ramadhan yang memang kita mesti berpuasa padanya.

5. Baginda juga menekankan bagaimana seseorang muslim mesti percaya bahawa setiap amalan yang dilakukan bukanlah sia-sia malah ia akan diangkat kepada Allah untuk dihisab kualitinya. Kualiti ibadah dinilai daripada niat dan ikhlas seeorang di dalam melaksanakan sesuatu ibadah itu.

Apabila perasaan ini timbul sepanjang kehidupan dan peribadatan kita seharian akan menyebabkan kita semakin yakin kepada balasan Allah terhadap apa yang telah kita sama-sama tunaikan. Ini dapat menghindarkan diri daripada melakukan sesuatu ibadat sambil lewa dan penuh dengan perasaan malas dan juga mampu memberi peringatan agar jangan mendekati segala maksiat kerana setiap gerak laku kita diperhati dan dihisab oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.

6. Baginda S.A.W juga menjelaskan bagaimana adanya waktu-waktu tertentu yang mempunyai kelebihannya tersendiri (bonus) seperti pada hari Isnin dan Khamis serta pada bulan Sya’ban terutama pada malam pertengahan bulannya (nisfu sya’ban), malam al-qadar (Lalilatul Qadar) di bulan ramadhan dan sebagainya. Oleh itu dianjurkan kita merebut dan menggunakan kesempatan yang ada dengan berdoa dan beribadah kepada Allah.

Menjadi kelaziman umat Islam di Malaysia mengamalkan bacaan Yaasin sebanyak 3 kali pada malam nisfu sya’ban selepas solat maghrib di masjid mahupun surau. Amalan ini tidak pernah dilakukan oleh nabi dan para sahabat tetapi ulama mengharuskan sebagai suatu majlis/cara pengisian untuk menghidupkan malam nisfu sya’ban.  Tentunya bacaan al-quran, Yaasin zikir dan ibadah lain seumpamanya ada ganjaran di sisi Allah SWT. 

Tambahan pula dilakukan secara beramai-ramai tidakkah ianya sebagai suatu majlis zikir yang disertai dan dinaungi para malaikat bahkan para malaikat akan turut mendoakan serta memohon keampunan dan rahmat Allah SWT kepada orang berada di majlis zikir.

Dalam sebuah hadis menyebutkan :
Dari Abu Hurairah r.a. dan Abu Sa'id r.a mereka menyaksikan bahwa Rasulullah saw. bersabda : ”Tidaklah suatu kaum berkumpul dalam rumah Allah (mesjid) untuk membaca kitab Allah, saling mengajarkan sesama mereka, melainkan diturunkan kepada mereka sakinah, diliputi oleh rahmat, dikerumuni oleh para malaikat, dan mereka sisebut-sebut oleh Allah SWT di majlis para malaikat yang berada disisiNya” - Hadis riwayat Ibnu Abi Syaibah, Ahmad, Muslim, Tirmidzi, Ibnu Majah dan Baihaqi.

Imam nawawi rah.a. berkata, “Sakinah ialah sesuatu yang sangat istimewa yang meliputi ketenangan, ketenteraman, rahmat, kesejahteraan, dan lain-lain yang diturunkan bersama-sama para malaikat.”

Duduk iktikaf di masjid atau surau dengan pengisian majlis zikir seperti ini sementara menunggu waktu solat isyak adalah suatu ibadah dan diberi ganjaran pahala seperti orang yang sedang melakukan solat. Bahkan jika seseorang tidur sekalipun kerana menunggu waktu solat berikutnya insya Allah mendapat kelebihan daripada para malaikat yang mendoakan serta memohon keampunan dan rahmat Allah SWT kepadanya.

Dalam perkara rasulullah SAW ada bersabda ;
Maksudnya : Daripada Abu Hurairah ra. Katanya: Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesungguhnya sesiapa saja dari kalangan kamu yang duduk di dalam masjid kerana menunggu didirikan solat berjemaah maka dia akan dikira sebagai orang yang sedang melakukan solat selama mana dia tidak berhadas, sementara para Malaikat pula sentiasa berdoa untuknya dengan kata mereka: ‘Wahai Tuhan kami!! Berikanlah keampunan Mu untuknya dan cucurilah rahmat Mu ke atas dirinya.” - Hadis riwayat Imam Muslim.

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW juga memberi tahu kita maksudnya:  
Daripada Abu Hurairah ra. katanya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “Para Malaikat berselawat ke atas sesiapa saja dari kalangan kamu selama mana dia berterusan berada di tempat solat yang dia solat padanya selagi dia tidak berhadas. Para Malaikat juga akan berdoa untuknya dengan ucapan: “Wahai Tuhan kami!! Berikanlah keampunan untuknya. Wahai Tuhan Kami!! Limpah-kanlah rahmat Mu ke atasnya.” Hadis riwayat Imam Bukhari.

Pengisian seperti ini juga setidak-tidak akan turut mengimarahkan masjid dan surau daripada `sepi’ dengan harapan hidayah dan rahmat Allah akan diperolehi oleh mereka yang `jarang-jarang’ hadir solat berjemaah di dalamnya. Inilah kelebihan di dalam kelebihan yang lain ataupun `bonus’ untuk umat Islam.

7. Islam mengajar kita agar menjaga masa dan menggunakan peluang yang ada untuk beribadat bukannya dihabiskan begitu sahaja disebabkan kita tidak merasa berdosa apabila tidak mempedulikan masa. Orang kafir mampu menjaga masa dan menggunakan masa untuk perkara berfaedah serta tidak kurang juga digunakan untuk mengatur strategi di dalam menyerang Islam. Adakah kita terus hanyut dibuai mimpi sedangkan musuh Islam telah lama merancang untuk menghancurkan kita.

8. Islam mahu melahirkan umat yang berkualiti dalam ibadat, masa dan pekerjaan yang mana ia tidak menyuruh kita sekadar menunaikan ibadat khusus seperti sembahyang, puasa dan bersedekah sahaja tetapi juga menekankan agar setiap ibadat yang dilakukan mampu melahirkan umat yang sedar siapa mereka dan apa tanggungjawab mereka.

Ingatlah bahawa Rasulullah S.A.W pernah memarahi sahabat yang hanya mahu beribadat khusus sahaja sedangkan baginda S.A.W sendiri bukan sahaja merupakan orang yang kuat beribadat khusus, memohon keampunan malah baginda juga sebagai bapa, suami, ahli masyarakat dan juga yang paling besar dan berat adalah sebagai pemimpin negara.

Semuanya dikira ibadat jika dilakukan mengikut landasan Islam. Kita jangan termakan dengan dakyah sesat golongan kuffar yang menyatakan ibadat adalah perkara yang berkaitan dengan sembahyang, puasa, haji dan ibadat khusus yang lain sahaja tanpa mempedulikan kewajipan kita yang besar seperti tanggungjawab terhadap kerja, keluarga, masyarakat setempat dan juga pemerintahan negara.

9. Islam mencela mereka yang syirik, berzina dan bermusuhan yang mana doa mereka tidak dimaqbulkan.

Bibiografi
1. Fathul Bari syarah sohih Bukhari oleh Ibnu Hajar jilid 4 cetakan Maktabah Al-Risalah Al-Hadisah
2. Syarah Sohih Muslim oleh imam An-Nawawi jilid 15/16 cetakan Darul Makrifah
3. Kitab Fadahailul Auqat oleh Abi Bakar bin Al-Husin Al-Baihaqi di kaji oleh Adnan Abdul Rahman Majid Al-Qaisi cetakan Maktabah Al-Manarah Makah Mukarramah



CERMIN MATA TERAPI D'Mata
RM35.00 SAHAJA  (Termasuk Pos Laju)
Untuk Maklumat Lanjut / Tempahan / Pembelian
SILA KLIK IKLAN DI BAWAH

Tuesday, July 3, 2012

Hukum Puasa Nisfu Syaaban

Hukum Puasa Nisfu Syaaban


1. Soalan : Rasulullah berpuasa paling banyak dalam Syaaban selepas Ramadan. Apa maksud atau falsafah di sebalik perbuatan baginda ini?

Jawapan : Sememangnya daripada segi psikologi, kita mahukan yang terbaik dalam beribadat apabila masuk bulan Rejab, Syaaban hingga ke Ramadan. Sebab itu, kita ghairah beribadat.  Antara falsafah kenapa Nabi Muhammad SAW berpuasa sunat lebih dalam bulan Syaaban berbanding bulan lain adalah sebagai tanda perhambaan kita kepada Allah.

Setiap ibadat yang dilakukan adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah yang menciptakan kita dan sekelian alam ini.  Selain itu, baginda juga mahu menggambarkan bahawa kita sedang memasuki satu fasa yang amat bererti dalam hidup iaitu Ramadan. Cuma jangan pula kita berlebihan-lebihan dalam beribadat sehingga melebihi amalan baginda SAW.

Kita tidak nafikan kemampuan sesetengah orang berpuasa selama tiga bulan iaitu dari bulan Rejab, Syaaban hinggalah Ramadan.  Nabi SAW ada bersabda yang maksudnya: Agama Islam itu mudah, tidak ada seseorang yang lebih suka mengambil berat dalam agama melainkan dia akan kalah sendiri…” (riwayat Bukhari).


2. Soalan : Disebabkan banyak kelebihan Syaaban, ada yang menunggu bulan ini terutama wanita untuk qada puasa. Betulkah cara sedemikian?

Jawapan : Tidak ada masalah untuk tunggu Syaaban baru mahu qada puasa. Namun, sebaik-baiknya puasa yang ditinggalkan itu segera diqada. Sebabnya, ia adalah hutang kita dengan Allah. Hutang ini perlu segera dijelaskan.

Adalah tidak betul untuk menangguhkan yang wajib (qada puasa) semata-mata untuk mendapat yang sunat (kelebihan puasa dalam bulan Syaaban).
Adalah dibimbangi sesuatu berlaku kepada kita sebelum sempat tibanya bulan Syaaban sudah pasti ia akan menyusahkan kita dalam urusan mengqada puasa itu tadi.

Sebagai penjelasan, bahawa bagi orang yang tiada keuzuran tetapi sengaja meninggalkan puasa Ramadan, puasa qadanya itu tidak akan menyamai puasa Ramadan. Ia sebagai mana hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Siapa yang berbuka puasa satu hari daripada Ramadan tanpa rukhsah dan sakit, dia tidak mampu menggantikannya dengan puasa seumur hidup sekalipun dia melakukannya”. (riwayat Tirmidzi)

3. Soalan : Ramai umat Islam yang berpuasa pada nisfu Syaaban. Namun, ada pendapat mengatakan perbuatan ini sebagai bidaah. Benarkah?

Jawapan : Sememangnya perbahasan ulama dalam bab ini tidak pernah habis bermula daripada Imam Syafie sehinggalah Imam Syatibi. Begitulah dalam bab fikah. Sebab ia melibatkan kefahaman maka ia akan berubah apabila masa dan tempat serta keadaan persekitarannya berbeza.

Kalau dikaitkan puasa pada 14 atau 15 Syaaban itu sebagai datang daripada Rasulullah SAW, maka itu bidaah. Sebabnya, tidak ada hadis yang mengaitkan puasa hari tersebut dengan nisfu Syaaban. (Nisfu bermaksud setengah atau separuh). Jadi, kalau kita nak puasa pada tarikh tersebut boleh (harus) saja. Cuma jangan dikaitkan dengan puasa nisfu. Terutama bagi mereka yang melazimi berpuasa pada pertengahan bulan iaitu pada hari 13, 14 dan 15 setiap bulan.

Abu Hurairah r.a. berkata: Nabi SAW telah mewasiatkan kepadaku tiga perkara iaitu puasa tiga hari setiap bulan (13, 14 dan 15 haribulan), dua rakaat Dhuha dan solat witir sebelum aku tidur.” (riwayat al-Bukhari).

Sebenarnya kita mewarisi ikhtilaf ulama sejak dulu lagi yang dikenali sebagai hadis mauduk(palsu). Sebab itu, ulama fikah dulu ambil pendirian syadid (keras) dalam bab ini. Tujuannya untuk mengelak ia berleluasa. Wallahua'lam

Artikel asal dari :- http://darululumonline.wordpress.com/2010/07/29/hukum-puasa-nisfu-syaaban/





CERMIN MATA TERAPI D'Mata
RM35.00 SAHAJA  (Termasuk Pos Laju)
Untuk Maklumat Lanjut / Tempahan / Pembelian
SILA KLIK IKLAN DI BAWAH