Showing posts with label Bulan Zulhijjah. Show all posts
Showing posts with label Bulan Zulhijjah. Show all posts

Sunday, September 20, 2015

QURBAN DAN ISU POPULAR BERKAITAN

Klik Foto Untuk Zoom

QURBAN DAN ISU POPULAR BERKAITAN

HUKUM QURBAN
Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama termasuklah sahabat besar seperti Abu Bakar as-Siddiq r.a, Umar al-Khattab r.a,  Ibn Mas'ud r.a dan lain-lain, kecuali Imam Abu Hanifah berpendapat ianya WAJIB bagi mereka yang berkemampuan. (Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/ 197)

Allah SWT berfirman : ertinya : "dan berdoalah dan berkorban".

Allah SWT juga menyebut : Ertinya : "Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) mala ia adalah dari tanda ketaqwaan hati" (Al-Hajj : 32)

Sebuah hadis menyebut  :

Ertinya : "Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada hari kurban kecuali berkorban ( dengan menyembelih binatang)" ( Riwayat At-Tirmidzi, Abu Daud ; Gharib, namun terdapat rawi yang dipertikaikan )

HUKUM POTONG KUKU, RAMBUT BAGI ORANG YANG INGIN BERQURBAN

Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang sudah berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri dari memotong rambut dan kuku. Ia berdasarkan hadith riwayat Muslim yang sohih, iaitu :-

Ertinya : Barangsiapa yang ingin menyembelih ( berkurban ), dan telah masuk sepuluh awal Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya  SEHINGGALAH sampai korban dilaksanakan" ( Muslim, 3/39 )

Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.

Bagaimanapun ia tiadalah termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah r.a pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah menempah (menandakan dan membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan Qurban, dan Aisyah r.a menyebutkan, tiadalah Nabi SAW mengharamkan apa-apa (semasa menunggu masa untuk menyembelih) sehinggalah sampai waktu sembelihan. Hadis tersebut adalah sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Oleh itu, adalah dibenarkan untuk memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wudhu dan lain-lain kewajiban.

QURBAN DENGAN BAYAR SEDEQAH DUIT TANPA WAKIL SEMBELIHAN

TIDAK DIBENARKAN juga berkorban hanya dengan membayar harganya atau membeli daging lembu yang telah disembelih dari pasar lalu disedeqahkan atas niat Qurban. Tatkala itu, ia dianggap sedeqah biasa sahaja dan bukannya Qurban yang disyariatkan di hari raya Aidiladha.

Pahala Qurban adalah jauh lebih hebat dari bersedeqah harganya sahaja. Ia adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad dan lain-lain. (Al-Majmu, 8/425 ; Al-Mughni, 9/436)

Adalah diingatkan jua agar meniatkan Qurban itu adalah kerana Allah SWT semata-mata, menuruti sunnah Nabi SAW dan Nabi Ibrahim a.s dan bukannya untuk menyedeqahkan daging atau lain-lain niat.

Firman Allah :

Ertinya : Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik. (Al-Hajj : 37)

KONGSI LEMBU

Harus hukumnya menurut majoriti ulama untuk berkongsi seekor lembu dengan dibahagikan kepada 7 bahagian atau seekor kambing berdasarkan hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Jabir r.a. (Al-Majmu, An-Nawawi, 8/313)

Adalah digalakkan juga untuk menyembelih sendiri (jika berkemampuan) atau menghadiri majlis sembelihan.

Sebuah riwayat hadith pernah mencatatkan nasihat Nabi SAW kepada Fatimah yang ingin berqurban :

Ertinya : "Hadirkanlah dirimu di waktu sembelihan, diampunkan bagimu dari titisan darah sembelihanmu yang pertama"

BINATANG TERBAIK UNTUK KURBAN

Yang terbaik adalah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri, kambing dan jika tidak mampu bolehlah 1/7 dari unta, lembu, kerbau.

Yang terbaik sudah tentulah yang paling banyak dagingnya maka lebih ramai mendapat merasai dan manfaatnya.

QURBAN DI LUAR KAWASAN

Hukum asal, yang terbaik adalah sembelih dengan tangan sendiri di dalam kawasan bagi manfaat orang sekeliling.
Namun, diHARUSKAN mewakilkan seseorang menyembelih di luar kawasan kerana hukum daging Qurban boleh disimpan dan diagihkan kepada sesiapa jua sama ada di dalam kawasan atau mereka yang di luar.

Pun begitu, ulama Mazhab Shafi’e TIDAK MEMBENARKAN dipindah keluar kawasan jika di dalam masih terdapat yang memerlukan. Demikian pendapat sebahagian ulama kontemporari (Ibn Uthaimin & Majlis Fatwa Kuwait) kerana kehilangan maslahat sebenar dari udhiyyah. bayangkan apabila kita mewakilkan seseorang lain melaksanakan qurban itu sudah menyebabkan kita terluput dari melaksanakan sunnah sembelihan dengan tangan sendiri sebagaimana Rasulullah TIDAK PERNAH mewakilkan sembelihan baginda kepada orang lain.

Malah sewaktu hari raya Qurban berlangsung, bagi mereka yang mewakilkan kepada pihak lain, apakah yang dapat mereka rasakan dari ibadah Qurban kecuali hanya seolah menyedeqahkan wang sahaja, sepatuttnya Qurban MELEBIHI DARI hanya sekadar sedeqah wang dan makanan, ia adalah suatu ibadah khas menghidupkan syiar dalam komuniti dan diri.

GABUNG QURBAN DAN AQIQAH

Mazhab Syafi’e, Maliki & Pandangan Ahmad : Tidak boleh kerana maksud keduanya berbeza. Qurban objektifnya untuk diri dan menaikkan syiar Allah, manakala aqiqah adalah tanda kesyukuran atas kurniaan anak. Imam Ibn Hajar Al-Haithami Al-Syafie :

Ertinya : Yang jelas dari perkataan ulama mazhab, iaitu jika diniatkan seekor kambing untuk qurban dan aqiqah sekaligus, TIADA DIPEROLEHI SALAH SATU ANTARA KEDUANYA, kerana keduanya sunnah yang maqsudah atau khas pada tujuan tertentu.

Pun begitu, Mazhab Hanafi, Pandangan Ahmad, Alhasan Basri, Ibn Sirin & Qatadah serta Majlis Fatwa Kuwait : Harus di gabung semua dengan niat Qurban, atau sebahagian qurban dan sebahagian aqiqah.
Pandangan yang terpilih adalah tidak menggabungkannya jika punyai kemampuan.

Klik Foto Untuk Zoom
PEMBAHAGIAN DAGING

Daging qurban yang telah siap dilapah bolehlah dibahagikan SEPERTI BERIKUT :

§        1/3 (sepertiga) kepada tuan rumah yang berqurban,

§        1/3 (sepertiga) kepada faqir miskin termasuklah jirannya dan saudara mara dan

§        1/3 (sepertiga) lagi bagi sesiapa yang memintanya.

Ia berdasarkan firman Allah SWT :

Ertinya : "Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan faqir." (Al-Haj : 28) dan juga firman Allah :

Ertinya "Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya dan yang tidak memintanya" (Al-Haj : 36)

Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW sebagaimana riwayat Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a. Namun demikian HARUS (DIBENARKAN) untuk tidak mengikut cara pembahagian ini SAMADA UNTUK MAKAN KESELURUHANNYA ATAU KEBANYAKKANNYA. (Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/200)

UPAH KEPADA TUKANG SEMBELIH DAN LAPAH SERTA JUAL DAGING QURBAN

Bagaimanapun DILARANG untuk memberikan tukang-tukang lapah dan penyembelih upah atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal), bagaimanapun ia harus jika dia termasuk dari kalangan faqir miskin atau diberikan secara sukarela orang ramai sebagai hadiah. Ini berdasarkan sebuah hadis

Ertinya : Rasulullah mengarahkan aku agar TIDAK memberi pelapah sesuatu apa (upah) pun. ( Riwayat Al-Bukhari)

Pun begitu, boleh diberikan daging qurban sebagaimana orang lain.

TIDAK DIBENARKAN juga sepakat ulama untuk menjual dagingnya.

Namun tidak sepakat berkenaan penjualan kulit, bulunya dan tulang hasil Korban. Majoriti mazhab termasuk Syafie tidak membenarkan. (Bidayatul Mujtahid, Ibn Rusd Al-Hafid, 1/321 ( cet Maktabah al-Riyadh al-Hadithiyah) ; Rawdah At-Tolibin, An-Nawawi, 3/225)
DIBENARKAN untuk menyimpan daging-daging kurban walaupun melebihi 3 (tiga) hari berdasarkan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim.

MEMBERI DAGING KORBAN KEPADA ORANG KAFIR

Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, sebahagian mazhab mengatakannya HARAM, ada yang mengatakannya MAKRUH dan Mazhab Hanbali, Hanafi mengatakannya sebagai HARUS kerana ia bukannya sedeqah wajib. (Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/201)

Namun tiada khilaf, mendahulukan umat Islam adalah lebih utama dalam hal ini.

BERQURBAN ATAU MEMBAYAR HUTANG

Bolehkah seorang yang dibebani hutang bank dan rakan berkorban sekali setahun demi tawaran pahalanya?.

Untuk menentukan keutamaan samada menjelaskan hutang atau melakukan ibadah kurban kita perlu melihat kepada jenis hutang, tempoh janji bayaran semula dan kemampuan orang yang berhutang.

Jika ia adalah dari jenis hutang yang telah terancang pembayarannya seperti hutang bank dan selepas ditolak semuanya masih ada baki wang, tatkala itu individu tersebut sewajarnya melihat dan memikirkan berkenaan hutang tidak rasmi dari individu lain atau rakan-rakan serta tempoh yang dijanjikan.

Jika tempoh langsaian hutang masih jauh dan diyakini pendapatan akan datangnya boleh menampung semunya tanggungjawab wajib itu. Di ketika itu  barulah ibadah kurban menjadi utama untuk dilaksanakan.

Ia amat jelas kerana ibadah kurban hanya sunat muakkad sahaja menurut majoriti mazhab mankala langsai hutang dalam tempohnya adalah wajib.

Jika disebabkan oleh ingin berkorban sehingga menyebabkan rakan pemberi hutang pula ‘TERKORBAN', hubungan persaudaraan ‘terkorban', atau hingga menyebabkan pihak bank mengenakan penalti kerana lewat bayar, tidak wajar sama sekali untuk berkorban juga. Keutamaan tetap bagi pelangsaian hutang berbanding berkorban. Demikian pandangan ringkas saya.

SEMBELIH QURBAN GUNA AYAM

Asal hukum mesti bahimatul al-an’am sebagaimana disebut di dalam Al-Quran. Ayam tidak tergolong dalam kategori itu.

Bagi mereka yang tidak mampu, gugurkan kesunatan Qurban dari mereka, namun jika mereka ingin sembelih ayam sebagai ganti, ia hanya menjadi sedeqah biasa. Diriwayatkan Ibn Abbas pernah membeli daging dengan harga satu dirham dan berkata nah, inilah qurban Ibn Abbas, iaitu secara majaz.

QURBAN OLEH ORGANISASI & SYARIKAT?

Ramai yang bertanya dan ramai juga yang melakukan amalan ini. Adakah sebuah syarikat boleh mengeluarkan bajet tertentu untuk membeli dua puluh ekor lembu dan berkorban atas nama syarikat?

Jawabnya ringkas : "TIDAK BOLEH"

Ibadah korban adalah ibadah yang dilakukan oleh individu tertentu atau untuk individu tertentu. Ia bukan untuk organisasi yang bukan manusia. Justeru, sebuah organisasi ingin melaksanakannya, ia MESTI menghadiahkannya kepada mana-mana Pengarah atau kakitangannya. Ketika itu korban barulah sah dan ia menjadi korban oleh individu yang ditentukan namanya sahaja dan bukan atas nama syarikat.

Pihak syarikat terbabit boleh bergilir-gilir menghadiahkan lembu tertentu dan bahagiannya DIHADIAHKAN kepada kakitangan secara khusus UNTUK DILAKSANAKAN sembelihan atau korban, pahala korban akan hanya diperolehi oleh individu dan pihak organisasi pula (iaitu pemilik organisasi iaitu manusia) hanya mendapat pahala kerana ‘menghadiahkan' lembu atau bahagiannya kepada kakitangan sahaja.

Jika pihak syarikat tidak mahu berbuat demikian, bermakna ia mestilah meletakkan secara specific 20 ekor lembu itu, untuk para lembaga pengarahnya secara khusus juga. Ia bukan atas nama syarikat tetapi individu.


QURBAN BINATANG YANG DIKONGSI

a) Yang boleh dikongsi : Lembu, Unta, Kerbau

Dalilnya dari hadis :
Ertinya: Rasulullah berkongsi sewaktu Hajinya bersama kaum Muslimin, seekor Lembu dibahagi tujuh bahagian. (Riwayat Ahmad)

b) Yang tidak boleh dikongsi (Ijma’ ulama) : Kambing, kibash dan sepertinya. Adapun kongsi pahala, terdapat khilaf dan sebahagian mengHARUSkannya.

KONGSI PAHALA QURBAN

a) Ketua keluarga diHARUSkan menyembelih satu bahagian lembu atau kerbau atau unta dan diniatkan pahalanya kepada keluarganya. Ini sebagaimana yang dilakukan oleh Baginda Nabi saw.

b) Namun untuk kongsi pahala dengan seluruh syarikat atau negara, ia tidak dilakukan oleh shabat nabi. Hanya Nabi sahaja yang berqurban dan menyatakan "ini adalah untuk ummatku yang tidak berqurban. Disebutkan di dalam sebuah hadis bahawa Nabi membaca doa ini semasa ingin menyembelih

Nabi berkata : Dengan Nama Allah dan ya Allah terimalah dari Muhammad dan keluarga Muhammad dan ummatnya.


Wednesday, October 1, 2014

PUASA HARI ARAFAH - IKUT MEKAH ATAU MALAYSIA?

PUASA HARI ARAFAH - IKUT MEKAH ATAU MALAYSIA?
 

Ada yang bertanya perbezaan tarikh permulaan Zulhijjah di Malaysia dan Saudi khususnya, bagaimana dengan puasa Arafah? Kerana di Mekah, hari Arafah jatuh hari Jumaat manakala di Malaysia pada hari Sabtu. Begitu juga dengan hari raya Aidil ‘Adha.

Isu ini sama dengan perbezaan dalam menentukan permulaan Ramadhan dan Raya Aidil Fitri.  Ringkasnya pendapat para ulama adalah :-

1. Pendapat Mazhab Syafie, Ishak Rahawaih, Ibn Mubarak dan dinisbahkan kepada Ibn Abbas r.a

Setiap negara khususnya yang jauh, mengikut ijtihad (melalui lihat anak bulan dan hisab) oleh negara masing-masing. Ini berlandaskan hadis seorang lelaki bernama Kurayb yang berada di Syam, dia melihat anak bulan Ramdhan pada MALAM JUMAAT yang turut dilihat oleh Mu’awiyah r.a. Lalu mereka berpuasa esoknya, namun apabila dia sampai ke Madinah dan memaklumkan kepada Ibn Abbas r.a, beliau mengatakan penduduk melihat anak bulan pada MALAM SABTU, justeru penduduk Madinah akan kekal bermula puasa pada hari Ahad. (hadis ini Riwayat Imam Muslim)

2. Pendapat majoriti termasuk Hanafi, maliki dan hanbali. Turut dipilih oleh Ibn Taymiah dan Al-Syawkani. Termasuk Majlis Fiqh Antarabangsa, Hai’ah Kibar Ulama Saudi & Dar Ifta Mesir.

Tiada perbezaan, sepatutnya mana-mana negara yang telah melihat anak bulan dahulu, semua negara lain jauh atau dekat perlu mengikutnya. Perbezaan tempat naiknya bulan (Matali’ al-Qamar) tidak diambil kira dalam hal ini.

KESIMPULAN
Kesimpulan, menurut ijtihad majoriti mazhab, sewajarnya puasa arafah dan raya mengikut tarikh Saudi. Namun bagi yang berada di MALAYSIA, diharuskan atau dibenarkan berdasarkan ijtihad mazhab Syafie dengan dalil ringkas yang diberikan tadi, untuk rakyat Malaysia di negara Malaysia berpuasa sunat Arafah pada hari Sabtu dan berhariraya bermula pada hari Ahad. Mereka yang berada di SAUDI dan negara lain, boleh mengikut ijtihad penguasa agama di negara tersebut.

Ini juga berdasarkan hadis :
الفطر يوم يفطر الناس ، والأضحى يوم يضحي الناس
Ertinya : Hari raya maka berayalah juga manusia (mengikut ketetapan di tempat tersebut), dan apabila raya kurban jatuh pada satu hari, manusia turutilah berkorban pada hari terbabit. ( Riwayat AT-Tirmidzi : hasan gharib)

Dipetik oleh Imam Ibn Rejab dalam kitabnya dalam hal ini, satu hadis Aisyah r.a
دخلت على عائشة أنا وصديق لي يوم عرفة فدعت لنا بشراب ، فقالت: لولا أني صائمة لذقته . فقلنا لها: أتصومين والناس يزعمون أن اليوم يوم النحر ؟ قالت: " الأضحى يوم يضحي الناس ، والفطر يوم يفطر الناس "
Ertinya : Aku dan rakanku telah masuk ke rumah Aisyah dan pada hari Arafah namun Aisyah menjemput kami minum (pent - kerana mereka dikira orang musafir). Lalu Aisyah berkata: Jika aku tidak berpuasa, tentunya akan aku nikmati (minuman)”. Lalu kami berkata kepadanya : “Adakah engkau puasa sedang ada yang menganggap hari ini adalah hari sembeilhan (aidil adha)?” Aisyah menjawab: “Aidil adha adalah hari yang semua orang merayakannya dan hari raya ‘Aidil fitri juga yang manusia beraya menyambutnya” (Riwayat Ahmad)

Dari dalil-dalil ini, HARUS rakyat Malaysia berpuasa hari Sabtu atas peruntukan KELEBIHAN ia merupakan hari arafah di negara kita. Sesiapa yang ingin berpuasa Jumaat dan Sabtu, itu turut dibenarkan.

Wallahu’alam.


Dr. Zaharuddin Abd Rahman
Presiden MURSHID

Sumber :  https://ms-my.facebook.com/DrZaharuddin/posts/837329319640086
TAJUK ASAL : PUASA HARI ARAFAH KETIKA BERBEZANYA MALAYSIA DENGAN MEKAH


---------------------------------------------------------------------------------

"Perbezaan ini adalah kerana Islam meraikan perbezaan tempat terbit matahari dan bulan (matla') di setiap negara. Perbezaan tempat dan waktu terbit ini akan menatijahkan perbezaan waktu dan hari. Malaysia mempunyai tempat terbit matahari dan bulan yang berbeza dengan Arab Saudi. Jika tarikh di Malaysia sama dengan Arab Saudi sekali pun, perbezaan waktu tetap berlaku. Usaha untuk menyamakan hari puasa sunat Arafah dan Hari Raya Aidil Adha di seluruh dunia adalah umpama ingin menyamakan waktu solat di setiap negara. "

Khilaf dalam kalangan ulama’ pada asalnya adalah suatu keluasan Syariah dan rahmat bagi umat ini. Ia akan menjadi sempit dan susah apabila dimasuki oleh hawa nafsu, atau mementingkan diri sahaja, atau berlaku tanpa mengikut jalan yang dibenarkan oleh Syariah. Pada ketika itu ia akan bertukar kepada perpecahan, perbalahan, persengketaan dan menimbulkan huru-hara di kalangan ummah. Sedangkan kesatuan ummah adalah perkara WAJIB yang perlu dijaga dan perpecahan itu adalah HARAM.


Sebagai orang awam berlapang dada dalam hal-hal khilaf di kalangan ulama adalah jalan tebaik. Perbezaan ini menyerlahkan keindahan Islam kerana ia bersifat anjal dalam perkara cabang dan tegas dalam perkara prinsip. Ia adalah sesuai di setiap tempat dan zaman.

BACAAN LANJUT LIHAT PENJELASAN JAKIM DI BAWAH

Puasa sunat hari Arafah - Penjelasan Jakim

Baru-baru ini, timbul isu tentang kaedah penentuan Aidiladha di Malaysia dan pelaksanaan  puasa sunat sempena hari Arafah. Persoalan ini timbul kerana perbezaan hari dan waktu antara Malaysia dan Arab Saudi.

Perbezaan ini menimbulkan sedikit kekeliruan hari bilakah umat Islam boleh berpuasa sunat. Bagi menjawab kekeliruan itu Jakim telah mengeluarkan suatu kenyataan media melalui ketua pengarahnya, Datuk Haji Othman Mustapha.

KAEDAH PENENTUAN AIDILADHA DI MALAYSIA DAN PELAKSANAAN  PUASA SUNAT SEMPENA HARI ARAFAH 1435H

Adalah dimaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ingin memaklumkan mengenai Kaedah Penentuan Aidiladha di Malaysia dan Pelaksanaan Puasa Sunat sempena Hari Arafah.

1. Kaedah penentuan Aidiladha di Malaysia pada masa kini adalah berpandukan rukyah dan hisab negara sendiri yang telah diputuskan oleh Majlis Raja-Raja Malaysia dalam mesyuaratnya kali ke-164 pada 3 Februari 1994 setelah mendengar pandangan dan syor Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bermuzakarah pada 22 Ogos 1992.

2. Antara hujah Jawatankuasa Fatwa menyetujui penentuan Aidiladha berpandukan cerapan hilal Zulhijjah sendiri dalam muzakarahnya pada 22 Ogos 1992 dan 23 April 2002 adalah firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185 mengenai rukyah hilal untuk menentukan awal bulan yang bermaksud:

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keteranganketerangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, siapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya) maka hendaklah ia berpuasa, dan siapa yang sakit  atau  dalam  musafir,  maka  (bolehlah   ia   berbuka  dan kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain…”

3. Juga hadith-hadith riwayat Muslim mengenai ibadah korban mesti dengan melihat hilal yang bermaksud: “Dari Umm Salamah bahawasanya Nabi SAW bersabda; ‘Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang mahu berkorban maka hendaklah dia (orang yang hendak melakukan korban) jangan memotong rambut dan kukunya’.”

“Dari Umm Salamah bahawa Rasulullah SAW bersabda, ‘Apabila tanggal sepuluh (Zulhijjah) masuk dan salah seorang di antara kamu hendak menyembelih korban, maka janganlah dia menyentuh sedikitpun rambut dan kulitnya (yakni membuang rambut dan kulitnya).’

4. Begitu juga hadith riwayat Muslim mengenai hilal yang mempunyai matla’ (kawasan yang berada pada jangkamasa waktu-waktu terbit dan terbenam yang hampir sama) tertentu yang bermaksud, “Dari Kuraib bahawa Ummu al-Fadl telah menghantarnya menemui Muawiyah di negeri Sham.  Kuraib berkata, ‘Aku tiba di Sham dan menunaikan hajatnya sedangkan perisytiharan tentang kelihatan anak bulan berkumandang di udara. Aku melihat anak bulan pada malam Jumaat, kemudian aku balik ke Madinah pada akhir bulan, pada masa itu aku ditanya oleh Abdullah bin Abbas yang menyebut tentang anak bulan.’ Katanya, ‘Bilakah kamu melihat anak bulan?’ Aku menjawab, ‘Kami melihat pada malam Jumaat!’ Ibn Abbas bertanya lagi katanya, ‘Adakah engkau sendiri melihat anak bulan itu?’ Aku menjawab, ‘Ya, orang lain pun melihatnya dan mereka itu berpuasa, Muawiyah turut berpuasa.’ Ibn Abbas berkata, ‘Kami di sini melihat anak bulan pada malam Sabtu, oleh itu kami terus berpuasa hingga kami sempurnakan 30 hari atau hingga kami melihat anak bulan Syawal.’ Aku bertanya, ‘Tidakkah memadai bagi kamu dengan penglihatan anak bulan itu oleh Muawiyah dan puasanya?’ Ibn Abbas menjawab, ‘Tidak! Beginilah caranya Rasulullah  SAW menyuruh kami…’.”

5. Untuk penentuan awal Zulhijjah 1435H, kebanyakan negara di seluruh dunia telah mencerap hilal pada petang 24 September 2014 yang lalu. Antara negara tersebut termasuklah negara Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura yang lebih dikenali dengan MABIMS. Arab Saudi dan negara-negara Timur Tengah juga telah mencerap hilal Zulhijjah pada tarikh yang sama.

6. Tiada negara anggota MABIMS melaporkan telah berjaya mencerap hilal pada petang 24 September 2014. Di Malaysia, 29 tempat cerapan rasmi keseluruhannya melaporkan tidak berhasil mencerap hilal. Justeru, Malaysia dan kesemua negara anggota MABIMS telah menetapkan awal Zulhijjah pada 26 September 2014 seterusnya akan menyambut Aidiladha pada 5 Oktober 2014. Komuniti Islam di negara
yang menerima pakai keputusan cerapan hilal rantau MABIMS seperti Jepun juga akan menyambut Aidiladha pada tarikh yang sama. Di rantau Timur Tengah pula, Arab Saudi dilaporkan telah berhasil mencerap hilal Zulhijjah di kawasan sekitar Shaqra dan Sudair berdekatan dengan Riyadh seterusnya menetapkan wuquf di Arafah jatuh pada 3 Oktober 2014 dan Aidiladha pada 4 Oktober 2014.

7. Matla’ negara Malaysia yang berbeza dengan Arab Saudi yang berkedudukan lebih barat menyebabkan peluang kenampakan hilal lebih tinggi di negara berkenaan. Perbezaan waktu antara kedua-dua negara adalah sekitar lima jam. Justeru, ketika hilal dicerap pada waktu matahari terbenam di Arab Saudi, kedudukan hilal tersebut adalah lebih tinggi berbanding di Malaysia.

8. Setiap negara hanya boleh menerima pakai keputusan cerapan hilal matla’  negara masing-masing. Al-Syeikh Syamsuddin Muhammad bin al-Khatib al-Syarbini menjelaskan matan Minhaj al-Talibin oleh Imam al-Nawawi;

“Dan apabila dilihat hilal di sesuatu negara maka wajiblah hukum yang sama bagi negara berhampiran sebagaimana kota Baghdad dengan kota Kufah, tidak bagi negara yang berjauhan seperti negara Hijaz dengan negara Iraq”.

Maksud di dalam negara yang satu ialah matla’ yang sama. Bagi matla’ Malaysia adalah terletak di dalam  matla’ Asia Tenggara. Oleh itu sewajarnya penentuan tarikh Aidiladha mengikut persetujuan Majlis Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama MABIMS. 

9. Komuniti Islam di Jepun telah bertanyakan kepada negara Arab Saudi berkenaan sejauh mana kesahan matla’ hilal dalam menentukan awal Zulhijjah dan Aidiladha di tempat mereka. Kenyataan rasmi negara Arab Saudi memaklumkan supaya komuniti Islam di Jepun berhari raya dan berpuasa sunat sempena hari Arafah mengikut hasil cerapan hilal di Jepun atau pun negara yang sama  matla’  dengannya seperti negara MABIMS. Oleh kerana itulah komuniti Islam di Jepun menerima pakai
keputusan cerapan hilal di Malaysia.

10. Al-Syeikh Syamsuddin Muhammad bin al-Khatib al-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj  menjelaskan kenyataan Imam al-Nawawi berhubung dengan berpuasa pada hari Arafah:

“Dan berpuasa pada hari Arafah itu adalah pada 9 Zulhijjah bagi orang yang tidak mengerjakan haji…

11. Hakikatnya, bukan semua negara di dunia dapat berpuasa pada detik yang sama. Sekiranya semua orang ingin berpuasa Arafah pada detik yang sama dengan orang-orang di Arab Saudi Jumaat ini,  maka
ketika orang-orang di Arab Saudi baru memulakan puasa, orang-orang Islam di Malaysia sudah lama memulakan puasa menghampiri waktu tengahari, orang-orang Islam di New Zealand sudahpun menghampiri waktu berbuka. Maka jadilah orang-orang Islam di New Zealand berpuasa Arafah jauh mendahului apa yang sedang berlaku di Arafah.

12. Ringkasnya, kaedah penentuan Aidiladha di Malaysia yang berpandukan kepada cerapan hilal Zulhijjah sendiri dan tidak terikat dengan hasil cerapan hilal Zulhijjah Arab Saudi adalah tepat. Pun begitu, negara-negara atau rakyat Malaysia yang berada sekitar Arab Saudi atau negara-negara sebelah barat Arab Saudi (atas dasar imkanur-rukyah atau peluang kenampakan hilal menjadi lebih besar sebelah barat negara yang berhasil rukyah hilal) perlu beraya bersama
Arab Saudi.

13. Cadangan untuk menukar kaedah penentuan Aidiladha di Malaysia kepada berpandukan hari wuquf pernah dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 23 April 2002. Muzakarah membuat keputusan seperti berikut:

“Menolak Cadangan Penentuan Aidiladha Berdasarkan Hari Wukuf  Dan  Mengekalkan  Kaedah   Penetapan   Aidiladha  Di Malaysia Adalah Berdasarkan Kepada Kaedah Rukyah Anak Bulan Zulhijjah Berasaskan Sistem Imkanul Rukyah Kerana Kaedah Rukyah Anak Bulan Zulhijjah Lebih Sesuai Diamalkan Di Negara Ini.

14. Pelaksanaan puasa sempena hari Arafah di Malaysia bolehlah dilaksana pada 9 Zulhijjah negara bersamaan hari Sabtu 4 Oktober 2014.

Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/31185-penjelasan-jakim-puasa-sunat-hari-arafah?fb_comment_id=fbc_738107622909645_738427342877673_738427342877673#f9b886c64