Showing posts with label Sejarah Islam. Show all posts
Showing posts with label Sejarah Islam. Show all posts

Wednesday, February 19, 2014

REPLIKA DALAMAN RUMAH RASULULLAH SAW

MODEL RUMAH RASULULLAH SAW
Sila Klik Pada Gambar Untuk Besarkan
Gambar di atas adalah replika atau model rumah Nabi yang mulia Rasulullah SAW bersandarkan hadis yang sahih. Replika ini dipertontonkan di Jeddah.  Betapa 'ringkas'nya kehidupan Rasulullah SAW.  Sejauh mana ketepatannya, Wallahu'alam. Tetapi inilah gambaran perbezaan kesederhanaan hidup antara insan yang paling Mulia di sisi Allah dengan kehidupan kita sekarang.

Replika atau model rumah Rasulullah SAW ini berdasarkan maklumat yang pernah disampaikan oleh para sahabat baginda tentangya. Ia merupakan replika dalaman rumah Nabi SAW di Mekah.
Model rumah ini dibina bagi memberi gambaran kehidupan Nabi SAW yang sangat sederhana insan agung pilihan Allah SWT yang diutus menjadi utusanNya supaya menyampaikan risalah Allah dan membawa rahmat bukan sahaja kepada umat manusia bahkan sekalian alam. Dari rumah yang sederhana inilah ledakan arus perubahan besar ke seluruh dunia yang dari sinilah cahaya Islam bersinar buat pertama kalinya.
Sememangnya rumah ini sangat sederhana. Tidak terdapat perabut mewah dan tiada hiasan yang mahal-mahal. Zaid bin Thabit berkata : “ Anas bin Malik RA, khadam Rasulullah SAW pernah memperlihatkan kepadaku tempat minum Rasulullah SAW yang diperbuat daripada kayu yang keras yang dipateri dengan besi, lalu Anas berkata, “Wahai Ibnu Thabit, inilah tempat minum Rasulullah. Dengan gelas kayu itulah Rasulullah minum air perahan kurma, madu dan susu.” (At-Tirmizi)

Friday, November 8, 2013

Kisah Kewafatan Nabi Muhammad SAW

Detik Kewafatan Rasulullah SAW
(Berdasarkan Hadis Shahih Bukhari)


Gambar Maqam Rasulullah SAW

Banyak artikel membicarakan kisah kewafatan Nabi Muhammad tetapi tidak meyakinkan kerana tidak disertai dalil yang kuat. In Shaa Allah kisah tentang Nabi Muhammad wafat yang anda baca ini dapat dijadikan rujukan yang bersumber dari hadis sahih Bukhari (sila rujuk nota kaki di bawah perenggan akhir).

Menjelang Kewafatan Nabi Muhammad

Kira-kira 3 bulan selepas kembali daripada menunaikan haji wada, Nabi Muhammad SAW menderita sakit yang cukup serius. [1] Baginda kali pertama mengadu tentang sakitnya semasa di rumah Ummul Mukminin Maimunah [2]. Baginda sakit selama 10 hari, [3] kemudian akhirnya wafat pada hari Isnin 12 Rabiul Awwal [4] dalam umur 63 tahun . [5] Dan telah shahih (satu riwayat yang mengemukakan) bahawa sakitnya telah dirasakan sejak tahun ke-7 selepas penaklukan Khaibar, iaitu setelah baginda merasai sepotong daging panggang yang telah diberi racun dan dihidangkan oleh isteri Sallaam bin Masykam Al-Yahudiyyah. Walau pun baginda telah memuntahkan iaitu tidak sampai menelannya, tetapi kesan racunnya masih tersisa. [6]

Baginda, Nabi Muhammad SAW meminta izin pada para isterinya supaya dirawat di rumah Aisyah . [7]  Aisyah mengusap badan Nabi Muhammad SAW sambil membaca surat Al- Mu'awwidzatain ( Surat Al-Falaq dan An-Naas ) . [ 8 ]

Ketika baginda dalam keadaan kritikal, baginda berkatalah pada para shahabat : "Kemarilah , aku ingin menulis untuk kalian yang dengan itu kalian tidak akan tersesat setelahnya" .

Terjadi perbezaan di antara mereka. Sebahagian bermaksud memberikan alat-alat tulis sebahagian lain tidak setuju, bimbang ianya akan memberatkan baginda. Belakangan telah jelas bahawa perintah menghadirkan alat tulis itu bukanya perkara yang wajib, tetapi sebuah pilihan saja . Semasat mendengar Umar bin Khatab berkata: " Kami telah cukup dengan Kitabullah "; maka beliau tidak mengulangi permintaannya itu. Andai itu adalah kewajiban, pasti baginda akan menyampaikannya dalam bentuk mesej . Sebagaimana ketika baginda menyatakan mesej secara terus kepada mereka supaya mengeluarkan orang-orang musyrik dari Jazirah Arab dan supaya memuliakan rombongan delegasi yang datang ke kota Madinah. [9]

Sebuah riwayat yang sahih memaparkan bahawa alat tulis itu dimintanya pada hari Khamis , 4 hari menjelang Nabi Muhammad wafat. Andaikan permintaan itu wajib, maka baginda tidak akan meninggalkannya kerana ada perselisihan para shahabat pada waktu waktu itu . Baginda tidak mungkin meninggalkan tabligh (atas risalah) walaupun ada yang menyelisihi. Telah menjadi kebiasaan, para sahabat nabi mengesahkan beliau dalam beberapa perkara yang ada perintah secara pasti.

Nabi Muhammad SAW memanggil Fatimah lalu berbisik, kemudian Fatimah menangis. Nabi memanggilnya kembali dan berbisik kemudian Fatimah tersenyum. Setelah Nabi Muhammad wafat, Fatimah memaparkan bahawa ia menangis sebab diberitahu bahawa baginda akan wafat, dan tersenyum sebab menerima bisikan bahawa dirinya adalah ahli keluarga pertama yang akan menyusul beliau. [10] Dan salah satu tanda dari tanda-tanda nubuwwah itu akhirnya terbukti .

Menjelang kewafatan Nabi Muhammad , sakit yang beliau derita semakin parah hingga beliau tidak sanggup keluar untuk solat berjemaah di masjid beserta shahabat-sahabatnya. Baginda bersabda : " Suruhlah Abu Bakar supaya solat mengimami manusia " .

Aisyah berusaha agar baginda SAW menunjuk orang lain saja kerana bimbang orang-orang akan berprasangka yang bukan-bukan kepada ayahnya (Abu Bakar) . Aisyah kemudian berkata : "Sungguh Abu Bakar itu adalah seorang lelaki yang lemah fizikalnya , suaranya perlahan , mudah menangis semasa membaca Al- Qur'an". [11]

Namun Rasulullah tetap bertegas atas perintah itu . Akhirnya Abu Bakar menjadi imam solat berjemaah di masjid bagi para shahabat. [12] Pada satu hari, Nabi keluar dengan dipapah oleh Ibnu Abbas dan Ali untuk solat berjamaah, seterusnya beliau berkhutbah . Beliau memberi pujian dan menjelaskan kelebihan Abu Bakar dalam khutbahnya itu dimana ia ( Abu Bakar) disuruh pilih oleh Allah antara dunia dan kahirat , tapi Abu Bakar memilih akhirat. [13]

Khutbah yang disampaikan itu adalah 5 hari menjelang kewafatan Nabi Muhammad. Baginda bersabda :
"Sungguh ada seorang hamba yang ditawarkan dunia dan perhiasannya, namun justru ia memilih akhirat".
Abu Bakar memahami bahawa maksudnya itu adalah dirinya. Dia pun menangis. Melihat hal tersebut, orang -orang heran sebab tidak mengerti apa yang dirasakan Abu Bakar. [14]

Rasulullah SAW membuka tabir bilik Aisyah semasa solat Subuh , hari dimana akan wafatnya Nabi Muhammad, kemudian baginda memandang para shahabat yang sedang berada dalam saf-saf solat berjemaah. Banginda tersenyum dan tertawa kecil seakan mengundur diri pada mereka. Para shahabat amat gembira dengan keluarnya baginda itu. Abu Bakar pun mundur kerana mengira Rasulullah SAW ingin solat berjemaah bersama mereka. Namun baginda memberikan isyarat kepada mereka dengan tangannya agar menyelesaikan solat mereka. Baginda kemudian masuk bilik semula sambil menutup tabir.

Fatimah masuk menemui beliau dan berkata: " Alangkah berat penderitaan ayah " . Maka baginda menjawab : " Setelah hari ini, tidak akan ada lagi penderitaan ". [15]

Ternyata itulah hari Nabi Muhammad wafat. Usamah bin Zaid masuk , dan beliau memanggilnya dengan isyarat. Baginda sudah tidak sanggup lagi bercakap kerana sakitnya yang semakin berat. [16]

Ketika menjelang Nabi Muhammad wafat, baginda bersandar di dada Aisyah. Aisyah mengambil siwak pemberian saudaranya bernama Abdurrahman . Aisyah gigit siwak itu lalu memberikannya kepada Nabi . Baginda pun lalu bersiwak dengannya. [17]

Rasulullah SAW lalu memasukkan tangannya ke dalam bejana yang berisi air dan membasuh mukanya. Baginda bersabda : "Tidak ada tuhan yang berhak disembah selain Allah. Sesungguhnya pada setiap kematian itu ada saat-saat mati ". [18]

Dan Aisyah secara samar-samar masih mendengar baginda bersabda : "Bersama orang- orang yang dikurniakan nikmat oleh Allah". [19] Lalu baginda berdoa: " Ya Allah, pertemukan aku dengan Ar - Rafiiqul - A'laa ( Allah ) " . Aisyah tahu bahawa baginda waktu itu disuruh memilih , dan beliau pun memilih Ar - Rafiiqul - A'laa ( Allah ). [20]

Akhirnya waktu wafatnya Nabi Muhammad pun tiba pada hari itu. Baginda wafat di waktu Dhuha, ada yang mengatakan pada waktu tergelincirnya matahari, sedangkan kepala beliau di pangkuan Aisyah.

Abu Bakar segera masuk , semasa Nabi Muhammad wafat ia tidak berada di tempat itu. Ia membuka penutup wajah beliau, lalu menutupnya kembali dan menciumnya. Ia pun keluar menemui orang ramai. Ketika itu , orang ramai dalam keadaan antara percaya dan tidak percaya atas kewafatan Nabi Muhammad. Umar antara sahabat orang yang tidak percaya atas berita Nabi Muhammad wafat. Orang ramai pun kemudian berkumpul menemui Abu Bakar.

Abu Bakar berkata : "Amma ba'du , barangsiapa di antara kalian yang menyembah Muhammad, maka sesungguhnya Muhammad saat ini telah mati. Dan barangsiapa di antara kalian yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah itu Maha Hidup dan tidak akan pernah mati. Allah telah berfirman: "Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang ( murtad) ? Barang siapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun ; dan Allah akan memberi balasan kepada orang -orang yang bersyukur " ( QS. Aali ' Imraan: 144).

Mendengar itu, kemudian para shahabat merasa tenang . Sementara itu, Umar duduk di tanah tidak sanggup berdiri. Seakan-akan mereka belum pernah mendengar ayat tersebut melainkan pada saat itu saja. [21]

Fatimah berkata :
"Wahai ayah, Rabb telah memenuhi doamu
Wahai ayah, syurga Firdaus tempat kembalimu
Wahai ayah, pada Jibril kami kabarkan atas kewafatanmu ". [22]

Semoga Allah melimpahkan shalawat, salam, barakah, dan nikmat kepada Nabi-Nya, keluarganya, dan para shahabatnya . Dan akhir doa kami adalah alhamdulillaahi rabbil 'aalamiin.



Nota Kaki

[ 5,6,7,8,910,13,15,17,18,19,20,21,22 ] Shahih Bukhari (Fathul- Bari)

[1] Ibnu Katsir berkata bahawa Nabi Muhammad wafat adalah 81 hari selepas hari haji akbar [Al - Bidaayah wan- Nihaayah , 5/ 101 ].

[2] Ibnu Hajar berkata bahawa itu merupakan pendapat yang mu'tamad . Beberapa riwayat lain menyatakan bahawa beliau pertama kali mengeluhkan sakitnya di rumah Zainab binti Jahsy atau Raihaanah [Fathul- Bari , 8/ 129].

[3] Sulaiman At - Taimiy memastikan pendapat ini. Riwayat ini dikeluarkan oleh Al- Baihaqi dengan sanad shahih. Menurut pendapat kebanyakan ulama , menjelang Nabi Muhammad wafat, beliau sakit selama 13 hari [Fathul- Bari]

[ 4] Al - Haafidh berpegang pada pendapat Abu Mikhnaf bahawa Nabi Muhammad wafat tanggal 2 Rabiul Awwal . Tambahan angka 1 (menjadi 12) adalah kesalahan [Fathul- Bari , 8/ 130].

[11] Siirah Ibni Hisyaam , 4/ 330 dengan sanad shahih; dan Al- Bidaayah wan- Nihaayah oleh Ibnu Katsir , 5/ 233.

[12] Al - Bidaayah wan- Nihaayah oleh Ibnu Katsir, 5/232-233 .

[14] Musnad Ahmad (Fathur - Rabbaaniy , 21/ 222 berikut catatan pinggir / hasyiyah no . 3); dan Tirkatun - Nabiy Dengan sanad dimana rijalnya adalah tsiqah, namun mursal.

[16] Sirah Ibni Hisyaam , 4/ 329 dengan sanad shahih.

Kumpulan hadis sahih Bukhari tentang Kisah Kewafatan Nabi Muhammad ini diambil dari kitab : As - Siirah An -Nabawiyyah Ash- Shahiihah oleh Prof. Dr . Akram Dliyaa 'Al- ' Umariy , Maktabah Al -'Ulum wal -Hikam , Cet. 6/ 1415, Madinah Munawarah

Kredit : http://www.promutu.com/tentang-nabi-muhammad/kisah-nabi-muhammad-wafat-shahih-bukhari/

Friday, August 23, 2013

PERSTIWA TAHKIM ANTARA VERSI SYIAH DAN VERSI SUNNAH

PERSTIWA TAHKIM
(VERSI SYIAH  LWN  VERSI AHLI SUNNAH)



Peperangan Siffin adalah peperangan kedua yang berlaku antara para Sahabat Nabi s.a.w ridwanullahi alaihim ajmain. Sebelumnya berlaku peperangan Jamal di antara Saidina Ali bin Abi Talib r.a dan Saidina Talhah r.a, al-Zubair, dan Ummul Mukminin Aisyah r.a. Semuanya angkara tipu muslihat puak kafir Yahudi dikepalai oleh Abdullah bin Saba’.

Telah popular peristiwa yang berlaku antara Saidina Ali bin Abi Talib r.a dan Saidina Muawiyah bin Abi Sufian radiallahuanhuma selepas selesai perang Siffin, pihak Saidina Muawiyah r.a menuntut perdamaian dengan tentera Syam (pihak Saidina  Muawiyah r.a) mengangkat Mushaf al-Quran di hujung tombak tanda memohon perdamaian.

Abdullah bin Saba’, pengasas ajaran Syiah telah menyebar fitnah dan mempergunakan kaum muslimin yang masih baharu memeluk Islam daripada Mesir, Iraq, dan Farsi (Iran) untuk bangkit menentang Khalifah Usman bin Affan r.a sehingga terbunuhnya Khalifah Usman r.a secara terzalim dan teraniaya.

Kematian Usman r.a yang tragis ini menimbulkan kemarahan Sahabat r.a dan bangkit untuk menuntut bela terhadap Usman r.a, namun keadaan yang rumit berlaku kerana pembunuh-pembunh Usman r.a telah melantik diri mereka sebagai kerajaan yang baru seperti al-Asytar yang telah dijadikan oleh para pemberontak sebagai panglima perang Khalifah yang baharu, Saidina Ali bin Abu Talib r.a.

Saidina Ali r.a berpandangan perkara yang pertama perlu dilakukan adalah mengukuhkan pemerintahan beliau dan para Sahabat hendaklah membaiat beliau terlebih dahulu untuk memperkukuh kedudukan kaum muslimin dan melemahkan kedudukan para pemberontak Usman r.a.

Saidina Muawiyah r.a berpandangan sebaliknya, iaitu hendaklah dilaksanakan Qisas dahulu terhadap pembunuh Usman r.a baharulah mereka akan membaiat Saidina Ali r.a. Antara mereka yang berkeras dengan pedirian ini adalah Saidina Muawiyah r.a berpegang dengan firman Allah Taala:

Maksudnya: “dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka Sesungguhnya Kami telah menjadikan warisnya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana Sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).” [al-Israa: 33].

Saidina Muawiyah r.a berijtihad, menurut hukum Syarak beliau mempunyai kekuasaan penuh untuk menuntut qisas terhadap pembunuh Usman r.a kerana beliau adalah wali (sepupu) Usman r.a yang paling utama. [al-Bidayah wa al-Nihayah, 8/23].

Saidina Muawiyah r.a bukanlah memerangi Saidina Ali r.a kerana ingin merebut jawatan Khalifah daripada Saidina Ali r.a sebagaimana kata beliau:

Maksudnya: “Aku tidak memerangi Ali kecuali kerana urusan Usman” [Musannaf Ibn Abi Syaibah, hadis no. 31193, cet Darul Qiblah].

Abu Muslim al-Khaulani r.h datang kepada Saidina Muawiyah r.a bersama dengan beberapa orang lagi bertanya kepada beliau: “Adakah tuan mencabar Ali atau tuan ini setaraf dengannya?”

Jawab Saidina Muawiyah r.a: “Tidak, demi Allah sesungguhnya aku mengetahui bahawa Ali itu lebih utama daripada aku dan dia lebih berhak menjadi Khalifah berbanding aku, tetapi bukankah kamu mengetahui bahawa Usman dibunuh secara zalim, sedang aku adalah sepupu beliau, maka aku menunutut darah Usman (pelaksanaan Qisas), maka pergilah kamu kepada beliau (Ali r.a) dan beritahu kepadanya: beri kepadaku pembunuh-pembunuh Usman maka aku akan menyerah kepadanya (berbaiat)”. [Siyar A’lam al-Nubala’, 3/140]

Maka jelas sekali bahawa Saidina Muawiyah r.a bukanlah berperang atas dasar hawa nafsu bahkan beliau tersalah dalam ijtihad beliau, maka baginya satu pahala, adapun Saidina Ali r.a beliau melakukan yang terbaik dan beliau lebih benar dalam ijtihad beliau, maka bagi beliau dua pahala Insha Allah. [al-Hiqbah min al-Tarikh, Usman al-Khumayyis, 187].

Riwayat Peristiwa Tahkim Yang Popular

Telah masyhur dalam kitab-kitab sejarah riwayat peristiwa Tahkim iaitu perdamaian antara Saidian Ali r.a dan Saidina Muawiyah r.a. S emua riwayat ini kembali kepada Kitab Tarikh al-Tabari r.h sebagai berikut:

“Ali r.a telah mengutuskan 400 orang lelaki diketuai oleh Syuraih bin Hani al-Harisi, bersama mereka juga Ibn Abbas r.a selaku Imam solat dan pemutus kata urusan mereka, termasuk juga bersama mereka Abu Musa al-Asy’ari. Muawiyah juga mengutus 400 orang daripada penduduk Syam sehingga mereka bertemu di Daumatul Jandal, Azrah. Muawiyah apabila dia mengutuskan utusan kepada Amru bin al-As r.a maka utusannya adalah rahsia antara Abdullah bin al-As, adapun Saidina Ali apabila mengutus apa-apa pesanan kepada Ibn Abbas r.a terpaksa didedahkan kepada pengikutnya kerana mereka suka berwasangka. Hal ini menimbulkan ketidak selesaan kepada Ibn Abbas kerana menunjukkan pasukan Ali r.a kurang setia sedangkan pasukan Muawiyah sangat patuh kepada ketua mereka.

Turut menyaksikan perhimpunan mereka itu (selaku pemerhati) adalah Abdullah bin Umar, Abdullah bin al-Zubair, Abdul Rahman bin al-Haris al-Makhzumi, Abdul Rahman bin Abdu Yaghus al-Zuhri, Abu Jahm bin Huzaifah al-Adwi, dan al-Mughirah bin Syu’bah al-Saqafi. Umar bin Saad bin al-Waqqas telah berjumpa dengan bapanya Saad bin al-Waqqas r.a yang menjauhkan diri daripada fitnah dan memujuk ayahnya supaya menyertai perhimpunan tersebut dengan harapan mereka akan melantik beliau sebagai Khalifah kerana Saad bin al-Waqqas adalah salah seorang Ahli Syura yang dilantik Saidina Umar r.a. Namun, Saad tetap bertegas untuk tidak menyertai perhimpunan tersebut atas dasar menjauhi fitnah.

Kemudian dua orang hakam itu (Amru bin al-As dan Abu Musa al-Asy’ari) bertemu dan Amru cuba memujuk Abu Musa untuk menyokong Muawiyah r.a dengan memberikan tawaran jawatan namun Abu Musa al-Asy’ari menolak tawaran tersebut dan memarahi Amru bin al-As.

Abu Musa al-Asyari pula mencadangkan untuk melantik Abdullah bin Umar r.a namun Amru mencadangkan nama anaknya sendiri Abdullah bin Amru r.a tetapi ditolak juga oleh Abu Musa al-Asyari.

Ali r.a juga memberi pesanan kepada Amru bin al-As r.a melalui Syuraih bin Hani, memujuk Amru bin al-As supaya memihak kepada beliau dan meninggalkan Muawiyah r.a namun Amru bin al-As enggan mendengar dan menolak.

Kemudian setelah Amru enggan menurut cadangan Abu Musa al-Asy’ari melantik Ibn Umar sebagai Khalifah dan Abu Musa enggan menerima cadangan Amru melantuk Abdullah Ibn Amru sebagai Khalifah, mereka bersetuju untuk memecat kedua-dua Khalifah Ali r.a dan Muawiyah r.a serta menyerahkan perlantikan Khalifah yang baharu kepada Syura kaum muslimin.

Namun, ketika pengumuman persetujuan dibuat, Amru bin al-As r.a menyuruh Abu Musa berucap dahulu dan Abu Musa mengisytiharkan pemecatan Ali dan Muawiyah dan mengembalikan hak perlantikan Khalifah kepada kaum muslimin. Ibn Abbas r.a pada mulanya melarang Abu Musa bercakap dahulu kerana bimbang akan berlaku tipu helah daripada Amru namun Abu Musa tetap percaya kepada Amru.

Kemudian Amru bangun berucap dan mengisytiharkan pemecatan Saidina Ali r.a dan dia membaiat Saidina Muawiyah r.a sebagai Khalifah. Keadaan ini menimbulkan huru hara dan Abu Musa al-Asy’ari r.a telah melaknat Amru bin al-As r.a dengan memanggil beliau sebagai pengkhianat dan anjing. Syuraih kemudiannya telah memukul Amru dengan cemeti dan dia menyatakan bahawa alangkah baiknya jika dia membunuh sahaja Amru bin al-As r.a.

Kemudian kedua-dua pihak kembali kepada ketua masing-masing, Ahli Kufah kepada Ali r.a kecuali Abu Musa yang melarikan diri kerana malu dan Ahli Syam kembali kepada Muawiyah dan membaiat beliau sebagai Khalifah. Hasil peristiwa ini, Ahli Syam berqunut dalam solat mereka dan melaknat Saidina Ali r.a dan Ahli Kufah manakala Ahli Kufah pula berqunut melaknat Muawiyah r.a dan Ahli Syam.” [Tarikh al-Tabari, juz 5, Bab Berita Perhimpunan Keduanya (Ali dan Muawiyah)].

Demikianlah ringkasan riwayat-riwayat yang disebut dalam Tarikh Tabari dan dinaqal para sejarawan selepas beliau. Namun, Imam al-Tabari r.h selaku seorang Ahli Tafsir bahkan Imam al-Mufassirin dan seorang Ahli Hadis tidaklah meriwayatkan kisah ini begitu sahaja, bahkan beliau telah mendatangkan sanadnya sekali.

Kesemua kisah ini bersumber daripada Abu Mikhnaf Lut bin Yahya al-Kufi, seorang yang banyak meriwayatkan kisah-kisah dan riwayat-riwayat sejarah.

Maka dengan mudah kita dapat menilai kisah yang menjadi sandaran kaum Syiah mencela dan melaknat Saidina Amru bin al-As r.a bahkan Abu Musa al-Asy’ari r.a ini. Abu Mikhnaf adalah seorang yang tidak dipercayai pada riwayatnya.

Imam Yahya bin Main r.h berkata: “Tidak Siqah”, Abu Hatim r.h berkata berkenaan Abu Mikhnaf ini: “Matrukul Hadis (ditinggalkan riwayatnya)”, dan Imam al-Daruqatni r.h berkata: “Seorang pembawa berita yang daif (lemah)”. [Siyar A’lam al-Nubalaa, 7/302].

Al-Zarkali r.h dalam kitabnya, al-A’lam menyatakan bahawa Abu Mukhnif ini adalah seorang Syiah Imamiah. Hal ini dashihkan oleh Aqabazrak al-Tehrani dalam kitabya, al-Zariah fi Wasail al-Syiah yang merupakan Mukjam kepada senarai kitab-kitab Syiah. [al-A’lam, 5/245, al-Zariah, 1/333-337].

Telah sabit dalam kaedah Ilmu Hadis, tidak diterima riwayat Ahli Bidaah yang menyeru kepada bidaahnya, dan dalam riwayat ini jelas sekali menyeru kepada pencelaan terhadap Sahabat bahkan menyeru kepada melaknat Muawiyah r.a, Amru bin al-As r.a dan ramainya Sahabat-sahabat Nabi s.a.w yang mulia. [Qawaid al-Tahdis, 191-192].

Syeikh Yahya bin Ibrahim al-Yahya hafizahullah telah menghimpunkan semua riwayat berkenaan peristiwa Tahkim daripada Abu Mikhnaf dan riwayat lain yang seumpama dengan cerita Abu Mikhnaf ini namun kesemua riwayat yang seumpama ini adalah daif yang tidak dapat dijadikan hujah sama sekali. [Marwiyyat Abi Mikhnaf, Fasal Keempat: al-Tahkim dan Keluarnya Khawarij, 377 dan selepasnya, Darul Riyad].

Syeikh Usman al-Khumayyis hafizahullah berkata: “Kisah ini adalah palsu dan dusta, jaguh periwayatnya adalah Abu Mikhnaf yang telah kami sebutkan berkali-kali (kedaifan dan keplasuan riwayatnya)..” [al-Hiqbah min al-Tarikh, 191].

Pencerahan - Kisah Tahkim yang Sahih

Kisah yang sahih berkenaan peristiwa Tahkim ini adalah sebagaimana yang dikeluarkan Imam al-Bukhari secara ringkas dalam Tarikh Kabir [5/398] dan Ibn Asakir dalam Tarikh Damsyiq [46/175], al-Daruqatni sebagimana yang dinyatakan Abu Bakar Ibn al-Arabi r.h dalam al-Awasim [m.s 143-144] sebagai berikut :

“Setelah Muawiyah r.a (yakni setelah Muawiyah r.a menjadi Khalifah) memecat Amru bin al-As r.a daripada jawatan gabenor Mesir, Amru bin al-As r.a telah membina fustat (khemah tempat tinggal) beliau berdekatan dengan fustat Muawiyah r.a dan selalu duduk di khemahnya itu, lalu Muawiyah r.a telah mengutusku kepadanya dan berkata: ‘Pergilah kamu kepadanya dan beritahu kepadanya telah sampai kepadaku sesuatu yang aku tidak suka berkenaannya, tanya kepadanya berkenaan peristiwa ketika dia berkumpul dengan Abu Musa al-Asy’ari (Tahkim) bagaimana mereka lakukan?’. Maka aku pergi kepadanya dan berkata: ‘Ceritakanlah kepadaku bagaimana sebenarnya yang berlaku pada hari kamu berjumpa dengan Abu Musa al-Asy’ari?’. Kata beliau: ‘Manusia telah bercerita dengan pelbagai cerita tetapi apa yang mereka ceritakan itu bukanlah yang sebenarnya demi Allah, tetapi apabila aku telah bertemu dengan Abu Musa aku berkata kepada beliau: Apakah pendapat kamu berkenaan perkara ini? Kata Abu Musa: Aku lihat perkara ini (pertlingkahan) berlaku antara kaum yang telah diredai Rasulullah s.a.w ketika baginda wafat. Kataku: Bagaimana pendapat kamu mengenai aku dan Muawiyah? Kata Abu Musa: Jika dia (Ali r.a) meminta bantuan kamu berdua maka kamu berdua perlu menolongnya namun jika dia tidak meminta bantuan kamu maka demikianlah urusan Allah pada kamu berdua”.

Demikianlah yang sebenarnya, iaitu peristiwa Tahkim ini berakhir dengan tiada keputusan muktamad kecuali Saidina Ali r.a terus kekal sebagai Khalifah dan Saidina Muawiyah r.a terus kekal sebagai Gabenor Syam.

Telah kita nyatakan sebelum ini bahawa pertelingkahan antara Ali dan Muawiyah radiallahuanhuma adalah berkenaan pelaksanaan Qisas terhadap pembunuh-pembunuh Usman r.a bukan masalah jawatan Khalifah, maka adalah amat pelik jika Tahkim ini berlangsung di luar tajuk, maka riwayat Abu Mikhnaf yang lalu telah maklum kebatilannya walaupun tidak meneliti kepada sanadnya sekalipun.

Demikian juga kisah sahih bahawa Muawiyah r.a memujuk Abu Musa al-Asy’ari r.a berbaiat kepada beliau seperti mana Amru bin al-As r.a berbaiat bukanlah bermakna baiat sebagai Khalifah tetapi usaha Muawiyah r.a memujuk Abu Musa untuk menyokong usaha beliau menuntut darah Usman r.a kerana ini lah baiat Ahli Syam kepada Muawiyah r.a iaitu tidak akan membaiat Ali r.a sehingga Ali r.a melaksanakan Qisas terhadap para pembunuh Usman r.a bukan melantik Muawiyah r.a sebagai Khalifah. [Asrul Khilafah al-Rasyidah, Dr. Akram Diya’ al-Umari, 474-475].

Kesimpulan :

Berdasarkan penjelasan berkenaan peritiwa ini, menunjukkan bahawa :

1. Amru bin al-As r.a adalah Sahabat yang mulia  dan beliau bukanlah seorang penipu atau pengkhianat.

2. Peperangan Siffin berlaku atas ijtihad para Sahabat dan janganlah kita mencemarkan lidah dengan darah yang Allah Taala telah biarkan ianya mengalir.

3. Abu Musa al-Asy’ari bukanlah seorang bodoh atau kurang cerdik seperti tuduhan kaum Syiah bahkan beliau seorang faqih dan sangat bijak dalam menjaga perpaduan kaum muslimin.

4. Peristiwa Tahkim menunjukkan keikhlasan pihak Ali r.a yang diwakili oleh Abu Musa r.a dan pihak Muawiyah r.a yang diwakili Amru r.a untuk mencari perdamaian walaupun tidak membawa hasil yang diharapkan.

5. Amru bin al-As r.a bukanlah seorang yang memecah belahkan umat bahkan beliau berusaha mencari perdamaian dengan Ali r.a yang terserlah melalui perbincangan beliau dengan Abu Musa r.a seperti dalam riwayat tahkim yang sahih.

6. Kaum Syiah adalah Dajjal dan perosak sebenar sejarah Islam, merekalah yang berhak dilaknat Allah.


MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI

Wednesday, July 24, 2013

BILAKAH NUZUL AL-QURAN?

TARIKH SEBENAR NUZUL AL-QURAN ?


Peristiwa Nuzul al-Quran memberi makna terlalu besar kepada umat Islam dan kehidupan Nabi SAW khasnya.  Ayat al-Quran diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW. melalui perantaraan Malaikat Jibril secara berperingkat-peringkat hingga menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini.

Al-Quran dinukilkan kepada kita secara mutawatir, pasti dan qat’i serta ditulis mashaf yang hari ini lebih dikenali sebagai mashaf ‘Uthmani. Adalah wajar bagi umat Islam mengkaji sejarah al-Quran dan perkara yang berkaitan dengannya.

Umumnya Al-Quran diturunkan turun pada malam al-Qadr dimana malam al-Qadr pula berada pada 10 malam-malam terakhir Ramadhan. Ini berdasarkan Firman Allah SWT.:

1). Surah al-Baqarah, ayat 185

“Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.” 

2). Surah al-Dukhan ayat 3

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat.”

3). Surah al-Qadr, ayat 1

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.”

Ibnu Abbas RA semasa menjelaskan maksud firman Allah SWT melalui ayat-ayat di atas berdasarkan pertanyaan Atiyah bin Aswad telah berkata ; " Al-Quran di turunkan dalam bulan Ramadhan pada malam Lailatul-Qadar dan Lailatul-Qadar itu merupakan malam yang berkat”.

‘Malam yang berkat’ yang dinyatakan Allah SWT dalam surah al-Dukhan itu adalah malam yang penuh dengan kebaikan dan rahmat, yang lebih besar keutamaannya dari amalan seribu bulan. Maka Allah SWT telah memilih tarikh turun kalam-Nya buat pemimpin umat sejagat Nabi Muhammad SAW yang penuh dengan kemuliaan itu untuk berlaku pada hari yang mulia iaitu malam al-Qadr itu sendiri.

Ketiga-tiga ayat ini menunjukkan penurunan berlaku pada bulan Ramadhan dan secara khususnya ia diturunkan pada malam al-Qadar yang merupakan suatu anugerah Allah buat mereka yang menghidupkan malam-malam pada bulan Ramadhan.

Di sini dibawakan tiga (3) pendapat mashyur berkaitan tarikh penurunan al-Quran (Nuzulul Quran) kepada nabi SAW :

Pendapat (1)    = 17 Ramadhan

Iaitu pendapat daripada Ibnu Ishak, Syeikh Al-khudhari, riwayat Al-Waqidi menerusi abu Ja'far Al-Baqir.  Pendapat ini disandarkan kepada tarikh berlakunya perang Badar pada hari Jumaat 17 Ramadhan, sebagaimana  Firman Allah : 

Ertinya: "Dan ketahuilah, bahawa apa sahaja yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang, maka sesungguhnya satu perlimanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah, dan untuk RasulNya, dan untuk kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ibnus-sabil (orang musafir yang keputusan), jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan oleh Kami (Allah) kepada hamba Kami (Muhammad) pada "Hari Al-Furqaan", iaitu hari bertemunya dua angkatan tentera (Islam dan kafir, di medan perang Badar). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Ayat tersebut tidak ada sangkut-pautnya dengan Nuzul Al-Quran. Menurut riwayat dari Ibnu Abbas, ayat tersebut hanya penjelasan tentang hukum pembahagian harta rampasan perang seperti yang terdapat pada awal ayat tersebut.

Ulasan : Menurut ulama ‘al-Jarh wa al-Ta’dil’ Al-Alwaqidi Bin Waqid al-Aslami seorang perawi yang sangat lemah (matruk) dan tidak diterima riwayatnya. Pendapat ini juga ditolak oleh Syeikh al-Zarqani kerana ia bercanggah dengan pendapat yang masyhur lagi sahih.


Pendapat (2)    = 21 Ramadhan

Iaitu pendapat Syeikh Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri yang bersandarkan kepada hadith tentang kelebihan berpuasa pada hari Isnin. Apabila ditanya tentang keistimewaan puasa hari Isnin, baginda menjawab: “Pada hari itu aku dilahirkan dan pada hari itulah juga al-Quran (Iqra’) mula diturunkan kepadaku” (Sahih Muslim, Sunan Abu Dawud).

Berdasarkan kiraan takwim tentang tarikh, hari dan umur Rasulullah SAW inilah,  Ulama sejarah Syeikh Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri dalam kitab sirahnya berkata: “Nabi dilantik pada hari Isnin 21 Ramadhan bersamaan 13 Ogos 610 Masihi. Hari Isnin Ramadhan pada tahun itu pula (pada perkiraan ahli falaq) jatuh pada 7, 14, 21 & 28.”

Nas lain juga menyebut malam al-Qadar hanya jatuh pada malam ganjil. Oleh itu malam ke 21 adalah yang paling sesuai untuk dikatakan sebagai tarikh Nuzul al-Quran kepada nabi SAW di Gua Hira’ (al-Rahiq al-Makhtum, ms 70-71).

Ulasan : Pendapat ini merupakan cetusan ijtihad Syeikh Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri berdasarkan penelitian beliau terhadap hadis Qatadah dan kiraan takwim dengan mengambil kira malam Lailatul-Qadar yang ganjil. Umumnya hadis nabi menyebutkan Lailatul-Qadar boleh berlaku pada malam ganjil mahupun genap pada 10 terakhir Ramadhan.


Pendapat (3)    = 24 Ramadhan

Pendapat ini disandarkan kepada sabda nabi: “Diturunkan Suhuf Ibrahim pada malam pertama Ramadhan, Taurat pada 6 Ramadhan, Injil pada 13 Ramadhan, Zabur pada 18 Ramadhan dan al-Quran pada 24 Ramadhan (Musnad Ahmad).” 

Syeikh Al-Bani menilai hadis ini Hassan dan Syeikh Ahmad Shakir  menilai sanad hadis ini sahih. 

Manakala Al-hafiz Ibn Hajar berkata: “Pendapat ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah  al-Baqarah ayat 185 dan surah al-Qadr ayat 1. “

Boleh jadi malam itu adalah malam al-Qadr untuk tahun itu, ketika al-Quran diturunkan secara sekaligus dari langit ke 7 ke langit dunia itu. Kemudiannya al-Quran diturunkan kepada nabi SAW bermula dengan Iqra’ juga pada malam ke 24 Ramadhan (Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari).

At-Tabari juga ada menyebutkan satu riwayat dengan sanadnya menerusi Sa'id bin Jubair daripada Ibnu Abbas RA katanya : " Al-Quran diturunkan sekaligus daripada Lauh Mahfuz pada malam 24 Ramadhan yang kemudian ia ditempatkanya di Bait Al-Izzah.”

Ulasan :  Pendapat yang lebih kuat tentang turunnya Al-Quran ialah pada malam Isnin, tanggal 24 Ramadhan bersamaan 13 Ogos 610 M.  Ini berdasarkan perkara-perkara berikut ;

1). Hadis marfu’ sahih dan diperakui tokoh-tokoh hadis, sperti sedia maklum permasalahan agama perlu dirujuk kepada nas Al-Quran dan Hadis.

2). Matan hadis dengan jelas menyebutkan Al-Quran diturunkan pada 24 Ramadhan.

3). Maksud atau mafhum hadis diterima pakai oleh ulama muktabar dari kalangan ahli hadis dan para mufassirin. Rujuk kata-kata al-Hafiz Ibnu Hajar, Imam Qurtubi dan al-Hafiz Ibnu Kathir.

Pencerahan Keadaan : Penentuan tentang bilakah tarikh tentang nuzul Quran bukannya menjadi fokus utama umat islam sebaliknya sejauh mana kesyukuran kita dan bagaimana sikap kita umat Islam dengan Al-Quran sama ada dari segi pembelajaranya, pemahamanya, pemgamalanya dan yang penting pematuhannya.

Tanggungjawab kita terhadap hak-hak Al-Quran terkandung dalam beberapa prinsip iaitu:

1)     Tilawah. Bacaan bertajwid.

2)     Tafsir. Faham isinya.

3)     Tadabbur. Penghayatan.

4)     Tatbiq. Perlaksanaan isinya.

5)     Tahfiz. Hafaz sekadar termampu kerana hafazan  
        membantu proses perlaksanaan.

Oleh itu sewajarnya, hari penurunan/penyempurnaan Al-Quran adalah hari raya bagi umat Islam. 

Seorang Yahudi berkata kepada Umar : "Kamu membaca satu ayat (al-Ma’idah ayat 3), sekiranya ayat sedemikian turun kepada kami nescaya kami akan jadikannya hari raya."

Umar menjawab : "Ia turun pada hari Arafah dan hari Jumaat (sememangnya ia hari raya) (Sahih al-Bukhari)." -  Firman Allah dalam surah Al-Ma’idah ayat 3 ;

Ertinya: "Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu."

Yahudi tersebut berkata demikian kerana Taurat juga diberikan kepada nabi Musa secara sekali gus pada 10 Zulhijjah. Baginda AS menerimanya selepas bermunajat selama 40 hari bermula 1 Zulkaedah (al-A’raf ayat 142-145) (Tafsir al-Tabari).