4 SYARAT UNTUK MENDAPAT SYAFAAT NABI
Apa tujuan selawat? Berselawat banyak-banyak bukan sebagai TANDA cinta kepada nabi. Tetapi tujuan kita berselawat banyak-banyak adalah sebagai syarat
untuk mendapat syafaat nabi SAW. Ulamak
kata untuk mendapat syafaat nabi ada 4 syarat :-
1. Umat Nabi Muhammad SAW
Umat selain nabi Muhammad SAW
tidak (boleh) dapat.
2. Dosa yang menyebabkan masuk neraka tidak banyak
Di akhirat nanti kita akan diperlihatkan oleh
Allah SWT segala amalan kita daripada umur baligh hingga kita mati sama ada
amalan baik ataupun jahat. Firman Allah
dalam surah Az-Zalzalah : ayat 7-8 :
Maksudnya : “(7). Maka sesiapa berbuat kebajikan sekecil zarah, nescaya
akan dilihatnya (dalam surat amalnya). (8). Dan sesiapa berbuat kejahatan sekecil
zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)”
Segala amalan kita yang berupa dosa dan
pahala akan ditimbang dengan Mizan (neraca) Allah yang Maha Adil. Lebar sebelah
neraca Allah SWT seumpama antara langit dan bumi. Firman Allah dalam surah Al-Qariah : ayat 6-9
:
Maksudnya : “(6) Setelah berlaku demikian, maka (manusia akan diberikan
tempatnya menurut amal masing-masing), adapun orang Yang berat timbangan amal
baiknya, (7). Maka ia berada Dalam kehidupan Yang senang lenang, (8). Sebaliknya
orang yang ringan timbangan amal baiknya, (9). Maka tempat kembalinya ialah neraka
"Haawiyah"
Orang berat timbangan pahalanya berbanding
dosanya maka dia termasuk golongan yang berbahagia. Sebaliknya jika timbangan
dosanya lebih berat berbanding pahalanya sengsaralah dia. Golongan ini nabi
Muhammad tidak mengaku umat.
Ada pun jika timbangan
dosanya berat sedikit daripada pahalanya Allah perintah malaikat
masukan dia ke dalam neraka 10 hari (akhirat). Satu hari akhirat di sisi Allah
SWT seumpama 1,000 tahun di dunia. Jika
10 hari akhirat bermakna 10,000 tahun di dunia. Golongan inilah yang akan (boleh)
mendapat syafaat Nabi Muhammad SAW.
Atas sebab itu ulama menyuruh kita agar segera
bertaubat supaya timbangan pahala kita lebih berat daripada dosa kita.
3. Semasa hidupnya banyak berselawat ke atas Nabi SAW
Melalui syafaat Nabi Muhammad SAW akan
menolong kita masuk syurga. Daripada hendak dimasukkan ke dalam neraka dengan
sebab berat timbangan dosa daripada pahalanya tadi, akhirnya kita dimasukkan ke
dalam syurga. Itulah syafaat.
Hendak dapatkan syafaat, (antaranya) kita
kena banyakan berselawat. Ada ulama yang berselawat hingga beribu kali sehari.
Mungkin kita akan dimasukkan ke neraka, tapi oleh kerana kita selalu
berselawat, dapat syafaat Nabi maka kita dimasukan ke syurga.
Sabda Nabi saw : “Sesungguhnya manusia yang paling utama
bersama-samaku pada hari Kiamat (iaitu yang
paling hampir kepadaku dan yang lebih berhak dengan syafaatku pada hari Kiamat) ialah yang paling banyak berselawat ke atasku di dunia
di kalangan mereka”. (Hadith riwayat Imam Tirmizi daripada Abdullah
bin Mas’ud r.a)
Firman Allah (s.w.t) yang bermaksud :
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan
malaikat-malaikat-Nya bershalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman,
berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya”.
(Surah Al-Ahzab: 56)
Selawat Allah SWT ialah pujian-Nya di
sisi para malaikat. Selawat malaikat ialah doa memohon tambahan gandaan pahala.
Dan selawat orang mukmin ialah berdoa memohon supaya Allah SWT melimpahkan
rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada penghulu kita
Nabi Muhammad SAW.
Sabda Rasulullah (S.A.W.) yang bermaksud:
“Barang siapa
yang berselawat ke atasku dengan 1 selawat nescaya Allah SWT akan berselawat ke
atasnya 10 kali”. (Hadis riwayat Imam Muslim daripada Abdullah bin
Amru bin Al-‘Ass r.a)
Sabda Rasulullah (S.A.W.) juga yang
bermaksud: “Barang
siapa yang berselawat ke atasku 1 kali nescaya Allah akan berselawat ke atasnya
10 kali”. (Hadis riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a)
Makna selawat dari Allah
Ta’ala kepada hamba-Nya adalah limpahan rahmat, pengampunan, pujian, kemulian
dan keberkatan daripada-Nya. [Lihat kitab “Zadul Masir”, 6/398]. Oleh itu Syafaat Nabi SAW merupakan
rahmat Allah untuk umat Muhammad SAW di akhirat nanti.
Ada juga yang mengatakan selawat bererti
taufik daripada Allah Ta’ala untuk mengeluarkan hamba-Nya daripada kegelapan
(kesesatan) menuju cahaya (petunjuk-Nya), sebagaimana dalam firman-Nya :
“Dialah yang
berselawat kepadamu (wahai manusia) dan malaikat-Nya (dengan memohonkan keampunan
untukmu), supaya Dia mengeluarkan kamu daripada kegelapan kepada cahaya (yang
terang).
Dan adalah
Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman”. (Surah
al-Ahzab: ayat 43).
Menurut Kitab Mestika Hadis
1/259
: “Dan yang seafdhal-afdhalnya (paling baik) ialah
selawat yang biasa dibaca selepas tasyahud akhir setiap solat (dinamai sebagai
‘Selawat Ibrahimiyyah’). Hal ini kerana para ulama telah menetapkan
bahawa sesiapa yang bersumpah atau bernazar hendak berselawat kepada Nabi
Muhammad SAW dengan seafdhal-afdhal selawat, tidak dihukum terlepas daripada
wajib menepati sumpah atau nazarnya itu melainkan dengan membaca selawat itu.”
4. Sayang/cinta kapada Nabi SAW
Bukti sayang nabi bukan dengan banyaknya
kita berselawat, bukan dengan dengar
ceramah, tetapi BUKTI
& TANDA SAYANG NABI adalah sepertimana sabda nabi Muhammad SAW yang dikeluarkan oleh As-Sajzi dari Anas ra. dari Nabi SAW, baginda bersabda : “Barangsiapa yang
menghidupkan sunnahku, maka dia telah
mengasihiku, dan siapa yang mengasihiku dia akan memasuki syurga bersama-sama
aku” . Hadis ini mengisyaratkan
sayang Nabi adalah dengan menghidupkan
sunnah Nabi SAW dalam kehidupan kita.
Bahkan iman seseorang itu tidak sempurna (tidak
cukup) sehinggalah apabila Allah dan Rasulnya Muhammad SAW dicintainya melebihi
segalanya. Diriwayatkan daripada Umar
bin al-Khattab r.a bahawa beliau telah berkata kepada Rasulullah SAW : “Wahai
Rasulullah! Engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu melainkan nyawa
yang ada di dalam diriku. Lalu Rasulullah s.a.w berkata:” Tidak sempurna iman
seseorang sehinggalah aku lebih dicintai daripada dirinya sendiri. Umar pun
berkata:” Demi Tuhan yang telah menurunkan al-Kitab kepada engkau, sesungguhnya
engkau lebih aku kasihi daripada diri aku. Baginda berkata kepada
Umar:”Sekarang iman engkau telah sempurna wahai Umar!”
Catatan Daripada Ceramah Umum
Maghrib Ustaz Hassan Din Al-Hafiz, Masjid
Jamek Yong Peng 6-2-2014 dengan sedikit tambahan.
No comments:
Post a Comment