TANGKIS 10 PERANGKAP SYAITAN
ALLAH SWT berfirman bermaksud : “Syaitan memberikan janji yang membangkitkan
angan-angan kosong kepada mereka. Walhal syaitan itu tidak menjanjikan kepada
mereka kecuali tipu daya belaka. Tempat mereka itu ialah neraka jahanam dan mereka
tidak memperoleh tempat untuk lari daripadanya.” (An-Nisa: 120-121).
Keterbukaan manusia yang menyimpang dari
syariat mengundang kehadiran syaitan ke dalam diri masing-masing. Sebenarnya
ada kaitan dengan sifat mazmumah yang diamalkan dalam kehidupan seharian.
Melalui pelbagai jenis sifat mazmumah itu sama ada disedari atau tidak,
sebenarnya sudah menyediakan ruang kepada syaitan menapak dalam diri.
Apabila syaitan sudah bertakhta dalam
diri, seseorang itu akan sanggup melakukan apa jua perbuatan keji dan mungkar
kerana keinginan nafsu akan menjadi sebati dengan sifat jahat syaitan itu
sendiri. Hati, suatu organ istimewa kurniaan Allah kepada manusia pada saat dan
waktu itu juga akan mula goyah apabila sedikit demi sedikit syaitan durjana
mula merayap menguasai tunjang dalam badan manusia. Beruntunglah golongan
manusia yang berupaya menangkis godaan itu.
10
PINTU SYAITAN MASUK DALAM DIRI MANUSIA
Menurut ulama, syaitan akan menguasai tubuh badan
manusia melalui 10 pintu :
PINTU
1 – melalui sifat sombong dan angkuh. Dua sifat ini amat
mudah tersemai dan menyubur dalam diri manusia. Ia berpunca daripada keegoan
manusia itu sendiri yang lazimnya akan mudah hanyut ketika dilimpahi kemewahan.
PINTU 2 – melalui
sifat bakhil dan kedekut. Setiap harta benda dan kemewahan diperoleh adalah
kurniaan Allah yang seharusnya dibelanjakan ke jalan yang hak. Ia boleh
digunakan untuk membantu orang memerlukan sama ada melalui kewajipan berzakat
atau bersedekah.
PINTU 3 – melalui
sifat takbur dan bongkak. Sifat ini selalunya bertapak dalam diri manusia yang
berasakan dia sudah memiliki segala-galanya dalam hidup ini. Mereka terlupa
bahawa kesenangan dan kenikmatan yang dikurniakan itu boleh ditarik Allah pada
bila-bila masa saja. Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang yang
takbur.” (an-Nahl:23)
PINTU 4 – sifat khianat. Khianat
dimaksudkan bukan saja melalui perbuatan merosakkan sesuatu yang menjadi milik
orang lain, tetapi juga mengkhianati hidup orang lain dengan tidak mematuhi
apa-apa bentuk perjanjian, perkongsian dan sebagainya.
PINTU 5 – sifat
tidak suka menerima ilmu dan nasihat. Rasulullah selalu menasihati sahabat
Baginda agar menjauhkan diri masing-masing daripada menjadi golongan keempat
daripada kalangan manusia dibenci Allah iaitu golongan yang tidak suka diri
mereka dinasihati atau mendengar nasihat orang lain.
PINTU 6
– melalui sifat hasad. Perasaan hasad dengki selalunya akan
diikuti dengan rasa benci dan dendam berpanjangan. Rasulullah SAW pernah
bersabda bermaksud : “Hindarilah kamu daripada sifat hasad kerana ia akan
memakan amalan kamu seperti api memakan kayu kering ” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
PINTU 7 – melalui sifat suka meremehkan orang lain. Sifat ego
manusia ini selalunya akan lahir apabila seseorang individu itu berasakan
dirinya sudah sempurna jika dibandingkan dengan orang lain. Orang lain dilihat
terlalu kecil dan kerdil jika dibandingkan dengan apa yang dia miliki. Abu
Umamah pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Tiga kelompok manusia yang tidak boleh dihina kecuali
orang munafik ialah orang tua Muslim, orang berilmu dan imam yang adil.” (Riwayat Muslim).
PINTU 8 – melalui
sifat ujub atau bangga diri. Menurut Imam Ahmad, Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud: “Jangan kamu bersenang lenang dalam kemewahan kerana sesungguhnya hamba
Allah itu bukan orang yang bersenang-senang saja.” (Riwayat Abu Naim daripada Muaz bin Jabal)
PINTU 9 – melalui sifat suka
berangan-angan. Islam adalah antikemalasan. Orang yang berat tulang untuk berusaha
bagi mencapai kecemerlangan dalam hidup akan dipandang hina oleh Allah dan
manusia. Mereka lebih gemar berpeluk tubuh dan menyimpan impian tinggi tetapi
amat malas berusaha memperolehnya.
PINTU
10 – melalui sifat buruk sangka. Seseorang suka menuduh orang
lain melakukan kejahatan tanpa diselidiki terlebih dulu amat dicela Islam.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud : “Nanti akan ada seseorang berkata kepada orang ramai bahawa
mereka sudah rosak. Sesungguhnya orang yang berkata itu sebenarnya sudah rosak
dirinya.” (Riwayat Muslim)
No comments:
Post a Comment