TARIKH SEBENAR NUZUL
AL-QURAN ?
Al-Quran dinukilkan kepada kita secara mutawatir,
pasti dan qat’i serta ditulis mashaf yang hari ini lebih dikenali sebagai
mashaf ‘Uthmani. Adalah wajar bagi umat Islam mengkaji sejarah al-Quran dan
perkara yang berkaitan dengannya.
Umumnya Al-Quran diturunkan turun pada malam al-Qadr
dimana malam al-Qadr pula berada pada 10 malam-malam terakhir Ramadhan. Ini
berdasarkan Firman Allah SWT.:
1). Surah al-Baqarah, ayat 185
“Ramadan yang
padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan
menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara
yang benar dan yang salah.”
2). Surah al-Dukhan ayat 3
“Sesungguhnya
Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat.”
3). Surah al-Qadr, ayat 1
“Sesungguhnya
Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.”
Ibnu Abbas RA semasa menjelaskan maksud
firman Allah SWT melalui ayat-ayat di atas berdasarkan pertanyaan Atiyah bin
Aswad telah berkata ; " Al-Quran di turunkan
dalam bulan Ramadhan pada malam Lailatul-Qadar dan Lailatul-Qadar itu merupakan
malam yang berkat”.
‘Malam yang berkat’ yang dinyatakan Allah SWT
dalam surah al-Dukhan itu adalah malam yang penuh dengan kebaikan dan rahmat,
yang lebih besar keutamaannya dari amalan seribu bulan. Maka Allah SWT telah
memilih tarikh turun kalam-Nya buat pemimpin umat sejagat Nabi Muhammad SAW
yang penuh dengan kemuliaan itu untuk berlaku pada hari yang mulia iaitu malam
al-Qadr itu sendiri.
Ketiga-tiga ayat ini menunjukkan penurunan
berlaku pada bulan Ramadhan dan secara khususnya ia diturunkan pada malam
al-Qadar yang merupakan suatu anugerah Allah buat mereka yang menghidupkan
malam-malam pada bulan Ramadhan.
Di sini dibawakan tiga (3) pendapat mashyur berkaitan
tarikh penurunan al-Quran (Nuzulul Quran) kepada nabi SAW :
Pendapat
(1) = 17 Ramadhan
Iaitu pendapat daripada Ibnu
Ishak, Syeikh Al-khudhari, riwayat Al-Waqidi menerusi abu Ja'far Al-Baqir. Pendapat ini disandarkan kepada tarikh
berlakunya perang Badar pada hari Jumaat 17 Ramadhan, sebagaimana Firman Allah :
Ertinya: "Dan
ketahuilah, bahawa apa sahaja yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang,
maka sesungguhnya satu perlimanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah, dan untuk
RasulNya, dan untuk kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang
miskin, serta ibnus-sabil (orang musafir yang keputusan), jika kamu beriman
kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan oleh Kami (Allah) kepada
hamba Kami (Muhammad) pada "Hari Al-Furqaan", iaitu hari bertemunya
dua angkatan tentera (Islam dan kafir, di medan perang Badar). Dan (ingatlah)
Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
Ayat tersebut tidak ada sangkut-pautnya dengan Nuzul
Al-Quran. Menurut riwayat dari Ibnu Abbas, ayat tersebut hanya penjelasan tentang hukum
pembahagian harta rampasan perang seperti yang terdapat pada awal ayat tersebut.
Ulasan : Menurut ulama ‘al-Jarh wa
al-Ta’dil’ Al-Alwaqidi Bin Waqid al-Aslami seorang perawi yang sangat lemah
(matruk) dan tidak diterima riwayatnya. Pendapat ini juga ditolak oleh Syeikh
al-Zarqani kerana ia bercanggah dengan pendapat yang masyhur lagi sahih.
Pendapat
(2) = 21 Ramadhan
Iaitu pendapat Syeikh
Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri yang bersandarkan kepada hadith tentang
kelebihan berpuasa pada hari Isnin. Apabila ditanya tentang keistimewaan puasa
hari Isnin, baginda menjawab: “Pada hari itu aku
dilahirkan dan pada hari itulah juga al-Quran (Iqra’) mula diturunkan kepadaku”
(Sahih Muslim, Sunan Abu Dawud).
Berdasarkan kiraan takwim tentang tarikh, hari dan
umur Rasulullah SAW inilah, Ulama
sejarah Syeikh Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri
dalam kitab sirahnya berkata: “Nabi dilantik
pada hari Isnin 21 Ramadhan bersamaan 13 Ogos 610 Masihi. Hari Isnin Ramadhan
pada tahun itu pula (pada perkiraan ahli falaq) jatuh pada 7, 14, 21 & 28.”
Nas lain juga menyebut malam al-Qadar hanya jatuh pada
malam ganjil. Oleh itu malam ke 21 adalah yang paling sesuai untuk dikatakan
sebagai tarikh Nuzul al-Quran kepada nabi SAW di Gua Hira’ (al-Rahiq
al-Makhtum, ms 70-71).
Ulasan : Pendapat ini merupakan cetusan
ijtihad Syeikh Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri berdasarkan
penelitian beliau terhadap hadis Qatadah dan kiraan takwim dengan mengambil
kira malam Lailatul-Qadar yang ganjil. Umumnya hadis nabi menyebutkan
Lailatul-Qadar boleh berlaku pada malam ganjil mahupun genap pada 10 terakhir
Ramadhan.
Pendapat
(3) = 24 Ramadhan
Pendapat ini disandarkan kepada sabda nabi: “Diturunkan Suhuf Ibrahim pada malam pertama Ramadhan,
Taurat pada 6 Ramadhan, Injil pada 13 Ramadhan, Zabur pada 18 Ramadhan dan
al-Quran pada 24 Ramadhan (Musnad Ahmad).”
Syeikh Al-Bani menilai hadis ini Hassan
dan Syeikh Ahmad Shakir menilai sanad
hadis ini sahih.
Manakala Al-hafiz Ibn Hajar
berkata: “Pendapat ini bertepatan dengan firman
Allah dalam surah al-Baqarah ayat 185
dan surah al-Qadr ayat 1. “
Boleh jadi malam itu adalah malam al-Qadr untuk tahun
itu, ketika al-Quran diturunkan secara sekaligus dari langit ke 7 ke langit
dunia itu. Kemudiannya al-Quran diturunkan kepada nabi SAW bermula dengan Iqra’
juga pada malam ke 24 Ramadhan (Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari Syarh Sahih
al-Bukhari).
At-Tabari juga ada menyebutkan satu riwayat dengan
sanadnya menerusi Sa'id bin Jubair daripada Ibnu
Abbas RA katanya : " Al-Quran diturunkan sekaligus daripada Lauh Mahfuz
pada malam 24 Ramadhan yang kemudian ia ditempatkanya di Bait Al-Izzah.”
Ulasan : Pendapat yang lebih kuat tentang turunnya Al-Quran ialah pada
malam Isnin, tanggal 24 Ramadhan bersamaan 13 Ogos 610 M. Ini
berdasarkan perkara-perkara berikut ;
1).
Hadis marfu’ sahih dan diperakui tokoh-tokoh hadis, sperti sedia maklum
permasalahan agama perlu dirujuk kepada nas Al-Quran dan Hadis.
2). Matan hadis dengan jelas
menyebutkan Al-Quran diturunkan pada 24 Ramadhan.
3). Maksud atau mafhum hadis
diterima pakai oleh ulama muktabar dari kalangan ahli hadis dan para
mufassirin. Rujuk kata-kata al-Hafiz Ibnu Hajar, Imam Qurtubi dan al-Hafiz Ibnu
Kathir.
Pencerahan Keadaan : Penentuan
tentang bilakah tarikh tentang nuzul Quran bukannya menjadi fokus utama umat
islam sebaliknya sejauh mana kesyukuran kita dan bagaimana sikap kita umat
Islam dengan Al-Quran sama ada dari segi pembelajaranya, pemahamanya, pemgamalanya dan yang penting pematuhannya.
Tanggungjawab kita terhadap hak-hak
Al-Quran terkandung dalam beberapa prinsip iaitu:
1) Tilawah. Bacaan bertajwid.
2) Tafsir. Faham isinya.
3) Tadabbur. Penghayatan.
4) Tatbiq. Perlaksanaan isinya.
5) Tahfiz. Hafaz sekadar termampu kerana
hafazan
membantu proses perlaksanaan.
Oleh itu sewajarnya, hari penurunan/penyempurnaan
Al-Quran adalah hari raya bagi umat Islam.
Seorang Yahudi berkata kepada Umar : "Kamu membaca satu ayat (al-Ma’idah ayat 3), sekiranya ayat sedemikian turun
kepada kami nescaya kami akan jadikannya hari raya."
Umar menjawab : "Ia turun
pada hari Arafah dan hari Jumaat (sememangnya ia hari raya) (Sahih
al-Bukhari)." - Firman Allah dalam surah Al-Ma’idah ayat 3 ;
Ertinya: "Pada
hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan
nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk
kamu."
Yahudi tersebut berkata demikian kerana Taurat juga
diberikan kepada nabi Musa secara sekali gus pada 10 Zulhijjah. Baginda AS
menerimanya selepas bermunajat selama 40 hari bermula 1 Zulkaedah
(al-A’raf ayat 142-145) (Tafsir al-Tabari).
No comments:
Post a Comment