APAKAH
PILIHAN KITA ITU MEMANG PILIHAN KITA?
Beberapa orang melayu yang kurang biasa dengan makanan
Jepun memasuki sebuah restaurant makanan Jepun untuk mencuba. Pelayan Japanese Restaurant itu datang
dan memberikan menu makanan yang ada di restaurant berkenaan. Nama-nama makanan
semuanya berbunyi jepun. Semua bunyi itu agak asing bagi pelanggan-pelanggan
melayu berkenaan. ‘Sila pilih menu yang tuan-tuan mahukan’, kata pelayan.
Oleh kerana mereka tiada pengalaman merasai makanan
jepun mereka kata ‘kami mahu menu yang sedap’. Pelayan
itu pun mula membuat cadangan yang sedap pada pendapat beliau. Mereka pun
setuju dan memesan makanan berdasarkan cadangan tersebut. Setelah makanan
dihidangkan, para pelanggan melayu berkenaan mendapati ia tidak sedap seperti yang
diharapkan.
Kata
mereka: ‘Ini tidak sedap! Kami minta yang sedap! Dah la
harganya pula mahal, kita tertipu!’. Pelayan menjawab: “Saya berikan
berdasarkan pilihan tuan-tuan. Saya tidak bersalah. Tuan-tuan telah membuat
pilihan tadi tanpa sebarang paksaan”.
Terhad
Saya mulakan sketch di
atas sebagai gambaran bagaimana manusia kemungkinan memilih apa yang bukan
menjadi hasratnya sekalipun dia diberikan kebebasan memilih. Hal ini juga
dibincangkan oleh ahli-ahli theology, falsafah dan kerohanian tentang sejauh
manakah manusia benar-benar memilih apa yang dia benar-benar mahukan.
Who
decides? Do I choose for myself? Am I really free to decide? .
(Siapakah yang membuat keputusan? Adakah
saya pilih untuk diri saya sendiri? Adakah saya benar-benar bebas untuk membuat
keputusan?)
Namun saya tidak mahu tenggelam dalam perbahasan
mereka. Saya ingin membahaskan perkara ini dengan lebih simple
terutamanya di musim pilihanraya ini.
Kegagalan para pelanggan tadi memilih apa yang mereka
benar-benar mahukan iaitu makanan yang sedap adalah disebabkan beberapa
perkara. Antaranya, mungkin makanan yang sedap yang mengikut selera melayu
mereka tidak wujud di restaurant berkenaan. Maka, walaupun hak memilih
diberikan, namun pilihan mereka terbatas dan apa yang dihajati tidak wujud
dalam senarai pemilihan. Ini juga berlaku dalam hidup kita di mana kita
kadang-kala walaupun mempunyai ruangan memilih tetapi apa yang menjadi pilihan
kita tiada dalam senarai yang boleh kita pilih. Ini telah membataskan kebebasan
pemilihan yang ada. Sehingga seseorang mungkin terpaksa memilih yang terbaik
antara yang buruk-buruk.
Ini disebut dalam qawaid fiqhiyyah ‘ Yukhtar Ahwan
al-Syarrain’ atau Akhaf al-Dararain iaitu dipilih keburukan ataupun kemudaratan
yang paling ringan dibandingkan yang lain. Ertinya jika tiada pilihan kita
disuruh memilih bahaya yang paling kurang dibandingkan yang lain.
Pengetahuan
Kedua, kebebasan pemilihan tidak memberikan apa-apa
makna jika kita tidak mempunyai pengetahuan tentang apa yang kita pilih. Ini
seperti kaki ‘tikam ekor’ yang sekalipun dia memilih nombor yang dia mahu,
tetapi semuanya tidak berasaskan ilmu pengetahuan. Kejahilan! Ya kejahilan akan
mensia-siakan kebebasan memilih sesuatu. Para
pelanggan Japanese Restaurant tadi jahil tentang makanan Jepun.
Sekalipun mereka diberikan peluang memilih, tetapi
memilih dalam kejahilan. Oleh kerana mereka jahil, maka terpaksa bergantung
kepada pihak lain yang belum tentu tahu apakah maksud ‘sedap’ yang sebenarnya
menjadi hasrat mereka. Ataupun, mereka tertipu kerana mereka mudah ditipu sebab
tidak tahu. Mereka terdedah untuk ditipu atas nama pilihan sendiri. Padahal
pilihan mereka ditentukan oleh pihak lain disebabkan kegagalan ilmu untuk
menentukan pilihan yang benar-benar dikehendaki.
Justeru, memberikan kebebasan memilih tetapi tidak
memberikan ilmu mengenai pilihan yang ada hanya mensia-siakan hak pemilihan.
Akhirnya, walaupun seseorang mempunyai hak memilih tetapi pilihannya ditentukan
oleh pihak lain yang mengambil kesempatan atas kejahilan. Dalam kata lain,
memberikan kebebasan memilih, tapi tidak diberikan ruang ilmu untuk mengetahui
senarai pilihan dengan adil dan betul adalah satu penipuan.
Kesempatan
Manusia hari ini banyak yang tertipu oleh iklan palsu.
Dunia pengiklanan mempunyai seni yang tersendiri untuk mempengaruhi pelanggan
sehingga mereka membeli apa yang bukan sebenarnya hasrat mereka. Media-massa
demikian juga. Manusia akhirnya mempercayai apa yang bukan sebenarnya mereka
patut percayai. Kedanggalan pengetahuan boleh diambil kesempatan oleh pihak
lain untuk menipu pilihan seseorang.
Dalam pilihanraya, jika kebebasan memilih diberikan
tetapi peluang untuk rakyat mengenali setiap calon dan parti secara adil tidak
diberikan maka itu mensia-siakan hak memilih. Jika ada pihak yang menghalang
rakyat mengetahui latar senarai pilihan secara adil dan saksama bererti pihak
itu adalah penipu dan perosak kepada hak memilih yang sebenar rakyat.
Islam melarang kita mengikut ataupun memilih sesuatu
tanpa ilmu yang cukup. Firman Allah: (maksudnya): “Dan
janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan
mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta jantung akal kamu,
semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya”. (Surah al-Isra: 36).
Al-Quran menyuruh untuk kita mendengar dari pelbagai
maklumat dan mengikut yang terbaik. Inilah yang dipanggil Ulul Albab.
(maksudnya) “..oleh itu gembirakanlah
hamba-hambaKu . (Iaitu) mereka yang berusaha mendengar perkataan (yang
sampaikan) lalu mereka menurut yang terbaik; mereka itulah orang-orang yang
diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albab” (al-Zumar:
17-18).
Ertinya, untuk seseorang dapat menjadi insan yang baik
dia hendaklah mendengar pelbagai maklumat kemudian mengikut yang terbaik dari
apa yang didengari dan dipelajari. Jika ada pihak yang menghalang rakyat dari
ruang mendapat maklumat yang seimbang, maka itu satu usaha untuk menyesat
rakyat dari pilihan yang betul samada dalam pemikiran ataupun politik.
Tariq Ramadan dalam The Quest For Meaning menyebut: ‘..any society that does not guarantee the conditions for
survival and life of all, education for all and rule of law to defend
individual freedom (in the handling of interpersonal relationships) is a
society that fails to respect basic human rights. It deprives its members of
their potential and their powers, and, at best, encourages their illusions as
to the immensity of power offered by the virtuality of their will, their dreams
and their imagination.’ (57-58. Penguin Books, UK ).
Maksudnya ; '.. mana-mana
masyarakat yang tidak menjamin keadaan untuk hidup dan kehidupan semua,
pendidikan untuk semua dan kedaulatan undang-undang untuk mempertahankan
kebebasan individu (dalam mengendalikan hubungan interpersonal) adalah sebuah
masyarakat yang tidak menghormati hak asasi manusia. Ia menafikan anggotanya
tentang keupayaan mereka dan kuasa mereka, dan pada yang terbaik, menggalakkan
ilusi mereka tentang keluasan kuasa yang ditawarkan oleh kehendak impian maya mereka
dan imaginasi mereka. '(57-58. Penguin Books, UK ).
Tertipu
Menipu dengan cara mengelirukan pemilihan orang lain
adalah satu kesalahan. Penipuan bererti mengkaburkan pengetahuan pihak yang
memilih sehingga dia memilih apa yang bukan pilihannya.
Justeru itu suatu ketika, Rasulullah s.a.w
melintasi satu bekas makanan (untuk dijual), lalu baginda memasukkan tangannya
ke dalamnya. Tangan baginda menjadi basah. Baginda pun bersabda: “Apakah ini
wahai empunya makanan (peniaga)?. Dia menjawab: “Terkena hujan, wahai
Rasulullah!”. Baginda bersabda: “Mengapa engkau tidak jadikan bahagian yang
basah itu di atas makanan supaya orang boleh nampak?! Sesiapa yang menipu, dia
bukan dari pengikutku” (Riwayat Muslim).
Jika dilihat dalam konteks pilihanraya, ramai yang
menyembunyikan hakikat dan menzahir yang baik sehingga orang ramai tertipu.
Mereka menyangka mereka membeli barangan yang baik, padahal itu sebenarnya
buruk. Mereka sangka mereka undi pihak yang baik, sebenarnya mereka memilih
yang buruk. Namun, kempen yang bohong telah merosakkan hasrat pemilihan mereka
yang sebenar. Sesiapa yang terlibat dalam kempen yang sedemikian, dia bukan
dalam pengikut umat Nabi s.a.w.
Kita
impikan kerajaan dan pemimpin yang menjamin hak-hak rakyat memilih dengan cara
yang adil dan saksama. Pemberian hak mengundi secara bebas tidak bermakna jika
ruang mengetahui apa yang hendak dipilih secara adil tidak bebas dan diberikan
secara yang adil juga. Keadilan media awam amatlah penting dalam proses
pilihanraya yang adil. Jika tidak, kita memilih apa yang bukan pilihan kita
kerana kita tertipu.
Artikel Oleh : Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul
Abidin
Sumber Asal : http://www.drmaza.com/home/?p=2379
Maksud
Firman Allah SWT;
“Dan janganlah engkau
mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya
pendengaran dan penglihatan serta jantung akal kamu, semua anggota-anggota itu
tetap akan ditanya”.
(Surah al-Isra: 36).
No comments:
Post a Comment