Tiada 'Pinjaman
Secara Islam'
Di Perbankan Islam?
Ramai
yang terkeliru apabila menyebut 'pinjaman secara Islam' apabila merujuk kepada
produk-produk yang ditawarkan oleh bank-bank Islam. Hakikatnya, mereka semua
silap, kerana produk bank Islam yang berasaskan pinjaman hampir tiada. Ini
adalah kerana sesebuah 'pinjaman' Islam tidak boleh sama sekali dijadikan
sebagai medium untuk meraih sebarang keuntungan. Pinjaman tidak lain hanya satu
jenis kontrak belas ihsan, untuk menolong mereka yang susah secara percuma
sahaja.
Hasil
dari itu, Allah swt menjanjikan mereka yang memberikan pinjaman tanpa sebarang
caj dengan gandaan pahala sebanyak 18 kali ganda. Terlalu
sedikit produk bank-bank Islam yang didasari oleh aqad pinjaman, contoh seperti
kad Caj oleh Ar-Rajhi Bank dan beberapa lain, yang lain semuanya bukan atas
aqad pinjaman.
Ekoran dari itu, bank-bank Islam berusaha mencari pelbagai konsep lain yang lebih
sesuai. Ternyata keuntungan secara halal boleh diperolehi tiga kaedah iaitu:-
(1) melalui aqad jual beli, termasuk sewaan
(2) melibatkan diri dalam sistem perkongsian pelaburan dari
jenis Mudharabah atau Musharakah.
(3) Melalui konsep
ujrah atau upah hasil sesuatu perkhidmatan yang diberi.
Namun begitu, menurut kebiasaanya ketiga-tiga
konsep ini digunapakai oleh individu atau syarikat-syarikat persendirian atau
biasa bagi memperolehi untung. Ia ternyata amat sesuai dan tepat untuk
digunakan oleh industri tersebut.
Oleh kerana sifat dan fungsi sebuah bank
berbeza dengan sebuah syarikat jualan biasa, sambil menyedari ketiga-tiga
konsep sahaja yang ada bagi membolehkan sesebuah bank untuk memperolehi
keuntungan, pihak bank cuba mengadaptasikan konsep-konsep tersebut bagi
menyesuaikannya dengan sifat sebuah bank di zaman moden ini.
Sebuah bank pada asasnya berfungsi sebagai
pemberi pinjaman, itu adalah dalam konteks sebuah bank riba, maka fungsi itu
terpaksa ditukar kepada bank Islam sebagai pembiaya yang juga bersifat sebagai
'trader', iaitu penjual dan pembeli.
Untuk mengubah sifat asal fungsi sebuah bank
dari pemberi pinjam kepada pembiaya dan penjual serta pembeli, bank-bank Islam
banyak menghadapi cabaran undang-undang setempat.
Adakalanya halangan undang-undang setempat
boleh menjadikan sebuah bank Islam gagal untuk berfungsi secara seratus peratus
menepati Shariah.
Bukan kerana mereka sengaja untuk ingkar dan
culas, tetapi terpaksa tunduk dek undang-undang setempat yang enggan diubah
oleh pembuat undang-undang. Usaha mendesak masih berterusan tetapi tentunya
tidak wajar diletakkan ancaman dan kecaman kepada bank-bank Islam. Jika ingin mengecam, pastinya anda faham
siapa yang patut ditujukan kecaman.
Cara Bank Islam
Dalam tulisan ini, saya akan cuba mendedahkan
dengan ringkas salah satu cara yang cuba digunapakai oleh sebuah bank Islam
bagi menjalankan fungsinya sebagai pembiaya dan juga trader.
Caranya adalah dengan memperkenalkan konsep
jualan secara Murabahah. Bagi mengadun kontrak Murabahah agar ia dapat
disesuaikan dengan peranan asas sebuah bank iaitu sebagai pembiaya, financier
atau orang tengah (intermediaries) yang pada hakikatnya tetapi ingin
bertransaksi seperti syarikat peniaga (trader), beberapa jenis pengadunan
kontrak Murabahah telah dibuat bagi tujuan itu. Ia seperti berikut :-
- Produk pembiyaan aset
atau modal (Financing): Murabahah antara tiga pihak (Tri-partied Murabahah
)
- Produk Perbendaharaan
(treasury) : Komoditi Murabahah
- Produk pasaran modal
(capital market) : Terbitan Sukuk Murabahah
Demikian tadi tiga contoh produk utama yang menggunakan
konsep Murabahah dalam tiga sektor utama perbankan. Namun dalam tulisan ini,
saya hanya akan menyebut satu sahaja dari tiga produk tadi.
Murabahah Dengan Pihak Yang Pinta Beli (Murabahah Lil Amir
Bishira)
Murabahah
Lil Amir Bishira didefinisikan sebagai jualan Murabahah bagi individu yang
berjanji untuk membeli atau Murabahah to the purchase orderer, ia adalah satu
bentuk permintaan satu pihak (pelanggan) kepada satu pihak lain yang mempunyai
wang (biasanya bank) untuk membeli satu satu aset yang diingi pelanggan dengan
pihak pelanggan berjanji akan membelinya dari pihak yang pembeli awal (bank)
dengan harga yang lebih tinggi dari pembelian pertama. (Al-Murabahah kama Tujrihi Al-masarif Al-Islamiah, Al-Qaradhawi)
Produk
ini mempunyai bentuk idealnya dan mempunyai bentuk praktikal yang diamalkan
oleh beberapa buah bank Islam di Malaysia. Kebiasaannya konsep ini digunakan
untuk produk-produk runcit di bank-bank Islam (retail banking products).
Produk
yang menggunakan asas Murabahah biasanya boleh digunakan untuk pembiayaan aset
seperti :
- kereta, rumah,
kapalterbang, kapal
- alatan mesin untuk kegunaan kilang,
- bangunan
- tanah
- hak cipta
- hak pemilikan saham dan lain-lain aset yang bersifat tangible dan intangible.
Hukum
Majoriti
ulama mengharuskan pembelian secara dalam bentuk ini dengan beberapa syarat
yang mesti dijaga. Selain syarat-syarat Murabahah yang biasa, kontrak Murabahah
antara tiga pihak ini punyai beberapa syarat tambahan, tanpanya jual beli ini
dikira batal dan haram.
Keharusan
jual beli ini telah lama disebut, khususnya oleh Imam As-Syafie :-
Ertinya : Apabila seorang lelaki menunjukkan kepada seorang yang lain satu
barang lalu berkata : Engkau belilah ia, dan aku akan beli dari kamu dengan
tambahan beberapa jumlah untung buatmu, maka lelaki (pertama) itu membelinya,
jual beli ini adalah harus, manakala lelaki yang berkata akau akan membeli
darimu dengan untung( yang berjanji), adalah terbuka kepada pilihan, sama ada
untuk membelinya atau menolaknya . (Al-Umm, Muhammad bin Idris As-Syafie, 3/33)
Proses
jual beli sebegini juga turut difatwakan oleh majoriti ulama semasa sebagai
harus, termasuk majlis Syariah Accounting and Auditing Organization for Islamic
Financial Institutions (AAOIFI) [1], Fatwa muktamar Perbankan Islam kedua di Kuwait
tahun 1983 dan juga Akademi Fiqh OIC dalam sidang mereka yang kelima pada tahun
1988.
Antara
syarat bagi menjadikannya halal sebagaimana yang dijelaskan secara ringkas
dalam resolusi akademi Fiqh OIC adalah ( rujuk Qararat wa tawsiat, Akademi Fiqh
OIC, Dar al-Qalam):-
Ertinya :
Pertama : Jualan ini apabila berlaku ke atas satu asset, diwajibkan pihak
pembeli (bank) untuk memiliknya dengan pemilikan sah menurut hukum syara, maka
tatakala itu ia jualbeli yang sah. Iaitu selagi mana pihak yang diminta
(biasanya bank) menanggung tanggungjawab dan risiko jika aset rosak sebelum
dijual (serahan) kepada pelanggan, dan juga bertanggung jawab untuk menerimanya
jika dipulangkan kerana terdapat ‘aib yang tersembunyi pada asset dan
sebab-sebab yang mewajibkan pengembalian semula setelah diserah kepada pembeli.
Kedua :
Janji : iaitu yang diberikan oleh peminta (pelanggan) kepada yang diminta (
bank), janji ini bersifat mengikat (mulzim) ke atas yang member janji dari
sudut agama kecuali jika terdapat keuzuran sebenar
Ketiga :
Kedua pihak saling berjanji : Iaitu janji yang diberikan oleh kedau-dua belah
pihak (pihak peminta janji akan beli dan yang diminta janji akan jual), ia
adalah harus dengan syarat kedua pihak bebas dan boleh memilih (sama ada untuk
meneruskan atau membatalkan), jika kedua belah pihak terikat dan tidak boleh
membatalkan janji mereka, tatkala itu janji kedua belah pihak menjadi tidak
harus (kontrak batal dan haram), kerana saling berjanji untuk membeli dan
menjual adalah sama seperti kontrak jual beli, yang ketika itu memerlukan
penjual telah memiliki aset, agar mereka tidak jatuh ke dalam larangan menjual
sesuatu sebelum memilikinya.
Kesimpulannya,
jual beli secara murabahah ini boleh dan halal dilaksanakan oleh bank-bank
Islam dengan syarat-syarat khusus yang disebutkan di dalam resolusi fatwa di
atas dan ringkasannya :-
- Bank mestilah telah
membeli aset dan memilikinya sebelum dijual kepada pelanggan.
- Aset yang dijual oleh
bank mestilah berada dalam jaminan pihak bank selaku penjual sekiranya terdapat
kerosakan dan aib tersembunyi, justeru pihak pelanggan boleh
memulangkannya kepada bank jika terdapat rosak.
- Janji dari satu pihak
adalah bersifat mengikat.
- Janji dari dua pihak
tidak boleh bersifat mengikat, kerana ia akan jatuh dalam jualan hutang
dengan hutang dan jualan aset yang belum dimiliki.
Sumber : Zaharuddin Abd Rahman | Tuesday, 12 May 2009
No comments:
Post a Comment