Pelaburan
Emas - Syarat-syaratnya
Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi
Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober
2011 telah membincangkan mengenai Parameter Pelaburan Emas. Muzakarah telah
membuat keputusan seperti berikut : -
Setelah mendengar taklimat dan penjelasan daripada Y.
Bhg. Prof. Dr. Ashraf Md. Hashim dan Y. Bhg. Ustaz Lokmanulhakim bin Hussain
daripada Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA),
Muzakarah bersetuju menerima dan memperakukan Parameter Pelaburan Emas seperti
berikut:
Harga
Belian (al-Thaman)
1. Harga belian (al-Thaman) hendaklah diketahui dengan
jelas oleh kedua-dua pihak yang berakad ketika sesi jual beli.
Barang
Belian (al-Muthman)
2. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang
wujud, dan dimiliki sepenuhnya oleh pihak yang menjual ketika berlangsungnya
kontrak jual beli. Oleh itu, jual beli suatu yang tidak wujud secara fizikalnya
dan juga jual beli suatu yang tidak dimiliki oleh pihak yang menjualnya adalah
tidak sah.
3. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang
boleh diserahkan kepada pembeli atau wakilnya. Jika barang belian tidak dapat
diserahkan kepada pembeli, ataupun penjual mensyaratkan tidak menyerahnya
kepada pembeli, maka akad tersebut tidak sah.
4. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang
diketahui oleh kedua-dua pihak yang berakad ketika sesi jual beli. Ia boleh
terlaksana melalui kaedah-kaedah di bawah:
i. Melihat sendiri barangan yang hendak dibeli ketika
akad jual beli, atau sebelum akad jual beli dalam tempoh yang tidak menjejaskan
sifat-sifatnya.
ii.
Melihat sampel barangan yang hendak dijual beli. Ini biasanya berlaku semasa
proses pemesanan sebelum akad dilaksanakan.
iii.
Menentukan sifat-sifat dan kadar barang belian secara terperinci yang secara
urufnya tidak menimbulkan pertikaian. Dalam konteks emas, penentuannya adalah
dengan mengenalpasti tahap ketulenan emas samada mengikut standard lama
berasaskan karat (seperti emas 24 karat), atau standard baru berasaskan
peratusan (seperti emas 999). Penentuan sifat juga mestilah mencakupi bentuk
emas, samada dalam bentuk syiling, wafer, jongkong dan sebagainya. Timbangan
emas secara tepat juga adalah suatu yang disyaratkan dalam penentuan sifat
emas.
Sighah
5.
Sighah dalam jual beli adalah suatu yang menunjukkan kepada keredhaan kedua-dua
pihak untuk memetrai kontrak jual beli. Ia boleh berlaku samada melalui
pertuturan, atau suatu yang boleh mengambil hukum pertuturan seperti tulisan
dan seumpamanya. Manakala jual beli secara Mu’ataah (serah-hulur) juga adalah
dikira sebagai sighah yang muktabar oleh sebahagian fuqaha’.
6. Di
dalam sighah jual beli tidak boleh dimasukkan unsur penempohan. Contohnya,
seseorang mengatakan, ” Saya menjual barangan ini kepada kamu dengan harga
RM100 untuk selama tempoh setahun”.
7.
Ijab dan qabul mestilah bersepadanan dan menepati antara satu sama lain dari
sudut ciri-ciri dan kadarnya.
Syarat
Khusus Jual Beli Emas Yang Bercirikan Item Ribawi
10.
Oleh kerana emas dan wang adalah dua item ribawi yang mempunyai illah yang
sama, maka syarat tambahan bagi transaksi pembelian atau penjualan emas
mestilah memenuhi syarat berikut:
i.
Berlaku taqabudh (penyerahan) antara kedua-dua item yang terlibat dalam
transaksi sebelum kedua-dua pihak bertransaksi berpisah daripada majlis akad.
ii.
Jual beli emas hendaklah dijalankan secara lani, dan tidak boleh berlaku
sebarang penangguhan.
Syarat-syarat
tersebut adalah khas bagi emas yang bercirikan item ribawi, seperti emas
jongkong dan syiling emas. Syarat ini tidak termasuk barang perhiasan emas
kerana ia telah terkeluar daripada illah ribawi.
Perincian
taqabudh dan urusniaga lani adalah seperti berikut:
Syarat Pertama: Taqabudh
11.
Taqabudh (penyerahan) hendaklah berlaku terhadap kedua-dua item jual beli iaitu
harga dan juga barang belian (emas), dan ia hendaklah terlaksana sebelum
kedua-dua pihak berpisah daripada majlis akad.
12.
Penyerahan harga boleh dilakukan melalui kaedah-kaedah berikut:
a.
Pembayaran secara tunai
b.
Pembayaran secara cek yang diperakui (seperti banker’s cheque)
c.
Pembayaran secara cek peribadi
d.
Pembayaran secara kad debit
e.
Pembayaran secara kad kredit
f.
Pemindahan wang daripada akaun simpanan atau semasa.
Secara
urufnya, kesemua bentuk bayaran di atas kecuali (c) adalah dianggap sebagai
pembayaran tunai oleh penjual. Pembayaran melalui kad kredit masih lagi
dianggap tunai kerana pihak penjual akan mendapatkan harga jualan secara penuh
dari pihak yang mengeluarkan kad kredit tersebut. Hutang yang berlaku, jika
ada, adalah di antara pemegang kad dengan pengeluar kad dan bukannya dengan
penjual barangan.
Status
tunai ini masih lagi diterima secara urufnya oleh penjual walaupun pada
hakikatnya pihak penjual akan menerima secara fizikal atau dimasukkan ke dalam
akaunnya beberapa hari selepas transaksi berlaku.
13.
Penyerahan barang belian (emas) hendaklah berlaku secara penyerahan hakiki
ataupun kaedah muktabar yang boleh menggantikan penyerahan hakiki. Penyerahan
barang belian yang muktabar akan membawa kesan sama seperti penyerahan hakiki,
iaitu:
a.
Berpindah dhaman (tanggungjawab jaminan) daripada penjual kepada pembeli.
b.
Kemampuan pembeli untuk mendapatkan barang beliannya pada bila-bila masa tanpa
ada halangan.
14.
Majlis akad di dalam transaksi jual beli boleh berlaku dengan pertemuan secara
fizikal, ataupun secara maknawi. Contoh majlis akad secara maknawi ialah ijab
dan qabul melalui telefon, sistem pesanan ringkas (sms), emel, faksimili dan
lain-lain. Tetapi disyaratkan dalam semua bentuk majlis akad tersebut,
hendaklah berlaku taqabudh ketika majlis akad, contohnya melalui penyerahan
secara wakalah.
Perlu
diberi perhatian bahawa majlis akad secara bertulis akan hanya bermula apabila
ianya diterima oleh pihak yang berkontrak. Contohnya, pembeli menandatangani
akad jual beli dan kemudian menghantarnya melalui pos kepada penjual. Selepas
tiga hari, akad tersebut sampai ke tangan penjual. Maka majlis akad bermula
pada waktu tersebut, jika pihak penjual bersetuju, maka akad tersebut perlu
disempurnakan oleh penjual dengan menandatanganinya, dan barang belian
hendaklah diserahkan kepada pembeli secara hakiki atau hukmi.
Syarat Kedua: Secara Lani
15.
Transaksi jual beli emas hendaklah berlaku secara lani dan tidak boleh dimasuki
sebarang unsur penangguhan, samada dalam penyerahan harga atau dalam penyerahan
emas.
16.
Penangguhan penyerahan harga yang tidak dibenarkan adalah meliputi pembelian
secara hutang secara keseluruhannya atau pembelian secara bayaran ansuran.
17.
Kelewatan penyerahan emas yang melebihi tempoh tiga hari selepas akad jual beli
dimeterai adalah tidak dibenarkan sama sekali.
Manakala
bagi kelewatan penyerahan emas dalam tempoh kurang daripada tiga hari,
Muzakarah mengambil maklum bahawa terdapat perbezaan pandangan ulama di dalam
hal ini. Namun Muzakarah lebih cenderung untuk mengambil pakai pendapat yang
tidak membenarkan berlakunya kelewatan walaupun tempohnya kurang daripada tiga
hari. Dengan kata lain, penyerahan emas mestilah di lakukan di dalam majlis
akad tanpa ada penangguhan. Ini adalah kerana di dalam urusniaga emas,
kelewatan tiga hari bukanlah suatu uruf, berbeza dengan isu tukaran matawang
asing.
Di
dalam pertukaran mata wang asing, tempoh T+2 diperlukan kerana ianya melalui
proses tertentu yang melibatkan tempoh masa bekerja yang berbeza antara negara,
perpindahan wang elektronik, clearing house dan lain-lain lagi. Proses-proses
yang disebutkan ini tidak terdapat di dalam perniagaan jual beli emas fizikal.
Maka adalah tidak tepat untuk membuat qiyas ke atas proses pertukaran matawang
asing.
Namun
secara praktikal, pihak penjual akan menyerahkan emas selepas amaun bayaran
yang dibuat melalui cek dan sebagainya dikreditkan ke dalam akaunnya. Proses
ini biasanya akan mengambil masa tiga hari bekerja. Di dalam menangani tempoh
antara penyerahan cek dan penerimaan emas, maka pihak penjual dan pembeli
bolehlah mengambil pakai aturan berikut:
Pihak
pembeli akan hanya membuat pesanan (order) kepada penjual dengan dinyatakan
jenis dan berat emas yang ingin dibelinya. Pesanan ini akan disertai dengan
pengiriman wang ke akaun penjual. Pada tahap ini, perkara berikut perlu diberi
perhatian:
i. Pada peringkat ini,
akad jual beli emas masih belum berlaku.
ii. Wang yang berada di
dalam akaun penjual masih lagi bukan milik penjual tersebut. Ianya masih milik
pembeli dan disimpan sebagai amanah oleh penjual. Di dalam hal ini, adalah
lebih baik jika satu akaun khas yang bersifat amanah (trust account) dibuka
oleh penjual.
iii. Emas masih lagi kekal
menjadi milik penjual dan ia bertanggungjawab penuh ke atas emas milikannya
itu.
iv. Di dalam peringkat
ini, pembeli masih boleh membatalkan pesanan yang dibuat dan penjual hendaklah
memulangkan wang kepada pembeli. Namun, jika berlaku kerugian sebenar
disebabkan pembatalan tersebut, bolehlah dibuat syarat bahawa ia perlu
ditanggung oleh pembeli. Contohnya, pembeli membuat pesanan 100gm emas 999
dengan harga RM20,000. Ketika ini, pihak penjual telah menyimpan emas tersebut
dan tidak menjualkannya kepada pihak lain yang telah bersedia untuk membelinya.
Selepas tiga hari, apabila penjual bersedia untuk membuat akad jual beli dan
seterusnya menyerahkan emas tersebut kepada pembeli, pembeli membatalkan
pesanannya. Pada hari tersebut harga emas telah jatuh kepada RM19,000. Dengan
kata lain, penjual akan kerugian RM1,000 jika menjualnya kepada pihak lain. Di
dalam hal ini, kerugian sebenar adalah sebanyak RM1000.
Apabila wang pesanan sudah
diberi clearance oleh bank, maka akad jual beli perlu dilakukan. Wang di dalam
trust account (jika ada) bolehlah dipindahkan ke akaun penjual dan emas
hendaklah diserahkan kepada pembeli.
Akad Dan Unsur Sampingan
18. Penglibatan hibah
dalam transaksi jual beli samada hibah dalam bentuk barangan ataupun wang tunai
adalah dibenarkan jika mencukupi syarat-syarat hibah, dan tidak melibatkan
unsur-unsur yang bercanggah dengan syarak. Perlu diberi perhatian bahawa hibah
secara hakikatnya adalah akad sukarela dan ia bukanlah di dalam bentuk lazim.
Dengan kata lain, jika janji hibah ini tidak ditunaikan oleh penjual, maka
pembeli tidak boleh memaksanya memberi hibah tersebut.
19. Penglibatan wadiah
dalam pelan pelaburan emas hendaklah menepati hukum hakam wadiah, yang antara
lain ialah pegangan wadiah adalah berasaskan kepada Yad Amanah.
20. Seseorang yang membeli
emas bebas mengendalikan (tasarruf) emasnya, termasuklah memberi pinjaman
(qardh) kepada orang lain. Tetapi hendaklah memenuhi kriteria qardh yang
dibenarkan syarak, yang antara lain tidak boleh membawa unsur faedah, tidak
wujud unsur ”salaf wa bay” iaitu hutang yang diikat bersama dengan jual beli.
21. Seseorang yang membeli
emas bebas mengendalikan (tasarruf) emasnya termasuk menjadikannya sebagai
pajakan untuk wang secara hutang, selagi konsep al-Rahn yang digunakan adalah
bertepatan dengan hukum syarak. Namun secara teorinya, perkara ini seharusnya
tidak digalakkan kerana secara tidak langsung ia menggalakkan aktiviti
berhutang di dalam keadaan yang tidak perlu.
22. Wa’d boleh dimasukkan
dalam pelaburan emas, selagi mana ia adalah wa’d dari sebelah pihak dan
bukannya muwa’adah dari kedua-dua belah pihak. Contoh aplikasi wa’d dalam
konteks ini ialah membuat purchase order, iaitu pelanggan membuat perjanjian
untuk membeli emas dengan harga tertentu. Perjanjian pembelian ini dinamakan
’kunci harga’. Sekiranya proses kunci harga adalah menyamai proses akad jual
beli, ia tidak dibenarkan kerana akan berlaku penangguhan.
23. Transaksi jual beli
hendaklah bebas daripada unsur-unsur riba, perjudian, gharar yang berlebihan,
dan kezaliman. Jika sekiranya terdapat unsur-unsur tersebut, transaksi jual
beli adalah dikira tidak memenuhi kriteria syarak.
No comments:
Post a Comment