Sunday, August 26, 2012

HUKUM SEMBAHYANG JENAZAH DILAKUKAN BERULANG KALI?

SEMBAHYANG JENAZAH :
BOLEHKAH DILAKUKAN BERULANG KALI?

 Terapi D’ Mata -  Cermin Mata Terapi Anda 
free glitter maker
RM35.00/Unit (Termasuk Pos Laju 1 Malaysia)

Antara perkara yang dituntut untuk dilaksanakan terhadap jenazah ialah menyembahyangkannya. Tuntutan menyembahyangkan jenazah ini adalah fardhu kifayah. Jika sembahyang ke atas jenazah itu dilakukan oleh seorang sahaja, maka itu pun sudah memadai dan gugur kewajipan tersebut daripada orang lain selainnya.

Mereka tidak berdosa jika mereka tidak melakukannya. Walaupun tuntutan fardhu kifayah itu sudah tertunai dan memadai dengan dilaksanakan oleh satu individu sahaja, namun sebilangan besar masyarakat kita begitu prihatin untuk tidak ketinggalan menyembahyangkan jenazah yang mereka ziarahi.

Seringkali kita dapati bilangan jemaah yang turut sama menyembahyangkan jenazah tersebut begitu ramai. Kadang-kala kita dapati juga sembahyang ke atas jenazah dilakukan beberapa kali oleh individu atau jemaah yang berlainan oleh sesetengah orang yang terlewat datang. Ini kerana antara tujuan mereka menyembahyangkan jenazah itu adalah sebagai penghormatan mereka terhadapnya dan dengan harapan apa yang dilakukan itu si mati akan mendapat rahmat dan keampunan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Persoalannya, adakah sembahyang jenazah yang dilakukan beberapa kali atau dilakukan secara berulang-ulang ke atas jenazah yang telah disembahyangkan itu, sama ada ia dilakukan oleh individu atau jemaah yang sama ataupun berlainan, dibenarkan oleh syara‘? Tidakkah dengan mengulang-ulang sembahyang itu boleh menjejaskan tuntutan menyegerakan pengebumiannya?

Maka untuk menjawab persoalan terhadap perkara ini, dinyatakan penjelasan ulama mengenainya.

Perbezaan Antara Jenazah Yang Sudah Dan Yang Belum Disembahyangkan

Sembahyang ke atas jenazah merupakan fardhu kifayah. Manakala berjemaah dalam sembahyang jenazah hanyalah sunat. Jika jenazah belum disembahyangkan, maka tuntutan sembahyang jenazah masih merupakan fardhu kifayah ke atas setiap orang Islam yang mengetahuinya. Maka sembahyang jenazah boleh dikerjakan sama ada secara bersendirian ataupun secara berjemaah.

Bagaimana pula dengan jenazah yang sudah disembahyangkan, apakah boleh dilakukan sembahyang ke atas jenazah tersebut berulang kali, sama ada dilakukan oleh individu yang sama ataupun individu yang berlainan? Penjelasan kepada persoalan ini dibahagikan kepada dua, iaitu:

i) Individu yang belum mengerjakan sembahyang jenazah.
ii) Individu yang sudah mengerjakan sembahyang jenazah.

i) Individu yang belum mengerjakan sembahyang jenazah

Jika seseorang datang dan dia belum menyembahyangkan jenazah tersebut, sedangkan imam dan jemaah yang lain telahpun selesai menyembahyangkan jenazah tersebut, maka disunatkan bagi orang yang baru datang tadi untuk menyembahyangkan jenazah tersebut secara berjemaah ataupun secara bersendirian.

Niat mengerjakan sembahyang ke atas jenazah bagi yang belum mengerjakannya, hendaklah dengan niat fardhu dan dikira sebagai fardhu kifayah seperti juga sembahyang yang pertama yang telah dikerjakan oleh jemaah awal, serta diberikan kepadanya ganjaran pahala fardhu, sama ada sembahyang itu dilakukan sebelum ataupun selepas jenazah dikebumikan.

ii) Individu yang sudah mengerjakan sembahyang jenazah

Menurut pendapat yang shahih, tidak disunatkan, bahkan ia menyalahi yang utama (khilaf al-awla) bagi sesiapa yang sudah mengerjakan sembahyang jenazah untuk mengulanginya lagi dalam semua keadaan, sekalipun sembahyangnya yang awal itu dilakukan :

a) secara bersendirian, kemudian dia mahu mengulanginya lagi untuk kali keduanya secara berjemaah, sama ada kumpulan yang kedua yang hendak berjemaah dalam sembahyang jenazah itu datang sebelum pengebumian ataupun selepas pengebumian; atau

b) secara bersendirian, dan mahu mengulanginya lagi untuk kali keduanya secara bersendirian; atau

c) secara berjemaah, kemudian dia mahu mengulanginya lagi untuk kali keduanya secara berjemaah; atau

d) secara berjemaah, kemudian dia mahu mengulanginya lagi untuk kali keduanya secara bersendirian.

Bahkan mustahab ditinggalkan perbuatan mengulangi sembahyang ke atas jenazah bagi yang sudah mengerjakannya. Jika dia mengulangi juga sembahyangnya, sama ada satu kali ataupun lebih, maka sembahyang yang kedua dan seterusnya itu dianggap sah dan dikira sebagai sunat. Walau bagaimanapun sembahyang yang diulanginya itu tetap wajib dikerjakan dengan niat fardhu.

Adapun sesetengah ulama yang membenarkan pengulangan sembahyang jenazah, umpamanya Imam ar-Ramli Rahimahullah yang mengatakan harus, kerana tujuan atau sebab sembahyang ke atas jenazah itu dilakukan adalah kerana sembahyang itu sebagai doa, syafaat dan memperbanyakkan pahala bagi jenazah.

Disegerakan Pengebumian Jenazah Apabila satu jenazah itu sudah selesai disembahyangkan, maka mengikut sunnah hendaklah disegerakan pengebumiannya tanpa perlu menunggu-nunggu kedatangan sesiapa, kecuali kerana menunggu kedatangan walinya dari jarak tempat yang hampir atau berdekatan. Namun penangguhan sebentar itu dibenarkan dengan syarat jika tidak ditakuti terjadinya perubahan pada mayat.

Sebaliknya jika ditakuti terjadi perubahan kepada mayat, maka tidak ditunggu wali tersebut atau ditangguhkan pengebumiannya. Ini kerana tuntutan menghormati jenazah itu lebih penting daripada menunggu kedatangan wali.

Sebagai kesimpulan, sembahyang jenazah merupakan fardhu kifayah dan menyegerakan sembahyang jenazah itu adalah dituntut. Sesiapa yang hadir dan belum menyembahyangkan jenazah, maka dia boleh mengerjakannya secara bersendirian ataupun berjemaah, sama ada jenazah tersebut sudah selesai disembahyangkan ataupun belum. Manakala bagi sesiapa yang sudah mengerjakannya, tidak disunatkan untuk dia mengulanginya lagi.


Sumber : http://www.brunet.bn/gov/mufti/irsyad/pelita/2009/bil317.pdf



  free glitter makerpicasion.com

glitter text gif maker

free glitter maker

KLIK SINI UNTUK TEMPAHAN

No comments:

Post a Comment