Kelebihan Solat Dari Kajian Sains
Boleh Rawat Penyakit Kritikal
Kajian di Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya oleh Prof Dr Wan Abu Bakar bersama Dr Fatimah dan Ng Siew Chok mendapati setiap
gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap
kesihatan secara menyeluruh.
Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan
Abas - Aktiviti Otot
Beliau
yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan
regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan.
Katanya,
hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri,
tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan. "Kebanyakan otot serta
sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib
dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan
sistem otot dan fizikal tubuh,"katanya.
Malah, katanya solat sama
seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul
menghasilkan kesan positif terhadap tubuh. Beliau berkata, kajian lebih
teliti sedang dilakukan untuk mengenal pasti otot yang aktif ketika solat.
Ng Siew Chok - Isyarat Otak
Beliau
berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang
menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur
menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG
(Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada
aktiviti elektrik.
"Gelombang
otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal
dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan
tenang," katanya
Walaupun
bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila
mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai
keadaan selepas bangun tidur. "Ada fenomena menarik
dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud (IKTIDAL SERTA TOMAKNINAH) sebagai peringkat
paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan
itu adalah tamakninah,"katanya.
Ketika
itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang
itu berada dalam keadaan tenang. Siew
Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan
memperkuatkan kuasa otak. Sehubungan
itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih
bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.
Dr Fatimah Ibrahim - Komposisi Tubuh
Beliau
berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif,
tisu tulang, komponen air dan lemak. Ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu
menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas
dan selamat, berbanding pengambilan darah.
"Teknik
ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika
Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids,
diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain, katanya.
Dalam
kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah
dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud
bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan
melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir.
Dr
Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh
yang kurang baik. Kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai
kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.
Diriwayatkan
daripada Abdullah bin Umar bahawa Rasullullah bersabda: Sesungguhnya solat
berjemaah adalah 27 kali ganda lebih afdal daripada solat bersendirian.
(Riwayat Imam Malik, Bukhari dan Muslim).
"Kita
mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu.
Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir
seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh.
"Sebelum
solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang
tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang
yang letih dan mempunyai cas negatif,"katanya. Ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan
lebih tenang.
Dr
Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini
terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan. Sebelum
Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa,
komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti
kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras
glukos rendah.
Selain
itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang.
Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri
dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat. Beliau
berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan
meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat
isyarat otot. Kajian juga mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan,
iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan.
"Ini
membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita
akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita
normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi
ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat,"katanya.
Jangan
terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali
sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut. Untuk
lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan
volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus. "Kajian
dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan
pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua
bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum
mencapai tahap normal,"katanya.
Beliau
berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali
seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit. Selain
itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung
ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain
menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring.
"Kajian
mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah
dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika
solat adalah bagus," katanya.
Sehubungan
itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada
posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung. Pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan
terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap
pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.
(Artikel ini dipetik daripada tulisan Ziauddin
Sharuddin dalam laman web berita harian, untuk panduan dan rujukan umat Islam
berhubung manfaat dan fadhilat solat
No comments:
Post a Comment