Monday, September 5, 2011

Puasa 6 Hari Di bulan Syawal

Puasa 6 Syawal
Ibadat sunat melalui puasa 6 hari di bulan Syawal adalah sambungan kepada ibadat Ramadan yang baru berlalu. Walaupun tidak berdosa sekiranya tidak dilakukan, tetapi hakikatnya puasa sunat 6 di bulan Syawal adalah ibadat yang penuh bermakna, dan merupakan amalan orang soleh terdahulu.

Ganjaran yang diperoleh oleh mereka yang berpuasa 6 hari di Syawal ada dijelaskan melalui beberapa hadis Nabi Muhammad s.a.w.  Antaranya ; “Sesiapa berpuasa pada Ramadan, kemudian diiringi dengan (puasa) 6 hari Syawal, maka dia seperti berpuasa 1 tahun penuh.” (Riwayat Muslim)

Hadis lain diriwayatkan oleh Imam At-Tabrani dengan sanadnya daripada Ibnu Umar r.a, Rasulullah s.a.w menjelaskan, "sesiapa yang melakukan ibadat seperti itu (puasa Ramadan dan 6 Syawal) dosanya dibersihkan seperti bayi baru dilahirkan ibunya".

Hadis dia atas menunjukkan puasa 6 Syawal amat digalakkan walaupun ia tidak sampai ke taraf wajib. Galakkan ini untuk umatnya supaya rajin beribadat, selain ibadat fardu ianya disusuli ibadah sunat.

Puasa sunat 6 Syawal ini juga boleh menjadi angka tunjuk tahap keimanan dan ketakwaan seseorang terhadap Allah yang sanggup berlapar dahaga diketika orang menikmati aneka juadah, semata-mata kerana menyahut anjuran agama.

Menurut ulama, puasa sunat 6 hari pada Syawal sebaiknya/afdal dilakukan secara berturut-turut, sama ada dimulai pada hari kedua Syawal dan diikuti lima hari berikutnya. Sekiranya tidak berkesempatan, boleh dilakukan pada mana-mana hari asalkan masih di dalam bulan Syawal dan boleh dilakukan berselang seli asalkan cukup 6 hari di bulan Syawal.

Ulama juga berbeza pendapat sama ada puasa sunat 6 hari di bulan Syawal dan puasa ganti (qada) Ramadan boleh dilaksanakan serentak.

Pendapat pertama mengatakan tidak dibolehkan niat puasa ganti bersama puasa sunat Syawal. Ini kerana berdasarkan hadis setiap amalan berdasarkan niat. 

Imam As-Syafi’i (Kitab Al-Umm) dalam mensyarahkan bab `setiap amalan dengan niatnya’ bahawa:  Hendaklah dibezakan ibadat puasa Ramadan, puasa nazar, puasa kafarah, puasa qada dan puasa sunat.

Imam Jalaluddin As-Suyuti (Kitab Al-Isybah) juga berpendapat hendaklah diasingkan puasa Ramadan atau nazar atau puasa sunat. Namun, seseorang yang berniat puasa qada ketika Syawal boleh juga dikurniakan pahala puasa enam (tanpa menjatuhkan niat itu) mengikut pendapat sebahagian ulama.’

Pendapat kedua mengatakan dibolehkan niat bersama, malah memadai seseorang yang ingin melakukan puasa qada dan puasa sunat enam hari dengan berniat hanya puasa qada pada bulan Syawal.  Mereka akan mendapat dua ganjaran sekali gus dengan syarat dia perlu berniat puasa qada terlebih dulu. Ini kerana puasa qada adalah wajib dan puasa enam adalah sunat.

Hal yang sama berlaku ke atas solat tahiyatul masjid. Jika seseorang memasuki masjid dan terus melakukan solat fardu, maka dia akan diberi ganjaran dua pahala sekali gus.

Bekas ketua jawatankuasa fatwa al-Azhar, Sheikh `Atiyyah Saqr, berkata seseorang yang tertinggal puasa pada Ramadan boleh berpuasa sunat 6 hari Syawal dengan niat bersama puasa ganti.
Menurutnya, orang yang berpuasa itu akan mendapat ganjaran berganda secara serentak; menggantikan puasa yang ditinggal dan mendapat ganjaran puasa 6 hari Syawal.

“Bagaimanapun, dianjurkan seseorang itu menggantikan puasa tertinggal secara berasingan dengan puasa 6 hari Syawal (supaya mendapat ganjaran yang lebih).”

Ada juga ulama berpendapat puasa 6 seharusnya didahulukan kerana ia hanya boleh diamalkan pada bulan Syawal saja. Bagi puasa qada, ia boleh dilakukan dalam tempoh 10 bulan berikutnya sebelum tiba Ramadan akan datang.

Sesetengah ulama berpendapat, orang yang mempunyai hutang puasa Ramadan hendaklah `membayar’ terlebih dulu, kemudian baru dikerjakan sunat puasa 6 Syawal. Tidak mendapat sunat puasa 6 jika ia juga diniatkan sebagai puasa qada.

Perbezaan pendapat itu sudah tentu memberikan pilihan dan ruang kepada umat Islam dalam melaksanakan amal ibadat, sesuai dengan kelapangan yang menjadi satu aspek penting dalam syariah, selagi mana tiada larangan terhadapnya. 

Wallahua'lam

No comments:

Post a Comment