Tuesday, December 22, 2015

INFO BEKAM - BERBEKAM PERUBATAN SUNNAH


“AMAL SUNNAH ADA KEBERKATAN
PADA BEKAM ADA KESEMBUHAN”
-* In Sha Allah *-

APA ITU BEKAM ?
Bekam (hijamah) adalah suatu teknik perubatan mengeluarkan darah statis (kental) bertoksin (racun) atau cemar dari dalam tubuh melalui permukaan kulit dengan cara melakukan pemvakuman di pemukaan kulit dan mengeluarkan darah darinya menggunakan peralatan bekam.

MENGAPA PERLU BERBEKAM ?
Selepas 3 bulan, sel darah merah di dalam tubuh kita akan mati. Ia mengandungi lebihan asid urik, urea, toksin dan sel darah merah yang rosak. Sel darah kotor menjadi statis (kental) sebahagiannya akan berkumpul di lapisan bawah kulit dan sebahagiannya dikumuhkan.

Sel darah ini akan digantikan dengan sel darah merah yang baru. Sel darah yang rosak (darah kotor) yang gagal dikumuhkan dan masih hadir dalam sistem aliran darah menyebabkan faktor utama yang mengakibatkan kapilari tersekat dan tersumbat, kesannya akan menganggu pelbagai sistem badan dan menyebabkan kegagalan sistem limfa, ginjal dan hati tidak berfungsi dengan sempurna yang akhirnya akan menyebabkan pelbagai penyakit kronik.

Darah kotor statis (kental) mesti dikeluarkan melalui apa cara malangnya ubatan hospital tidak dapat bertindak sedemikian. Kaedah yang murah, mudah dan selamat untuk menyingkirkan sel darah yang rosak yang terkumpul dalam tubuh adalah dengan cara berbekam (hijamah).

BERBEKAM ADALAH SUNNAH
Dari Malih bin ‘Abdullah Al-Khothmi, dari ayahnya yang berkata, Rasulullah SAW bersabda ; “Lima hal termasuk sunnah para Rasul yaitu, malu, pemaaf, bekam, siwak, dan memakai wewangian”.  (HR Thabrani dan Ibnu Jarir)

HADIS-HADIS TENTANG BERBEKAM

 “Kesembuhan itu terdapat pada 3 perkara, iaitu minuman madu, sayatan alat bekam dan Kay (pembakaran) dengan api, dan sesungguhnya aku melarang umatku dari Kay” (HR Bukhari)

 “Tidaklah aku melewati sekelompok malaikat pada malam aku di isra`kan kecuali mereka berkata, Wahai Muhammad, suruhlah umatmu berbekam” (HR Ibnu Majah)

 “Sesungguhnya pengubatan paling utama yang kamu gunakan adalah bekam”(Hadis sahih)

  Rasulullah saw. bersabda, “Pengubatan yang paling sesuai yang dilakukan manusia adalah Al-hijamah (Bekam).” (HR Muslim)

 “Jika ada ubat yang boleh mencapai penyakit, maka bekam juga boleh mencapainya” (HR Malik)

 “Hendaklah kamu semua melakukan pengubatan bekam di bahagian tengkuk, kerana sesungguhnya perkara itu merupakan ubat dari 72 jenis penyakit” (HR At Thabrani)

NABI BERBEKAM KERANA DIRACUN

Dari Ka`ab bin Malik bahawa ada seorang perempuan Yahudi menghadiahkan seekor kambing bakar kepada Nabi SAW di Khaibar. Baginda bertanya "apakah ini?" Wanita itu menjawab "hadiah".Wanita itu berhati-hati jangan sampai menyatakannya sedekah, sehingga baginda tidak mahu memakannya sama sekali. Tidak lama kemudian, Nabi SAW makan dan para sahabat pun makan. Tiba-tiba baginda bersabda "hentikan", kemudian baginda bertanya kepada wanita itu."apakah kamu telah meracuni kambing ini? Wanita itu menjawab "ya", baginda bertanya "mengapa?" Wanita itu menjawab "aku ingin sekiranya kamu pendusta, orang-orang akan segera boleh berehat dari kedustaan kamu, tetapi jika kamu seorang Nabi, maka itu tidak akan berbahaya bagi kamu. Maka Nabi SAW pun berbekam pada kawasan tengkuk dengan 3 bekaman serta memerintahkan para sahabat supaya berbekam. Maka mereka pun berbekam manakala sebahagian sahabat pula ada yang meninggal dunia.

PENGAMAL BEKAM (JURUBEKAM)
Pandangan Imam Al-Ghazali yang dinuklilkan dalam kitab Taysirul Fiqih lil Muslimin Mu’ashir oleh DR. Yusuf Qardhawi pada halaman 235-236 : “Bekam itu Fardhu Kifayah”

Bekam adalah termasuk Fardhu Khifayah. Jika disebuah wilayah tidak ada seorang yang mempelajarinya, maka semua penduduknya akan berdosa. Namun jika ada salah seorang yang melaksanakannya serta memadai, maka gugurlah kewajiban dari yang lain.

“Sebaik-baik hamba adalah jurubekam, kerana ia membuang darah kotor, melembutkan yang keras dan mencerahkan pandangan….” (Hadis Hasan Gharib)

WAKTU DAN HARI TERBAIK BERBEKAM
Ianya bergantung keadaan seseorang tersebut atau ;

(1). 13,15,17,19 atau 21 Hijriah pada setiap bulan kerana pada masa itu 
      darah kotor berkumpul maksimum dalam badan.
(2). Berbekam sebulan sekali kerana para sahabat nabi melakukan 
      sedemikian.
(3). Berbekam pada sebelah pagi sebelum makan.

Sebagai mengikuti sunnah Nabi SAW, idealnya sebulan sekali terutama pada 17, 19 atau 21 Hijriah.

Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda : “Barangsiapa berbekam pada hari ke-17, 19 dan 21 (Hijriah), maka ia akan sembuh dari segala macam penyakit.” ( Abu Dawud)

Ibnu Sina dalam kitabnya “Al-Qununfii Thibb” menerangkan waktu yang paling baik untuk berbekam ialah pada waktu tengah hari. Iaitu antara jam 2-3 petang karena waktu itu saluran darah sedang mengembang dan darah yang mengandung toksin (racun) sangat sesuai untuk dikeluarkan.

Hari-hari yang dianjurkan berbekam pula adalah pada hari Isnin, Selasa dan Khamis.

Bagaimanapun Imam As-Suyuti berpendapat berbekam boleh di lakukan pada sebarang masa seperti katanya “Apabila ada orang datang meminta pertolongan dari engkau maka wajib ditolong ketika itu”

MANFAAT BEKAM

 1) Membantu dalam rawatan sihir, saka dan dari gangguan jin dengan 
     berbekam dikawasan kepala
     (ubun-ubun & tengkuk)
 2) Menjaga kesehatan tubuh
 3) Menghilangkan letih dan lesu
 4) Meningkatkan daya tahan tubuh
 5) Membuang angin dalam badan,
 6) Membuang darah cemar yang mengandungi toksin(racun)
 7) Membersihkan darah dan meningkatkan aktiviti saraf tulang belakang
 8) Memperbaiki aliran pembuluh darah.
 9) Menghilangkan kejang-kejang dan luka dalaman pada otot.
10)Bermanfaat ketika mengalami pening,luka dalaman di bahagian kepala 
     dan wajah dan sakit gigi.
11)Ketika mengalami gangguan rahim dan berhentinya menstruasi bagi 
    wanita.
12)Ketika terkena sengal,sciatica dan tulang.
13)Bermanfaat mengatasi kemalasan,kelesuan dan banyak tidur.
14)Bermanfaat mengatasi luka-luka,bisul,jerawat dan gatal-gatal kulit.
15)Bermanfaat mengatasi pericarditis dan (radang selaput jantung) dan 
     nephritis (radang ginjal) yang parah.
16)Bermanfaat mengatasi luka-luka bernanah.
17)Merawat penyakit ; sakit bahu, alahan (alergi), perut kembung,          
     kesemutan,kencing manis, gout, kolesterol, masalah Jantung, migrain, 
     ketegangan darah tinggi, stroke, sakit pinggang, ginjal, dll.

ORANG YANG DILARANG BEKAM DARAH

  1) Orang tua yang terlalu uzur
  2) Kulit yang luka atau infeksi (Pesakit kulit yang serius)
  3) Selepas makan berat dan orang tersangat lapar
  4) Wanita hamil 3 bulan pertama
  5) Wanita yang baru lepas bersalin
  6) Orang yang sangat lapar
  7) Orang yang gementar
  8) Lemah hati
  9) Radang usus
10) Orang kanser darah
11) Sering keguguran
12) Orang yang Hemodialisis
13) Orang yang mengalami kelainan injap jantung
14) Orang yang kedinginan
15) Orang yang kerasukan
16) Orang baru derma darah
17) Orang yang baru muntah.
18) Pesakit darah rendah yang serius
19) Orang selesai melakukan aktiviti berat termasuk Jimak
20) Orang keletihan

SARANAN SEBELUM DAN SELEPAS BERBEKAM

1. Tidak makan berat 2-3 jam sebelum bekam
2. Tidak terus makan berat 1-2 jam selepas bekam
3. Tidak terus mandi melainkan selepas 2-3 jam
4. Jangan melakukan jimak 2 kali dalam masa 2 hari selepas berbekam agar 
    badan benar-benar baik dan sehat.
5. Sebaiknya tidak tidur melainkan selepas 2-3 jam

REAKSI PIGMEN KULIT BEKAS BEKAM

1) UNGU yang kelihatan gelap atau hitam, secara umum, ini menunjukkan keadaan kekurangan bekalan darah dan saluran darah tidak lancar yang disertai dengan kehadiran darah statis (darah kental).

2) UNGU disertai sisik (plaque), umumnya menandakan terjadinya gangguan/ kelainan gumpalan darah yang berwarna keunguan dan adanya darah statis (darah beku).

3) BINTIK UNGU bertaburan dengan tahap warna yang berbeza (ada ungu gelap dan muda). Ini menunjukkan ketidaknormalan "Qi" (energi organ) dan darah stasis.

4) MERAH CERAH - biasanya ini menunjukkan terjadinya kekurangan “Yin”, kekurangan “Qi” dan darah atau rasa panas berlebihan disebabkan oleh kekurangan "Yin".

5) MERAH GELAP - menunjukkan keadaan lemak dalam darah yang tinggi disertai dengan adanya patogen panas.

6) PUCAT/PUTIH dan panas apabila disentuh, ini menunjukkan kekurangan hawa sejuk dan kehadiran gas patogen (unsur luaran penyebab penyakit).

7) GARIS-GARIS PECAH/RUAM –pada permukaan bekas bekam dan rasa sedikit gatal, ia menunjukkan kehadiran patogen lembab dan gangguan gas patogen.

8) MUNCUL WAP AIR pada dinding gelas (cup) bekam, menunjukkan ujudnya gas patogen di kawasan itu.

9) LEPUHAN (blister) pada bekas bekam, menandakan keadaan gangguan gas yang berlebihan pada tubuh. Adanya darah tipis pada lepuhan merupakan reaksi gas panas toksin.

No comments:

Post a Comment