Bukti Adanya Allah
Berdasarkan Hukum
Akal - Bhgn.1
Imam Ahmad berguru dengan Imam As-Syafie. Imam
As-Syafie adalah mujtahid mutlak dan Imam Ahmad juga menjadi mujtahid mutlak.
Ulama-ulama pada masa terdahulu menggunakan dalil aqli (akal) untuk menerangkan
kewujudan Allah kerana ia lebih mudah difahami oleh orang ramai.
Bagi memudahkan kefahaman tentang wujudnya Allah
selaku Tuhan yang sebenar-benarnya Tuhan yang sewajibnya setiap manusia beriman
(percaya), menyerah dan menghambakan diri, menaruh pengharapan, pertolongangan
kepadaNya, dibawakan beberapa kisah yang In Sha Allah membantu menyentuh akal
manusia yang tidak mempercayai Allah sebagai Pencipta, Pentadbir dan Tuhan yang
mesti disembah.
Kisah 1
Seorang badwi pernah ditanya apakah yang
menunjukkan tanda adanya Allah. Badwi ini adalah orang asli bagi masyarakat
Arab yang hidup mengembara, berpindah-randah di satu tempat ke tempat yang lain
dengan tinggal di dalam khemah, serta tidak begitu terpelajar.
Kata orang badwi tersebut, “Subhanallah,
jika najis unta menunjukkan adanya unta, dan bekas tapak kaki tandanya ada
orang berjalan, dan langit dan bintang dan bumi dan matahari dan
tumbuh-tumbuhan dan laut bergelombang, tidakkah semua itu cukup menjadi dalil
adanya zat Allah yang Maha Halus dan Maha Mengetahui?”
Kisah 2
Berkata Ar-Rasi, Imam Malik dijemput
oleh Khalifah Harun Ar-Rasyid, khalifah kerajaan Abbasiyyah ke istana. Kemudian
Khalifah Harun Ar-Rasyid bertanya Imam Malik tentang dalil adanya Allah. Maka
Imam Malik menjawab dengan dalil perbezaan suara dan bahasa.
Mulut dan lidah manusia semua sama saja
namun ada yang bertutur di dalam bahasa Arab, Parsi dan bahasa lain. Suaranya
juga berbeza. Bahasa dan suara itu menunjukkan kekuasaan Allah. 1000 manusia
terdapat 1000 suara. 1000 bangsa terdapat 1000 bahasa.
Kisah 3
Imam Abu Hanifah ketika ditanya oleh orang
zindiq (orang islam yang menyeleweng) tentang bukti adanya Allah. Maka Imam Abu
Hanifah berkata, “Berilah aku kesempatan untuk fikirkan satu berita yang sampai
kepadaku. Ada sebuah kapal di laut yang membawa barang dagangan, tetapi tiada
jurumudi, tiada ketua dan tiada nahkoda namun dapat bergerak lancar.”
Orang zindiq berkata, “Berita itu tidak
masuk akal. Bahkan orang yang memberitahu tidak masuk akal.” Lalu Imam Abu
Hanifah menjawab, “Celaka kalian. Masakan alam sedemikian indah rapinya di
langit dan di bumi jika tiada penciptanya.” Maka orang zindiq ini tunduk insaf
dan memperbaharui agama (mengucap dua kalimah syahadah dan bertaubat)
Kisah 4
Apabila Imam As-Syafie ditanya dalil adanya
Allah, Imam As-Syafie menjawab, “Perhatikan daun mempunyai satu rasa (satu
warna, satu rasa, satu elemen). Dimakan ulat menjadi sutera, dimakan lebah
menjadi madu, dimakan kambing menjadi najis, dimakan kijang menjadi kasturi.
Tidakkah yang demikian itu tanda adanya Allah, pencipta semua itu? Makan benda
yang sama, mengeluarkan benda yang berbeza.”In Sha Allah ...... bersambung ke Bhgn. 2
No comments:
Post a Comment