Aurat Lelaki Dan Perempuan Di Dalam Solat Dan Luar Solat
Erti aurat di sisi
syarak ialah sesuatu yang wajib ditutup dan diharamkan mendedahkan atau melihatnya.
Aurat Dalam
Solat
Menutup aurat adalah syarat sah solat. Iaitu aurat wajib
ditutup ketika menunaikan solat walau tidak dilihat oleh manusia lain atau
berada dalam kegelapan. Para ulama’ bersepakat
mengatakan bahawa batal solat (tidak sah) orang yang tidak menutup aurat
sedangkan dia mampu berbuat demikian.
Sempadan atau bahagian aurat yang perlu ditutup adalah
;
1). bagi lelaki ialah di
antara pusat dan lutut.
2). bagi perempuan ialah
menutup seluruh tubuh badannya kecuali muka dan tapak tangan (batasan pergelangan tangan).
Allah swt telah berfirman dalam surah al-A’raf ayat
31, bermaksud: ”Wahai anak Adam, pakailah pakaianmu
yang indah pada setiap kali (memasuki) masjid...”.
Ibnu Abbas telah menyatakan bahawa maksud daripada
ayat di atas ialah memakai pakaian (menutup aurat) ketika menunaikan solat. (Sila
Rujuk Mughni Muhtaj dan al-Fiqh al-Islamiy Wa Adillatuh).
Al-Tirmizi meriwayatkan daripada Saidatina Aisyah,
katanya: Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: ”Tidak
diterima solat perempuan yang telah baligh melainkan dengan kain yang menutup
kepalanya”. Apabila kepala wajib ditutup, maka menutup seluruh badan
adalah lebih utama.
Daripada Ummu Salamah, bahawasanya beliau pernah
bertanya kepada rasulullah saw: ”Apakah seseorang perempuan
itu boleh menunaikan solat dengan memakai baju panjang dan penutup kepala tanpa
memakai kain sarung?”. Jawab baginda Rasulullah: ”Boleh sekiranya baju itu luas
yang boleh menutupi bahagian atas telapak kakinya”. (Hadis
diriwayatkan oleh Abu Daud).
Syarat
Menutup Aurat
Ada beberapa syarat tambahan yang
perlu dipatuhi dalam menutup aurat bagi
lelaki dan perempuan supaya solat yang ditunaikan itu menjadi sah dan diterima
oleh Allah, iaitu :-
1). Wajib memakai pakaian tebal yang sekurang-kurangnya boleh menutup warna kulit badan. Sekiranya pakaian yang dipakai itu nipis dan
menampakkan warnakulit, maka ia tidak
dianggap menutup aurat dan solat tidak sah.
2). Pakaian yang dipakai tidak terlalu ketat yang boleh menampakkan susuk tubuh pemakainya.
Aurat Terdedah Secara Tiba-tiba
Bagaimana pula hukumnya sekiranya aurat terdedah secara tiba-tiba ketika
menunaikan solat akibat tiupan angin dan seumpamanya?
Para
ulama’ ketika membincangkan persoalan ini telah menyatakan bahawa tidak batal solat apabila orang yang sedang
menunaikan solat itu bersegera menutup kembali
auratnya setelah menyedari ianya terdedah kerana tiupan angin, diselak
oleh kanak-kanak dsb.
Akan tetapi sekiranya seseorang itu cuai dengan tidak
mempedulikan auratnya yang terdedah atau ia mengambil masa yang agak lama untuk
menutup auratnya kembali, maka solatnya itu dianggap batal dan tidak sah. Inilah pandangan yang telah
dikemukakan oleh ulama’ aliran mazhab Syafe’i dan Hanbali. (Sila Rujuk
al-Fiqh al-Islamiy Wa Adilatuh karangan Syeikh Dr Wahbah Zuhayli, jilid 1,
halaman 582, cetakan Dar al-Fikr, Damsyik, tahun 1989).
Batasan Aurat Di Luar Solat
Batasan atu sempadan aurat
seseorang itu apabila berada di hadapan orang yang bukan mahram ketika berada
di luar solat adalah sama seperti keadaan auratnya
ketika berada dalam solat. Oleh yang demikian seseorang yang mempraktikkan
menutup aurat dalam kehidupan hariannya, sudah tentu akan memudahkannya untuk
menunaikan solat walau di mana sahaja dia berada.
Solat Orang Perempuan Mesti Pakai
Telekungkah?
Terdapat
kekeliruan terutamanya bagi perempuan yang menganggap bahawa solat tidak sah jika
tidak memakai ’telekung sembahyang’. Oleh itu, apabila seseorang perempuan itu
terlupa untuk membawa ’telekung sembahyangnya’, maka dia akan meninggalkan
solat dengan alasan tidak dapat menutup aurat. Ini tanggapan salah terhadap menutup aurat.
Fakta yang betul adalah, apabila seseorang
muslimah itu beriltizam dengan menutup aurat apabila berada di luar rumah iaitu
dengan menutup seluruh tubuhnya kecuali muka dan pergelangan tangan, maka dia
boleh menunaikan solat dengan menggunakan pakaian tersebut asalkan ianya
bersih, tanpa diperlukan ’telekung sembahyang.
Persepsi Salah Menutup Aurat
Adalah
amat menyedihkan berlaku dalam masyarakat kita sama ada lelaki atau perempuan apabila
masih terdapat sebahagian umat Islam hanya menutup aurat di dalam solatnya, tetapi apabila selesai menunaikan solat, kewajipan
menutup aurat tidak diambil berat dan terus diabaikan. Ini jelas berapa banyak lelaki ’muslim’ masih
berseluar pendek dikhalayak ramai ketika bersukan dsb.
Di
kalangan ’muslimah’ pula dengan mudah meninggalkan memakai tutup kepala
(tudung), ada pula yang bertudung tetapi memakai baju` T-shirt’ pendek yang
menampakan lenganya, tidak kurang yang sendat, nampak pusat dan yang ketat menonjolkan
bentuk tubuh dsb.
Tidak
kurang pula perempuan yang bertudung ini memakai pakaian yang jarang
menampakkan tubuh badan mereka. Kalau beginilah tudung yang dipakai, ia hanya
boleh dianggap sebagai tudung fesyen, bukannya tudung yang menutup aurat
sebagaimana yang dikehendaki di dalam ajaran Islam. Banyak perempuan pada hari
ini yang semakin keliru dengan pelbagai fesyen tudung yang wujud, lalu
menganggapnya ianya sudah cukup untuk menutup aurat. Trendkah ini?
Ada
pula muslimah yang bertudung tidak sedar menyerupai tudung kepala penganut
agama lain atas alasan fesyen terkini. Ada yang bertudung kepala seperti rahid
(biarawati) kristian. Wahai perempuan
tutup kepala adalah perintah Allah SWT dan merupakan ibadah dalam Islam.
Janganlah sampai ibadah (bertudung kepala) itu menyerupai ibadah agama-agama
lain kerana ini dilarang dalam Islam.
Jangan
asalkan ada tudung di kepala sahaja, tetapi tidak dikira menutup aurat. Kekeliruan yang timbul dalam isu tudung ini
perlu di ambil perhatian oleh perempuan muslimah yang prihatin terhadap
hukum-hakam di dalam Islam. Janganlah kita hanya sekadar menjadi ’pak turut’
atau ’mak turut’ atau mengikut fesyen kononya. Janganlah sampai tidak tahu apakah yang kita
lakukan itu benar atau salah di sisi syarak. Muslimah wajar memahami perbezaan
di antara tudung fesyen dan tudung yang menutup aurat.
Menutup
aurat seolah-olah hanya semasa mengabdikan diri kepada Allah ketika menunaikan
solat sahaja. Sebaliknya ketika di luar
solat, ianya terus melakukan penderhakaan kepada Allah. Keadaan ini merupakan sesuatu yang amat malang
dan perlu diperbetulkan agar solat yang ditunaikan itu dapat membina
keperibadian muslim yang unggul yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah swt.
Batasan
aurat bagi perempuan muslimah telah dijelaskan melalui firman Allah yang
bermaksud "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan
yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram),
dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan
tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya (muka dan pergelangan tangan); dan
hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan
janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami
mereka, atau bapa mereka....." [Surah
An-Nur:31}
Dalam ayat yang lain, Allah menjelaskan melalui firmanNya yang
bermaksud: "Wahai Nabi, suruhlah
isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang
beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa
mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai
perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah)
Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." [Surah Al-Ahzab:59]
Sebelum turunnya ayat ini, kebiasaannya perempuan Arab keluar rumah
dengan memperlihatkan rambut, leher, telinga, dada dan sebahagian daripada
kecantikan dan perhiasan yang ada pada mereka. Lalu ayat ini diturunkan dan
memberi penjelasan kepada perempuan muslimah agar menutup aurat mereka dengan
sewajarnya. Ayat ini juga diturunkan oleh Allah sebagai penyelamat kepada perempuan
muslimah agar tidak diganggu oleh orang munafik dan fasik.
Cukupkah Dengan Bertudung Sahaja?
Ajaran
Islam tidak pernah menyuruh perempuan Islam bertudung semata-mata, tetapi
dikehendaki menutup aurat. Sekiranya sekadar memakai tudung sahaja, ia tidak
dinamakan menutup aurat mengikut kehendak Islam. Justeru, didapati bahawa perempuan
bertudung yang ditangkap ketika melakukan maksiat dan perkara-perkara tidak
senonoh hampir kesemuanya atau majoritinya tidak menutup aurat walaupun mereka
bertudung.
Janganlah
bertudung kepala itu sebagai adat kebiasaan ataupun fesyen semasa tetapi
niatkanlah bertudung itu kerana Allah SWT dengan menepati kehendak syariat
supaya bertudung dan menutup aurat itu menjadi ibadah di sisi Allah SWT.
Nota :
Disunting
Dari Artikel Asal Ust. Mohd Sukki Bin Othman (Ust Shauqi), Yang disiarkan dalam
majalah Milenia Muslim bulan Februari 2008