Dalil Adanya Allah
Berdasarkan Hukum
Akal - Bhg.3(Akhir)
Kisah
7
Ada seorang guru tadika bukan Islam yang tidak percaya
wujudnya Tuhan. Dia pun berfikir bagaimana hendak mempengaruhi kanak-kanak di
tadika tersebut supaya tak percayakan wujudnya Tuhan. Dia mendapat satu
akal...lalu terjadilah dialog berikut ;Guru tadika : Anak-anak, nampak tak pen ini?
Murid-murid : Nampak cikgu.
Guru tadika : Pen ada kan?
Murid-murid : Ada cikgu.
Kemudian guru tadika tadi memasukkan pen itu ke dalam poket dia dan kemudian bertanya lagi..
Guru tadika : Anak-anak, nampak tak pen?
Murid-murid : Tak nampak cikgu.
Guru tadika : Pen ada tak?
Murid-murid : Tak ada cikgu.
Kemudian Sang Guru tadika bertanya lagi : Anak-anak nampak Tuhan tak?
Murid-murid : Tak nampak cikgu.
Guru tadika : Tuhan ada tak?
Murid-murid : Tak ada cikgu.
Guru tadika itu sangat gembira kerana tujuannya untuk mempengaruhi kanak-kanak itu berjaya.
Tetapi.. di kalangan kumpulan kanak-kanak itu ada seorang budak yang pintar yang bernama Amin lalu dia pun mengangkat tangan...
Amin : Cikgu, boleh saya cakap sesuatu?
Guru tadika : Boleh, mari ke depan.
Amin : Kawan-kawan nampak cikgu tak?
Murid-murid : Nampak.
Amin : Cikgu ada kan?
Murid-murid : Ada.
Amin : Kawan-kawan nampak akal cikgu tak?
Murid-murid : Tak nampak.
Amin: Cikgu ada akal tak?
Murid-murid : Tak ada.
Amin : Kalau macam tu kita tak payah belajar dengan cikgu ini sebab dia tak ada akal.
Kisah
8
Kisah
Teladan Tukang Gunting Rambut
Pada suatu petang, seorang lelaki Islam datang ke
kedai gunting rambut untuk memendekkan rambutnya yang agak panjang dan tidak
terurus. Seperti biasa, si penggunting rambut menyambut pelanggannya dengan
mesra dan mempersilakannya duduk. Si penggunting ini adalah seorang yang
berfahaman atheis iaitu tidak memperayai kewujudan Tuhan di dunia ini.
Sedang si penggunting rambut melakukan kerjanya,
mulutnya tidak berhenti bercerita. Macam-macam dibualkan menyentuh isu semasa
dan kehidupan harian. Tiba-tiba si penggunting rambut itu bertanya suatu soalan
yang agak berat untuk menguji orang Islam itu. Terjadilah suatu dialog yang
cukup menarik di kedai gunting rambut di antara tukang gunting itu dengan
pelanggannya.
“Tuhan ni wujud ke?” tanya si penggunting rambut.
Lelaki tersebut terkejut dengan soalan tersebut. Belum
pun sempat nak menjawab, si penggunting rambut menyambung percakapannya.
“Kalau Tuhan wujud kenapa dunia ni
huru-hara, manusia saling berperang dan benci sesama manusia? Tuan tengoklah
berita, di sana berperang di sini berperang. Asyik bergaduh sahaja di
mana-mana…” adu
si penggunting rambut.
“Lihat di negara kita, sana sini buang bayi.
Kes bunuh pun selalu keluar di akhbar. Masalah sosial lagi. Rasuah lagi.
Teruklah!”
sambungnya lagi menyatakan kekesalan.
“Tuhan tu ada.” Jawab si lelaki itu singkat.
Risau melihat semangat si penggunting rambut itu dengan gunting tajam di
tangannya.
“Kalau betul Tuhan ada, kenapa DIA tak
selesaikan semua masalah tu? Dan buat semuanya jadi aman sahaja? Kan senang!” ujar si penggunting rambut
yang umurnya 40-an itu.
Selepas beberapa minit berlalu, sesi guntingan rambut
pun selesai. Selesai membayar, si lelaki mengajak si tukang gunting melihat ke
luar tingkap.
“Encik lihat tak lelaki-lelaki remaja di
sana? Dan pakcik tua di seberang jalan tu yang sedang duduk tu?” tanya lelaki itu.
“Ya, saya nampak. Kenapa?” si penggunting rambut
bertanya kembali.
“Lelaki remaja tu rambutnya panjang,
nampak tak senonoh kan? Dan pakcik tua tu pula misainya tak terurus nampaknya.
Setuju tak?”
Lelaki itu meminta pandangan.
“Ya, betul. Saya setuju.” si penggunting rambut
mengiyakan sambil mengangguk.
“Mereka jadi macam tu sebab tukang gunting
rambut tiada kah?”
tiba-tiba lelaki itu mengajukan soalan ‘istimewa’ kepada si penggunting rambut.
“Eh, tak. Bukan sebab tu. Ni saya ada ni.” Si penggunting rambut
menafikan.
“Habis tu kenapa lelaki-lelaki remaja itu
berambut panjang dan pakcik tua itu tidak tersusun misainya?” lelaki tersebut bertanya
kembali.
“Tu sebab mereka tak datang jumpa saya.
Kalau mereka datang jumpa saya tentu saya akan potong rambut remaja lelaki tu
bagi elok. Dan pakcik tua tu pula saya akan trim misainya bagi kemas.” jawab si penggunting rambut.
“Ya, itulah jawapan kepada persoalan encik
semasa encik memotong rambut saya tadi. Tuhan itu ada. Tidaklah bermakna
berlakunya peperangan, pertelingkahan, jenayah, gejala sosial, rasuah di
kalangan manusia itu adalah kerana Tuhan tidak ada. Masalah ini semua timbul
kerana mereka semua tidak mahu ‘berjumpa’ dengan Tuhan.” kata lelaki itu.
Si penggunting rambut mendengar dengan teliti sambil
mengerutkan dahinya. Berfikir agaknya.
“Mereka yang abaikan suruhan dan perintah
Tuhan. Tuhan malah telah memberikan pedoman melalui RasulNYA dan juga melalui
kitabNYA iaitu al-Quran. Malangnya, manusia memilih cara mereka sendiri. Mereka
menjauhkan diri dari ALLAH. Jika manusia mendekatkan diri dengan ALLAH,
tentulah keadaan manusia lebih baik dan sejahtera. Lebih kurang macam sayalah
sekarang ni. Lebih handsome dari lelaki-lelaki remaja dan pakcik tua tu sebab
saya jumpa encik untuk dirapikan rambut saya.”
“Betul jugak. Kenapa Tuan tak jelaskan pada
saya semasa potong rambut tadi” Si penggunting rambut mengangguk setuju sambil bertanya.
“Oh bukan apa. Saya risau dengan gunting
di tangan encik tu. Dibuatnya encik marah nanti, tak pasal-pasal saya kena
nanti…hehe. Tapi, alhamdulillah encik tak marah, malah dapat menerima
penjelasan saya”
Jelas lelaki tersebut sambil ketawa kecil. Si penggunting rambut itu turut
tertawa juga.
MARI
KITA FIKIRKAN DENGAN LOGIK AKAL
Jika kita mengkaji berkait alam, kita akan mula nampak
keindahannya. Keteraturan yang sangat ‘detail’, dan setiap hidupan punya
keterkaitan dengan satu sama lain, membuatkan kita sedar yang alam ini adalah
satu makhluk besar, bukannya satu perkara yang terpisah-pisah dan berkecamuk
serta berserabut.
Kita melihat Matahari, dia tidak wujud begitu sahaja
tanpa tugasnya untuk memberikan manfaat kehidupan di bumi. Dia juga berkhidmat
sebagai pengimbang untuk galaksi bima sakti dengan tarikan gravitinya, mengawal
laluan planet-planet agar tidak saling bertembung dan kacau.
Kita melihat laut dan kita tahu ianya bukan untuk
pemandangan semata-mata. Ia menjadi rumah buat pelbagai hidupan, dan
sebahagiannya menjadi makanan buat manusia. Airnya terkitar untuk turun di atas
gunung-ganang, membentuk sungai, atau sebagai hujan menyirami tumbuh-tumbuhan.
Lihat sahaja tubuh kita, ianya juga bukan dibentuk
oleh kulit sahaja, atau darah sahaja, atau mata sahaja, atau saraf sahaja.
Tetapi semuanya itu bergerak dengan sistem yang sudah ditetapkan, lantas
beroperasi dan menggerakkan kita sebagai manusia.
Jika mahu dikupas semuanya yang berada di alam ini,
pasti tidak cukup dengan beberapa perenggan sebagai mukaddimah. Namun cukuplah
ini untuk menggambarkan yang alam ini tercipta dengan sangat teratur sebagai
sebuah sistem. Pastilah keteraturan ini takkan muncul dengan tiba-tiba. Pasti ada yang mengaturkannya.
Persoalannya siapa Sang Pengatur itu?
Tentunya ada suatu zat yang Maha Hebat dan Maha
Berkuasa yang memperkenalkan ‘diriNya’ sebagai Allah seperti dijelaskan dalam
Al-Quran ;
(1).
Katakanlah (Wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;
(2). "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk
untuk memohon sebarang hajat;
(3). "Ia tiada beranak, dan ia pula tidak
diperanakkan;
(4). "Dan tidak ada sesiapapun Yang serupa
denganNya".
[Al-Ikhlas 112 : 1-4]
(21). Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada
Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada
kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertakwa.
(164).
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan
siang; dan (pada) kapal-kapal Yang belayar di laut Dengan membawa benda-benda
Yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan Yang Allah
turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi
sesudah matinya, serta ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang;
demikian juga (pada) peredaran angin dan awan Yang tunduk (kepada Kuasa Allah)
terapung-apung di antara langit Dengan bumi; Sesungguhnya (pada semuanya itu)
ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya,
dan keluasan rahmatNya) bagi kaum Yang (mahu) menggunakan akal fikiran. [Al- Baqarah 2:164]
No comments:
Post a Comment