PUASA HARI ARAFAH - IKUT MEKAH ATAU MALAYSIA?
Ada yang bertanya perbezaan tarikh permulaan
Zulhijjah di Malaysia dan Saudi khususnya, bagaimana dengan puasa Arafah?
Kerana di Mekah, hari Arafah jatuh hari Jumaat manakala di Malaysia pada hari
Sabtu. Begitu juga dengan hari raya Aidil ‘Adha.
Isu ini sama dengan perbezaan dalam menentukan
permulaan Ramadhan dan Raya Aidil Fitri. Ringkasnya pendapat
para ulama adalah :-
1. Pendapat Mazhab Syafie,
Ishak Rahawaih, Ibn Mubarak dan dinisbahkan kepada Ibn Abbas r.a
Setiap negara khususnya yang jauh,
mengikut ijtihad (melalui lihat anak bulan dan hisab) oleh negara
masing-masing. Ini berlandaskan hadis seorang lelaki bernama Kurayb yang berada
di Syam, dia melihat anak bulan Ramdhan pada MALAM JUMAAT yang turut dilihat
oleh Mu’awiyah r.a. Lalu mereka berpuasa esoknya, namun apabila dia sampai ke
Madinah dan memaklumkan kepada Ibn Abbas r.a, beliau mengatakan penduduk
melihat anak bulan pada MALAM SABTU, justeru penduduk Madinah akan kekal
bermula puasa pada hari Ahad. (hadis ini Riwayat Imam Muslim)
2. Pendapat majoriti termasuk
Hanafi, maliki dan hanbali. Turut dipilih oleh Ibn Taymiah dan Al-Syawkani.
Termasuk Majlis Fiqh Antarabangsa, Hai’ah Kibar Ulama Saudi & Dar Ifta
Mesir.
Tiada perbezaan, sepatutnya mana-mana
negara yang telah melihat anak bulan dahulu, semua negara lain jauh atau dekat
perlu mengikutnya. Perbezaan tempat naiknya bulan (Matali’ al-Qamar) tidak
diambil kira dalam hal ini.
KESIMPULAN
Kesimpulan, menurut ijtihad majoriti mazhab,
sewajarnya puasa arafah dan raya mengikut tarikh Saudi. Namun bagi yang berada
di MALAYSIA, diharuskan atau dibenarkan berdasarkan ijtihad mazhab Syafie
dengan dalil ringkas yang diberikan tadi, untuk rakyat Malaysia di negara
Malaysia berpuasa sunat Arafah pada hari Sabtu dan berhariraya bermula pada
hari Ahad. Mereka yang berada di SAUDI dan negara lain, boleh mengikut ijtihad
penguasa agama di negara tersebut.
Ini juga berdasarkan hadis :
الفطر يوم يفطر الناس ، والأضحى يوم يضحي الناس
Ertinya : Hari raya
maka berayalah juga manusia (mengikut ketetapan di tempat tersebut), dan
apabila raya kurban jatuh pada satu hari, manusia turutilah berkorban pada hari
terbabit. ( Riwayat AT-Tirmidzi : hasan gharib)
Dipetik oleh Imam Ibn Rejab dalam kitabnya dalam hal
ini, satu hadis Aisyah r.a
دخلت على عائشة أنا وصديق لي يوم عرفة فدعت لنا بشراب ، فقالت: لولا
أني صائمة لذقته . فقلنا لها: أتصومين والناس يزعمون أن اليوم يوم النحر ؟ قالت:
" الأضحى يوم يضحي الناس ، والفطر يوم يفطر الناس "
Ertinya : Aku dan
rakanku telah masuk ke rumah Aisyah dan pada hari Arafah namun Aisyah menjemput
kami minum (pent - kerana mereka dikira orang musafir). Lalu Aisyah berkata:
Jika aku tidak berpuasa, tentunya akan aku nikmati (minuman)”. Lalu kami
berkata kepadanya : “Adakah engkau puasa sedang ada yang menganggap hari ini
adalah hari sembeilhan (aidil adha)?” Aisyah menjawab: “Aidil adha adalah hari
yang semua orang merayakannya dan hari raya ‘Aidil fitri juga yang manusia beraya
menyambutnya” (Riwayat Ahmad)
Dari dalil-dalil ini, HARUS
rakyat Malaysia berpuasa hari Sabtu atas peruntukan KELEBIHAN ia merupakan hari
arafah di negara kita. Sesiapa yang ingin berpuasa Jumaat dan Sabtu, itu turut
dibenarkan.
Wallahu’alam.
Dr. Zaharuddin Abd Rahman
Presiden MURSHID
Sumber :
https://ms-my.facebook.com/DrZaharuddin/posts/837329319640086
TAJUK ASAL : PUASA HARI ARAFAH KETIKA BERBEZANYA MALAYSIA DENGAN MEKAH
---------------------------------------------------------------------------------
"Perbezaan ini adalah kerana Islam
meraikan perbezaan tempat terbit matahari dan bulan (matla') di setiap negara.
Perbezaan tempat dan waktu terbit ini akan menatijahkan perbezaan waktu dan
hari. Malaysia mempunyai tempat terbit matahari dan bulan yang berbeza dengan
Arab Saudi. Jika tarikh di Malaysia sama dengan Arab Saudi sekali pun,
perbezaan waktu tetap berlaku. Usaha untuk menyamakan hari puasa sunat Arafah
dan Hari Raya Aidil Adha di seluruh dunia adalah umpama ingin menyamakan waktu
solat di setiap negara. "
Khilaf dalam kalangan ulama’ pada asalnya
adalah suatu keluasan Syariah dan rahmat bagi umat ini. Ia akan menjadi sempit
dan susah apabila dimasuki oleh hawa nafsu, atau mementingkan diri sahaja, atau
berlaku tanpa mengikut jalan yang dibenarkan oleh Syariah. Pada ketika itu ia
akan bertukar kepada perpecahan, perbalahan, persengketaan dan menimbulkan
huru-hara di kalangan ummah. Sedangkan kesatuan ummah adalah perkara WAJIB yang
perlu dijaga dan perpecahan itu adalah HARAM.
Sebagai orang awam berlapang dada dalam
hal-hal khilaf di kalangan ulama adalah jalan tebaik. Perbezaan ini
menyerlahkan keindahan Islam kerana ia bersifat anjal dalam perkara cabang dan
tegas dalam perkara prinsip. Ia adalah sesuai di setiap tempat dan zaman.
BACAAN LANJUT LIHAT PENJELASAN JAKIM DI BAWAH
Puasa sunat hari Arafah - Penjelasan Jakim
Baru-baru ini, timbul isu tentang kaedah penentuan
Aidiladha di Malaysia dan pelaksanaan
puasa sunat sempena hari Arafah. Persoalan ini timbul kerana perbezaan
hari dan waktu antara Malaysia dan Arab Saudi.
Perbezaan ini menimbulkan sedikit kekeliruan hari
bilakah umat Islam boleh berpuasa sunat. Bagi menjawab kekeliruan itu Jakim
telah mengeluarkan suatu kenyataan media melalui ketua pengarahnya, Datuk Haji
Othman Mustapha.
KAEDAH PENENTUAN AIDILADHA DI MALAYSIA
DAN PELAKSANAAN PUASA SUNAT SEMPENA HARI
ARAFAH 1435H
Adalah dimaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (Jakim) ingin memaklumkan mengenai Kaedah Penentuan Aidiladha di
Malaysia dan Pelaksanaan Puasa Sunat sempena Hari Arafah.
1. Kaedah penentuan Aidiladha di Malaysia pada masa
kini adalah berpandukan rukyah dan hisab negara sendiri yang telah diputuskan
oleh Majlis Raja-Raja Malaysia dalam mesyuaratnya kali ke-164 pada 3 Februari 1994
setelah mendengar pandangan dan syor Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi
Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bermuzakarah pada 22 Ogos 1992.
2. Antara hujah Jawatankuasa Fatwa menyetujui
penentuan Aidiladha berpandukan cerapan hilal Zulhijjah sendiri dalam
muzakarahnya pada 22 Ogos 1992 dan 23 April 2002 adalah firman Allah SWT dalam
surah al-Baqarah ayat 185 mengenai rukyah hilal untuk menentukan awal bulan
yang bermaksud:
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) Bulan
Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian
manusia, dan menjadi keteranganketerangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan)
perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, siapa di antara kamu
yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya) maka hendaklah ia
berpuasa, dan siapa yang sakit atau dalam
musafir, maka (bolehlah
ia berbuka dan kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak
hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain…”
3. Juga hadith-hadith riwayat Muslim mengenai ibadah
korban mesti dengan melihat hilal yang bermaksud: “Dari Umm Salamah bahawasanya
Nabi SAW bersabda; ‘Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di
kalangan kamu yang mahu berkorban maka hendaklah dia (orang yang hendak
melakukan korban) jangan memotong rambut dan kukunya’.”
“Dari Umm Salamah bahawa Rasulullah SAW bersabda, ‘Apabila
tanggal sepuluh (Zulhijjah) masuk dan salah seorang di antara kamu hendak
menyembelih korban, maka janganlah dia menyentuh sedikitpun rambut dan kulitnya
(yakni membuang rambut dan kulitnya).’
4. Begitu juga hadith riwayat Muslim mengenai hilal
yang mempunyai matla’ (kawasan yang berada pada jangkamasa waktu-waktu terbit
dan terbenam yang hampir sama) tertentu yang bermaksud, “Dari Kuraib bahawa
Ummu al-Fadl telah menghantarnya menemui Muawiyah di negeri Sham. Kuraib berkata, ‘Aku tiba di Sham dan
menunaikan hajatnya sedangkan perisytiharan tentang kelihatan anak bulan
berkumandang di udara. Aku melihat anak bulan pada malam Jumaat, kemudian aku
balik ke Madinah pada akhir bulan, pada masa itu aku ditanya oleh Abdullah bin
Abbas yang menyebut tentang anak bulan.’ Katanya, ‘Bilakah kamu melihat anak
bulan?’ Aku menjawab, ‘Kami melihat pada malam Jumaat!’ Ibn Abbas bertanya lagi
katanya, ‘Adakah engkau sendiri melihat anak bulan itu?’ Aku menjawab, ‘Ya, orang
lain pun melihatnya dan mereka itu berpuasa, Muawiyah turut berpuasa.’ Ibn
Abbas berkata, ‘Kami di sini melihat anak bulan pada malam Sabtu, oleh itu kami
terus berpuasa hingga kami sempurnakan 30 hari atau hingga kami melihat anak
bulan Syawal.’ Aku bertanya, ‘Tidakkah memadai bagi kamu dengan penglihatan
anak bulan itu oleh Muawiyah dan puasanya?’ Ibn Abbas menjawab, ‘Tidak! Beginilah
caranya Rasulullah SAW menyuruh kami…’.”
5. Untuk penentuan awal Zulhijjah 1435H, kebanyakan
negara di seluruh dunia telah mencerap hilal pada petang 24 September 2014 yang
lalu. Antara negara tersebut termasuklah negara Malaysia, Indonesia, Brunei dan
Singapura yang lebih dikenali dengan MABIMS. Arab Saudi dan negara-negara Timur
Tengah juga telah mencerap hilal Zulhijjah pada tarikh yang sama.
6. Tiada negara anggota MABIMS melaporkan telah
berjaya mencerap hilal pada petang 24 September 2014. Di Malaysia, 29 tempat
cerapan rasmi keseluruhannya melaporkan tidak berhasil mencerap hilal. Justeru,
Malaysia dan kesemua negara anggota MABIMS telah menetapkan awal Zulhijjah pada
26 September 2014 seterusnya akan menyambut Aidiladha pada 5 Oktober 2014. Komuniti
Islam di negara
yang menerima pakai keputusan cerapan hilal rantau
MABIMS seperti Jepun juga akan menyambut Aidiladha pada tarikh yang sama. Di
rantau Timur Tengah pula, Arab Saudi dilaporkan telah berhasil mencerap hilal
Zulhijjah di kawasan sekitar Shaqra dan Sudair berdekatan dengan Riyadh
seterusnya menetapkan wuquf di Arafah jatuh pada 3 Oktober 2014 dan Aidiladha
pada 4 Oktober 2014.
7. Matla’ negara Malaysia yang berbeza dengan Arab
Saudi yang berkedudukan lebih barat menyebabkan peluang kenampakan hilal lebih
tinggi di negara berkenaan. Perbezaan waktu antara kedua-dua negara adalah
sekitar lima jam. Justeru, ketika hilal dicerap pada waktu matahari terbenam di
Arab Saudi, kedudukan hilal tersebut adalah lebih tinggi berbanding di Malaysia.
8. Setiap negara hanya boleh menerima pakai keputusan
cerapan hilal matla’ negara masing-masing.
Al-Syeikh Syamsuddin Muhammad bin al-Khatib al-Syarbini menjelaskan matan
Minhaj al-Talibin oleh Imam al-Nawawi;
“Dan apabila dilihat hilal di sesuatu negara maka
wajiblah hukum yang sama bagi negara berhampiran sebagaimana kota Baghdad
dengan kota Kufah, tidak bagi negara yang berjauhan seperti negara Hijaz dengan
negara Iraq”.
Maksud di dalam negara yang satu ialah matla’ yang
sama. Bagi matla’ Malaysia adalah terletak di dalam matla’ Asia Tenggara. Oleh itu sewajarnya
penentuan tarikh Aidiladha mengikut persetujuan Majlis Mesyuarat Tidak Rasmi
Menteri-Menteri Agama MABIMS.
9. Komuniti Islam di Jepun telah bertanyakan kepada
negara Arab Saudi berkenaan sejauh mana kesahan matla’ hilal dalam menentukan
awal Zulhijjah dan Aidiladha di tempat mereka. Kenyataan rasmi negara Arab
Saudi memaklumkan supaya komuniti Islam di Jepun berhari raya dan berpuasa
sunat sempena hari Arafah mengikut hasil cerapan hilal di Jepun atau pun negara
yang sama matla’ dengannya seperti negara MABIMS. Oleh kerana
itulah komuniti Islam di Jepun menerima pakai
keputusan cerapan hilal di Malaysia.
10. Al-Syeikh Syamsuddin Muhammad bin al-Khatib al-Syarbini
dalam Mughni al-Muhtaj menjelaskan
kenyataan Imam al-Nawawi berhubung dengan berpuasa pada hari Arafah:
“Dan berpuasa pada hari Arafah itu adalah pada 9
Zulhijjah bagi orang yang tidak mengerjakan haji…
11. Hakikatnya, bukan semua negara di dunia dapat
berpuasa pada detik yang sama. Sekiranya semua orang ingin berpuasa Arafah pada
detik yang sama dengan orang-orang di Arab Saudi Jumaat ini, maka
ketika orang-orang di Arab Saudi baru memulakan puasa,
orang-orang Islam di Malaysia sudah lama memulakan puasa menghampiri waktu
tengahari, orang-orang Islam di New Zealand sudahpun menghampiri waktu berbuka.
Maka jadilah orang-orang Islam di New Zealand berpuasa Arafah jauh mendahului
apa yang sedang berlaku di Arafah.
12. Ringkasnya, kaedah penentuan Aidiladha di Malaysia
yang berpandukan kepada cerapan hilal Zulhijjah sendiri dan tidak terikat
dengan hasil cerapan hilal Zulhijjah Arab Saudi adalah tepat. Pun begitu, negara-negara
atau rakyat Malaysia yang berada sekitar Arab Saudi atau negara-negara sebelah
barat Arab Saudi (atas dasar imkanur-rukyah atau peluang kenampakan hilal
menjadi lebih besar sebelah barat negara yang berhasil rukyah hilal) perlu
beraya bersama
Arab Saudi.
13. Cadangan untuk menukar kaedah penentuan Aidiladha
di Malaysia kepada berpandukan hari wuquf pernah dibincangkan dalam Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 23
April 2002. Muzakarah membuat keputusan seperti berikut:
“Menolak Cadangan Penentuan Aidiladha Berdasarkan Hari
Wukuf Dan Mengekalkan
Kaedah Penetapan Aidiladha
Di Malaysia Adalah Berdasarkan Kepada Kaedah Rukyah Anak Bulan Zulhijjah
Berasaskan Sistem Imkanul Rukyah Kerana Kaedah Rukyah Anak Bulan Zulhijjah
Lebih Sesuai Diamalkan Di Negara Ini.
14. Pelaksanaan puasa sempena hari Arafah di Malaysia
bolehlah dilaksana pada 9 Zulhijjah negara bersamaan hari Sabtu 4 Oktober 2014.
Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/31185-penjelasan-jakim-puasa-sunat-hari-arafah?fb_comment_id=fbc_738107622909645_738427342877673_738427342877673#f9b886c64
No comments:
Post a Comment