Pages

Thursday, May 22, 2014

Kelebihan Sabar Dan Ikhlas - Tanyalah Ustaz

Kelebihan Sabar Dan Ikhlas
Tanyalah Ustaz - Ustaz Mohd Elyas Ismail
 
Bacaan ayat 153-157, surah Al-Baqarah:


153. Wahai sekalian orang-orang Yang beriman! mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah Dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) Dengan bersabar dan Dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana Sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang Yang sabar

154. dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa Yang terbunuh Dalam perjuangan membela ugama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang Yang hidup (dengan keadaan hidup Yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.

155. Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu Dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang Yang sabar:

156. (Iaitu) orang-orang Yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya Kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah Kami kembali."

157. mereka itu ialah orang-orang Yang dilimpahi Dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang Yang dapat petunjuk hidayahNya.

Alhamdulillah kita diberi peluang bertemu dalam majlis ilmu. Kalau Allah ingin beri kebaikan kepada kita, Allah akan fahamkan kita tentang agama. Kita akan diberi rasa seronok menghadiri majlis ilmu.

Sifat sabar itu senang diungkap, tapi amat payah dilaksanakan. Dalam ayat di atas ada beberapa pengajaran yang boleh diambil :

1. Untuk mohon pertolongan Allah, mesti sabar dan diiringi dengan solat

2. Orang yang mati syahid itu hidup di sisi Allah

3. Allah akan uji dengan perasaan takut Allah akan uji denganperasaan lapar. Kata seorang ulama, untuk mengetahui peribadi seseorang, lihatlah perangainya ketika dia lapar. Allah akan uji dengan kehilangan harta.

4. Allah ajar untuk mengucapkan “Innalillahi wainna ila hiro ji'un” ketika menghadapi musibah.

5. Untuk mendapat kebaikan, rahmat dan hidayah Allah, mesti mempunyai perasaan sabar.

Apakah yang dimaksudkan dengan sabar?

Allah mengajar bahawa untuk berjaya dalam hidup, kita perlu sabar. Nabi SAW mengajarkan bahawa, “Sabar itu umpama cahaya matahari”. Apa maksudnya? Matahari itu sifatnya panas, tetapi kepanasan itu dapat menyuburkan tanaman di muka bumi ini. Oleh itu, orang yang sabar, akan subur jiwanya. Sebaliknya, orang yang tak sabar, cepat masuk kubur.

Apabila mendapat musibah, kita seolah-olah dalam kegelapan, oleh itu sifat sabar yang seperti matahari itu akan memberikan cahaya untuk membuatkan seseorang itu bertenang terlebih dahulu. Renungkan bagaimana sabarnya Allah dengan kita. Walaupun kita buat berbagai-bagai maksiat, Allah masih beri nikmat dan rezeki pada kita.

Orang yang bersabar, Allah janjikan banyak ganjaran di sisi-Nya. Kita perlu malu dengan cicak. Kalau diikutkan, cicak ada banyak sebab untuk merungut pada Allah tapi cicak tak buat begitu. Cicak tak boleh terbang, tapi makanan cicak semuanya haiwan yang boleh terbang. Tapi cicak gunakan lidahnya yang panjang untuk mencari makanan.

Tip dan panduan menahan sabar

Boleh amalkan tip berikut:
Bersifat sabar dan memaafkan – 'Let go and let God' yakni maafkan dan serahkan pada Allah. Sebelum tidur malam, pegang tangan dan maafkan pasangan kita, dan maafkan juga orang yang tak sehaluan dengan kita.

Sentuhan antara pasangan sudah boleh memberi kesan positif. Suami mulakan dahulu dan tanya isteri, “Agak-agak berapa markah abang dapat hari ini?”. Terima dengan sabar apa penilaian isteri. Kemudian tanya isteri apa yang perlu diperbaiki untuk mendapat markah penuh.

Ingatlah pesan Imam Ghazali yang mengatakan bahawa marah ialah pintu keburukan. Ramai orang yang buat perkara yang tidak baik kerana 'tidak sedar' ketika marah.

Berpesan-pesan atas kesabaran

Dalam ayat 55, surah Az-Zariyaat yang bermaksud - Hanya orang yang beriman mudah menerima nasihat. Orang yang beriman sentiasa bersedia menerima ujian daripada Allah dan mempunyai kekuatan untuk bersabar.

Perhatikan kisah keluarga Sumayyah yang disiksa teruk setelah memeluk Islam. Rasulullah SAW berpesan kepada mereka agar teruskan bersabar kerana syurga sedang menanti mereka.

Kisah Bilal bin Rabah pun serupa juga, Bilal dihempap dengan batu di bawah terik matahari tapi masih kuat keimanan dan kesabarannya. Begitu juga dengan kisah Mashitah, tukang sikat rambut keluarga Firaun. Ketika melatah, Mashitah menyebut “Allah” dan inilah yang perlu kita contohi.
  : Maksudnya 
“ dan tetap tekunlah Engkau memberi peringatan, kerana Sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang Yang beriman.”
  
Kelebihan sentiasa bersabar

Sabar ialah senjata dan kekuatan orang mukmin. Ada pepatah mengatakan yang “Dunia merupakan negara bala dan ujian”. Ada 4 kelebihan sabar :
1. Hatinya tenang – tidurnya lena, tak tergopoh-gapah. Selagi tak dimaafkan, masalah itu akan menghantui kita.

2. Akan selalu mendapat hidayah daripada Allah

3. Merasa nikmat tenang dalam beribadat

4. Dapat mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala


Adakah sifat sabar ketika susah sahaja?
Tidak, ada 3 keadaan perlu bersabar :

1. Dalam mentaati perintah Allah.

2. Dalam meninggalkan larangan Allah – kadang-kadang lebih sukar nak tinggalkan perkara maksiat berbanding buat baik. Contohnya, nak pergi majlis ilmu mudah, tapi nak tinggalkan 'gosip' sangat sukar. Oleh sebab itu, bila ada orang nak ceritakan sesuatu cerita yang sensasi, katakan kita tak mahu tahu.

3. Amalkan kae dah ini untuk tahan marah - tarik nafas 2 saat, tahan 3 saat dan lepaskan ikut mulut 4 saat. Bila lepaskan nafas itu, sebutkan “Allah”. Dalam kajian, didapati kalimah Allah amat baik untuk membantu menenangkan hati. Cuba amalkan.

Mendidik hati agar kita mudah bersabar

Ada 3 kaedah iaitu :

1. Hubungkan silaturrahim dengan orang yang ingin memutuskankannya. Orang yang paling baik ialah orang yang mula-mula memberi kemaafan

2. Berilah kebaikan pada orang walaupun orang tak beri kebaikan pada kita. Maafkan orang yang menzalimi kita.


Menghadirkan rasa ikhlas dalam ibadat

Kita takut amalan jika kita tak dipandang Allah. Sebenarnya, puasa adalah ibadah yang boleh melatih kita untuk ikhlas kerana ianya adalah satu ibadah yang tidak boleh dilihat orang. Nabi SAW ada bersabda bahawa barangsiapa yang berpuasa bersungguh-sungguh, maka akan diampunkan dosa-dosanya (yang kecil).

Ulama ada mengatakan ada 3 peringkat gangguan orang beribadat :
berasa riak pada awal, pertengahan atau akhir ibadat.

Sifat ikhlas Nabi SAW dan para sahabat

Sifat ikhlas Nabi SAW tiada tandingannya di dunia ini. Banyak contoh dan antara yang boleh dibincangkan ialah apabila Nabi SAW ditolak dakwahnya di Taif, Baginda luka teruk sehingga berdarah.

Dalam keadaan itu, Baginda berehat sebentar dan berdoa kepada Allah, “Ya Allah, aku mengadu kelemahan dan sedikitnya kemampuanku serta kehinaanku di hadapan manusia, wahai sebaik-baik Pemberi kasih sayang”.

Orang yang ikhlas tidak mengadu pada orang lain, tetapi mengadu hanya pada Allah. Tetapi kita hari ini, marah sikit, mengadu pada Facebook! Jika kita mengadu pada Allah, makin banyak kita mengadu, makin Allah sayang. Tetapi jika kita mengadu banyak kali kepada manusia, mereka pun akan menyampah. Contoh sahabat pula ialah Khaled Al-Walid yang dilucutkan jawatan sebagai panglima perang. Keesokannya, dia tetap masuk menyertai perang dan sahabatnya pun bertanya kenapa, lalu dijawabnya yang dia berperang kerana Allah bukan kerana manusia.

Bekerja tanpa gaji baru dikira sebagai ikhlas?

Bukanlah begitu. Tamsilan (contoh) yang diberi oleh ustaz Pahrol Mohd Juoi ialah dalam hidup ini ada tujuan dan keperluan hidup.

Tujuan bekerja adalah untuk memberi perkhidmatan, dan gaji yang diperolehi untuk memenuhi keperluan hidup. Orang yang ikhlas bekerja akan komited dalam kerjanya. Ada orang yang nampak seperti usahanya tak diberi ganjaran di pejabat, tetapi sebenarnya Allah ganti dengan keluarga yang bahagia dan anak-anak yang menjadi.

Oleh itu, jangan kejar penghargaan manusia, sebaliknya kejarlah redha Allah.

Mendidik anak untuk ikhlas
Ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik agar dapat ditiru oleh anak-anak. Suatu hari Syaidina Umar melihat seorang itu beria-ia tunduk ketika solat lalu menegur bahawa keikhlasan itu adalah di dalam hati, bukannya pada luaran.

Mengikhlaskan diri ketika bersedekah
Nabi SAW bersabda, “Tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima”. Bahkan, sahabat mengatakan bahawa mereka selalu ketinggalan untuk memberi salam dahulu, kerana Nabi SAW selalu mendahului mereka kerana sifatnya yang suka memberi. Mafhum hadis, sedekah yang paling utama ialah : Sedekah pada ahli keluarga. Sedekah pada saat kita rasa bakhil untuk memberi.

Duit itu seperti air, biarkan mengalir, jika disekat maka akan bertakung dan busuk baunya.

Sifat riak akan merosakkan pahala ibadah
Ya, kita takut jika ibadah kita tiada nilai di sisi Allah. Mafhum sebuah hadis Nabi SAW, ada satu malaikat yang ditugaskan untuk membawa naik amalan seseorang. Malaikat membawa amalan seorang lelaki yang telah berusia dan banyak amalannya. Allah pun berfirman, “Kamu malaikat-Ku tapi aku lebih tahu amalam hamba-Ku. Tulis namanya di sijjin (neraka)”.  Malaikat membawa amalan seorang lelaki yang telah berusia namun sedikit amalannya. Allah pun berfirman, “Kamu malaikat-Ku tapi aku lebih tahu amalam hamba-Ku. Tulis namanya di syurga”.

1. Ini kerana ada orang beramal tapi tidak ikhlas.

2. Golongan kedua ialah orang yang berilmu tapi tidak ikhlas dalam mengajar.

3. Golongan ketiga ialah orang yang membaca Al-Quran, tetapi kerana inginkan kemasyuran.

4. Golongan keempat ialah orang kaya yang nampak dermawan tapi tidak ikhlas di hatinya.

Orang ikhlas bahagia hidupnya
Ikhlas tak boleh dipandang dengan mata, cuma boleh dirasa oleh pelakunya sahaja. Contohnya, isteri yang menunggu suami dengan segelas air, maka akan mendapat ganjaran seperti berpuasa setahun. Orang yang ikhlas juga akan melakukan lebih daripada yang diminta.

Nak beramal dulu baru nak ikhlas, atau tunggu ikhlas baru nak beramal?
Kita perlu beramal dahulu, kemudian baru akan datang perasaan ikhlasnya. Jika nak tunggu ikhlas, takut tak beramallah jawabnya.

Imam Ghazali kata, untuk betul-betul mencapai rasa ikhlas, kita perlu melalui dahulu masalah-masalah hati. Mula-mula akan ada dalam hati sedikit perasaan riak, tapi didiklah hati dan lama-lama perasaan ikhlas akan muncul.

Umat Islam digalakkan memberi
Orang yang ingin menerima mesti memberi dahulu. Orang yang ingin dihargai, mesti menghargai dahulu. Orang yang paling malang bukanlah orang yang tak dihargai, tetapi orang yang tidak tahu menghargai.

Jika masing-masing cuma mengharap, siapa yang nak mulakan? Sebab itulah, Islam mengajar untuk kita memulakan. Guru saya mengajarkan, "Mulakan kebaikan berkali-kali. Jangan beri sekali, tapi mengaku banyak kali". Begitulah juga dengan kemaafan, berilah banyak kali.

Orang yang ikhlas itu bebas – tak peduli apa orang kata dan mengharapkan redha Allah semata-mata. Ikhlas lawannya riak. Riak dan takabbur akan merosakan amal ibadat yang dilakukan.

Menghadirkan rasa ikhlas dalam ibadat
Kita takut amalan jika kita tak dipandang Allah. Sebenarnya, puasa adalah ibadah yang boleh melatih kita untuk ikhlas kerana ianya adalah satu ibadah yang tidak boleh dilihat orang. Nabi SAW ada bersabda bahawa barangsiapa yang berpuasa bersungguh-sungguh, maka akan diampunkan dosa-dosanya (yang kecil).

Ulama ada mengatakan ada 3 peringkat gangguan orang beribadat: berasa riak pada awal, pertengahan atau akhir ibadat.

Orang yang ikhlas itu bebas – tak peduli apa orang kata dan mengharapkan redha Allah semata-mata. Ikhlas lawannya riak. Riak dan takabbur akan merosakan amal ibadat yang dilakukan.

Sifat-sifat orang yang riak ialah:

1 tangkas beribadat bila ada ramai orang, tapi malas beribadat bila orang tiada

2 menambah ibadat apabila dipuji orang

3 meninggalkan ibadah apabila dikeji orang



Nak tahu kita ikhlas atau tak – cuba tengok cara kita beribadah bila bersendirian.

No comments:

Post a Comment