Pages

Monday, August 26, 2013

APAKAH PENYAKIT AL-AIN?

BAHAYA PENYAKIT AL-AIN



Hadis al-‘Ain, Sabda Rasulullah SAW:
Al-‘Ain adalah benar.[1]

Apakah itu Al-‘Ain ? Benarkah ia boleh menyebabkan sihir dan penyakit hanya apabila dua orang saling memandang ?

Al-‘Ain adalah tilik mata yang dengannya seseorang itu boleh menyebabkan orang lain yang dipandang matanya menjadi sakit, lemah atau disihir.

Al-‘Ain berlaku kerana kejahatan segelintir manusia yang memiliki tenaga telepati yang tinggi[2] dan juga kerana kejahatan jin dan syaitan. Sabda Rasulullah SAW:

Al-‘Ain adalah benar, syaitan dan manusia yang dengki mengganggu kamu dengannya.[3]

Syaitan mengganggu manusia melalui beberapa cara dan salah satu daripadanya adalah seperti hadis di atas, iaitu melalui pandangan mata.

Dalam kes ini mungkin sahaja syaitan menjelma menjadi sesuatu makhluk dan dengan pandangannya dia berjaya menilik mata seseorang dan memberi gangguan kepadanya, sama ada gangguan jasmani atau rohani.

Gangguan manusia juga tidak dapat kita nafikan. Ia lahir dari sifat dengki dan cemburu seseorang kepada seseorang yang lain. Disebabkan tahap kedengkian dan kecemburuannya yang amat tinggi, mungkin sahaja ia dapat disalurkan melalui matanya hingga memberi pengaruh buruk kepada mata orang lain yang dipandangnya.

Kerana itu Rasulullah SAW pernah mengingatkan kita:
Apabila seseorang kamu melihat terhadap dirinya atau hartanya atau tentang saudaranya apa yang mengkagumkannya, maka doakanlah baginya keberkatan, kerana sesungguhnya Al-‘Ain adalah sesuatu yang benar.[4]

Makhluk jin juga boleh mengganggu manusia melalui al-‘Ain. Ummu Salamah radiallahu ‘anha menerangkan bahawa di satu ketika pernah seorang budak kerja wanita di rumahnya yang warna mukanya berbeza daripada kebiasaan. Melihat itu baginda bersabda:

Jampikanlah untuk dia sebab dia terkena al-Nazrah.[5]

Al-Nazrah maksudnya adalah sesuatu yang berasal daripada jin. Justeru maksudnya ia terkena Al-‘Ain lantaran pandangan jin yang menusuk dari mata lembing.[6]

Dalam hadis di atas Rasulullah SAW menyuruh pesakit Al-‘Ain diubati dengan jampi-jampian. Jampi yang dimaksudkan ialah membaca dua surah terakhir dalam al-Qur’an. Abu Sa‘id al-Khudri RA menerangkan:

Adalah Rasulullah SAW berta‘awuz (berdoa meminta perlindungan Allah) daripada ‘ain Jin, kemudian ‘ain manusia. Setelah turunnya surah al-Mu‘awwizatani, baginda mengambil (mengamalkan) keduanya dan meninggalkan yang selain dari itu. [7]

Demikian penjelasan tentang al-‘Ain. Tentang benar atau tidak al-‘Ain, memang sukar untuk diukur dengan daya nalar kerana ia adalah sesuatu yang berada di luar jangkauannya. Kerana itu Rasulullah SAW bersabda: Al-‘Ain adalah benarbertujuan untuk menyedarkan umatnya tentang kebenaran perkara ini dan bahayanya yang tinggi.

Oleh itu hendaklah setiap orang berwaspada tentangnya kerana ia termasuk dalam bab perkara ghaib sepertimana gangguan syaitan, jin dan sihir yang semuanya sukar dikesan oleh mata kasar. Hendaklah selalu membaca dua surah terakhir al-Qur’an (Al-Falaq Dan An-Nas) , iaitu surah yang dikenali sebagai al-Mu‘awwizatan sebagai pelindung daripada al-‘Ain.

---------------------
Nota Kaki :

[1] Sahih: Sebahagian hadis daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih al-Bukhari – no: 5740 (Kitab Tibb, Bab Al-‘Ain adalah benar).

[2] Lihat penjelasan Ibn al-Qayyim dalam Zaad al-Ma‘ad, jld 6, ms 244-247.

[3] Sahih: Hadis daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad dan dinilai sahih oleh Hamzah Ahmad Zain dalam Musnad Ahmad – no: 9631 (Musnad Abu Hurairah, hadathana Ibn Numair...............).

[4] Hasan: Hadis daripada ‘Amr bin Rabi‘ah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Abu Ya’la, al-Hakim dan al-Thabarani, isnadnya dinilai baik (jayyid) oleh Husain Salim Asad dalam Musnad Abu Ya’la – no: 7195 (Musnad hadis ‘Amr bin Rabi‘ah, hadathana Abu Bakar bin Abi Syaibah.............). al-Suyuti menukilnya dalam al-Jamii’ al-Sagheir – no: 622 dan beliau mensahihkannya dan ini dipersetujui oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih al-Jamii’ al-Sagheir – no: 556.

[5] Sahih: Sebahagian hadis yang dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, di atas dengan lafaz al-Bukhari, lihat Sahih al-Bukhari – no: 5739 (Kitab Tibb, Bab Ruqyah al-‘Ain).

[6] Al-Baghawi – Syarah al-Sunnah (tahqiq & takhrij Syu‘aib al-Arna’uth, Maktabah Islami, Beirut 1983), jld 12, ms 163.

[7] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi, al-Nasa’i (Sunan & Kabir), Ibn Majah, al-Baihaqi (al-Kubra & al-Iman) dan lain-lain, dinilai sahih oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih Sunan al-Nasa’i (Maktabah al-Ma‘arif, Riyadh 1998) – no: 5509 (Kitab Memohon perlindungan, Bab Perlindungan dari ‘ain jin).


Kredit kepada : http://www.hafizfirdaus.com/ebook/HadisMusykil/tajuk25.htm

No comments:

Post a Comment