Kisah Taubat Pemuda
Tsa'labah Bin Abdurrahman
Tsa'labah Bin Abdurrahman
Tsa’labah
merupakan seorang sahabat Nabi SAW. Nama
sebenarnya ialah Tsa’labah bin Abdul Rahman, remaja berusia 17 tahun yang ada
misi dan visi yang hebat, terang lagi jelas. Tiada suatu pun yang mampu
membuatkan matlamat hidupnya goyah sehinggalah menghembuskan nafas yang
terakhir.
Setelah memeluk Islam, beliau selalu mengikuti
Rasulullah SAW mengajar. Jika Rasulullah berhajatkan sesuatu, Rasulullah SAW
akan khabarkan kepada Tsa’labah dan beliau akan menunaikannya.
Suatu hari Rasulullah menyuruh Tsa’labah mencari
sesuatu. Ketika dalam pencarian barang yang dihajati Rasulullah itu, Tsa’labah
telah melalui beberapa deretan buah rumah.
Tanpa disangka salah sebuah rumah yang dilaluinya itu
pintu belakang rumah tersebut tiba-tiba terbuka ditiup angin. Ketika itulah
Tsa’labah secara tidak sengaja terpandang ke dalam bilik air rumah tersebut dan
terlihatlah oleh beliau seorang perempuan sedang mandi.
"A'uzubillah (Aku berlindung kepada Allah)! Ya Allah aku takut nanti
malaikat Jibril memberitahu kepada Rasulullah SAW! Ya Allah, aku takut turunnya
ayat quran yang menyenaraikan aku dalam golongan orang yang berbuat dosa! Ya
Allah ..." begitulah
rintihan Tsa’labah.
Dia merintih sehingga dia
lupa akan barang yang dipesan oleh Rasulullah SAW. Dia melarikan diri dan
terjumpa satu bukit di pinggir Madinah yang di puncaknya ada sebuah gua.
Tsa’labah masuk ke dalam gua tersebut dan asyik menangis. Merasa kesal yang
amat sangat dengan dosanya itu. Walhal apa yang berlaku itu bukanlah disengajakannya.
Sementara itu, Rasulullah
SAW menantikan kepulangan Tsa’labah. Sudah beberapa hari berlalu, namun
Tsa’labah tidak balik. Lalu Rasulullah SAW mengarahkan Syaidina Umar RA untuk
mencari Tsa’labah.
Akhirnya Syaidina Umar
al-Khatab berjumpa Tsa’labah di tempat persembunyiannya di puncak bukit itu.
Umar berkata "Tsa’labah, Rasulullah mahu berjumpa kamu."
"Kenapa? Sudah turunkah ayat al-Quran tentang dosaku? Sudah
beritahukah Jibril kepada Rasulullah? Aku tidak mahu masuk neraka, aku tidak
mahu masuk neraka," kata Tsa’labah dalam ketakutan
yang amat sangat.
Oleh kerana Tsa’labah
sudah teramat lemah, lalu Syaidina Umar RA memimpinnya pulang ke rumah. Apabila
Rasulullah SAW menziarahi Tsa’labah, Tsa’labah sedang terlentang lalu
Rasulullah SAW meriba kepala Tsa’labah.
Tetapi Tsa’labah
mengetepikan kepalanya. Rasulullah bertanya, "kenapa
wahai Tsa’labah?"
"Wahai Rasulullah, kepala yang penuh dosa ini tidak layak untuk berada
di ribamu," kata Tsa’labah.
"Apa yang kamu mahu Tsa’labah?"
"Ya Rasulullah, aku mahukan keampunan Allah"
"Apa cita-cita kamu wahai Ta'labah?"
"Cita-cita aku hanya syurga Allah. Tolonglah doakan moga Allah
mengampunkan dosa-dosaku."
Lalu Rasulullah SAW
berkata, "wahai Tsa’labah aku menjamin
kepadamu apa yang kamu mahu dan cita-citamu. Inilah bukti taubatmu."
Tidak lama selepas itu,
Tsa’labah menghembuskan nafasnya yang terakhir di atas riba Rasulullah SAW.
Ketika jenazah Tsa’labah
siap dikafan dan tiba masa untuk dikebumikan, Rasulullah SAW pun datang tetapi
agak lewat. Para sahabat membuka jalan kepada Rasulullah untuk rapat ke kubur
Tsa’labah. Sungguh pun begitu, Rasulullah berjalan merapati kubur Tsa’labah
dalam keadaan perlahan dan seperti tersekat-sekat.
Sahabat-sahabat bertanya, "wahai Rasulullah, kami telah membuka jalan, mengapa
Rasulullah berjalan dengan tidak selesa?"
Rasulullah menjawab, "kamu tidak dapat melihat betapa ramainya malaikat
yang hadir menghantar Tsa’labah ke kubur."
Itulah kisah
hidup seorang remaja hebat bernama Tsa’labah. Betapa takutnya beliau dengan
azab Allah SWT walaupun beliau tidak sengaja terpandangkan perempuan yang
sedang mandi. Hingga menyebabkan beliau begitu malu bertemu Rasulullah, begitu
mengharap keampunan Allah SWT, dan akhirnya menghembus nafas terakhir di ribaan
insan mulia bernama Muhammad bin Abdullah, dan jasadnya diiringi malaikat ke
kuburan. Alhamdulillah.
Moral dari kisah remaja
bernama Tsa’labah ini, betapa dengan hanya terpandangkan wanita mandi itu pun
dirasakan ia sudah berdosa besar dan tidak layak diribai oleh Nabi. Bagaimana pula dengan kita? Layakkah???
Marilah
kita menyesal dan bertaubat terhadap segala dosa yang tidak disengajakan apatah
lagi yang sengaja, dengan taubat yang sebenar ’taubatan
nasuha’. Semoga kita termasuk
dalam golongan yang diterima taubatnya oleh Allah SWT, Amin.
No comments:
Post a Comment