Pages

Thursday, July 5, 2012

KELEBIHAN MALAM NISFU SYA’BAN

KELEBIHAN MALAM NISFU SYA’BAN

1. Daripada Makhul daripada Malik bin Yakhamir daripada Muaz bin Jabal daripada Nabi S.A.W telah bersabda: 
“Sesungguhnya Allah ta’ala memerhati makhlukNya pada malam nisfu(pertengahan) daripada Sya’ban maka Dia akan mengampuni semua makhlukNya melainkan orang yang syirik atau orang yang bermusuhan.” (Hadis ini isnadnya Hasan dan dikeluarkan oleh Ibn Habban, Al-Baihaqi dan At-Thobarani )

2.Daripada Hisham bin Hassan daripada ( Al-Hasan daripada) Usman bin Abi Al-’As daripada Nabi S.A.W telah bersabda :
“Apabila tibanya malam nisfu (pertengahan) daripada bulan Sya’ban, pemanggil akan memanggil : Adakah daripada mereka yang memohon keampunan maka nescaya diampun baginya ? Adakah daripada kalangan mereka yang meminta maka akan diberi? Maka tidak ada seseorang yang memohon sesuatu melainkan akan diberi melainkan penzina dengan kemaluannya ataupun orang syirik.” (Hadis ini isnadnya Hasan dan dikeluarkan oleh Al-Kharaiti, Al-Baihaqi dan imam Sayuti)

Keterangan Hadis

1. Hadis-hadis ini menjelaskan kepada kita bagaimana kelebihan bulan Sya’ban yang mana Rasulullah S.A.W banyak berpuasa padanya melebihi bulan-bulan yang lain.

2. Hadis-hadis ini juga menerangkan hukum sunat berpuasa pada bulan Sya’ban dan bukannya wajib.  Oleh itu baginda S.A.W kadang-kadang berpuasa penuh sebulan pada bulan ini dan pada suatu ketika baginda tidak berbuat demikian. Kita perlu ingat bahawa setiap perbuatan Rasulullah S.A.W merupakan sunnah fi’liyyah (sunnah yang berasaskan perbuatan) yang boleh dijadikan hujah di dalam mengeluarkan sesuatu hukum.

3. Baginda S.A.W juga menggalakkan kita agar di dalam melakukan sesuatu yang baik terutama dalam ibadat khusus seperti solat sunat, puasa sunat dan sedekah maka ia mestilah dilakukan secara berterusan (istiqamah) walaupun sedikit.

Kita kadang-kadang melakukan perkara ini secara banyak tetapi tidak berterusan (istiqamah) dan ia dilakukan apabila timbulnya perasaan rajin sahaja. Ini menyebabkan kita kurang merasai nikmat dan kesan daripada amalan tersebut.

Ini kerana apabila ia dilakukan secara berterusan akan mendatangkan kepada kita perasaan untuk menghisab dan menghitung diri sendiri secara berterusan dan ini akan melahirkan individu yang sentiasa berada dalam ibadat dan mengingati Allah setiap masa dan tempat sama ada ditikar sembahyang, ketika belajar mahupun ketika berkerja.

4. Galakan ini juga bertujuan untuk melatih dan membiasakan kita dengan berpuasa sebelum masuknya bulan Ramadhan yang memang kita mesti berpuasa padanya.

5. Baginda juga menekankan bagaimana seseorang muslim mesti percaya bahawa setiap amalan yang dilakukan bukanlah sia-sia malah ia akan diangkat kepada Allah untuk dihisab kualitinya. Kualiti ibadah dinilai daripada niat dan ikhlas seeorang di dalam melaksanakan sesuatu ibadah itu.

Apabila perasaan ini timbul sepanjang kehidupan dan peribadatan kita seharian akan menyebabkan kita semakin yakin kepada balasan Allah terhadap apa yang telah kita sama-sama tunaikan. Ini dapat menghindarkan diri daripada melakukan sesuatu ibadat sambil lewa dan penuh dengan perasaan malas dan juga mampu memberi peringatan agar jangan mendekati segala maksiat kerana setiap gerak laku kita diperhati dan dihisab oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.

6. Baginda S.A.W juga menjelaskan bagaimana adanya waktu-waktu tertentu yang mempunyai kelebihannya tersendiri (bonus) seperti pada hari Isnin dan Khamis serta pada bulan Sya’ban terutama pada malam pertengahan bulannya (nisfu sya’ban), malam al-qadar (Lalilatul Qadar) di bulan ramadhan dan sebagainya. Oleh itu dianjurkan kita merebut dan menggunakan kesempatan yang ada dengan berdoa dan beribadah kepada Allah.

Menjadi kelaziman umat Islam di Malaysia mengamalkan bacaan Yaasin sebanyak 3 kali pada malam nisfu sya’ban selepas solat maghrib di masjid mahupun surau. Amalan ini tidak pernah dilakukan oleh nabi dan para sahabat tetapi ulama mengharuskan sebagai suatu majlis/cara pengisian untuk menghidupkan malam nisfu sya’ban.  Tentunya bacaan al-quran, Yaasin zikir dan ibadah lain seumpamanya ada ganjaran di sisi Allah SWT. 

Tambahan pula dilakukan secara beramai-ramai tidakkah ianya sebagai suatu majlis zikir yang disertai dan dinaungi para malaikat bahkan para malaikat akan turut mendoakan serta memohon keampunan dan rahmat Allah SWT kepada orang berada di majlis zikir.

Dalam sebuah hadis menyebutkan :
Dari Abu Hurairah r.a. dan Abu Sa'id r.a mereka menyaksikan bahwa Rasulullah saw. bersabda : ”Tidaklah suatu kaum berkumpul dalam rumah Allah (mesjid) untuk membaca kitab Allah, saling mengajarkan sesama mereka, melainkan diturunkan kepada mereka sakinah, diliputi oleh rahmat, dikerumuni oleh para malaikat, dan mereka sisebut-sebut oleh Allah SWT di majlis para malaikat yang berada disisiNya” - Hadis riwayat Ibnu Abi Syaibah, Ahmad, Muslim, Tirmidzi, Ibnu Majah dan Baihaqi.

Imam nawawi rah.a. berkata, “Sakinah ialah sesuatu yang sangat istimewa yang meliputi ketenangan, ketenteraman, rahmat, kesejahteraan, dan lain-lain yang diturunkan bersama-sama para malaikat.”

Duduk iktikaf di masjid atau surau dengan pengisian majlis zikir seperti ini sementara menunggu waktu solat isyak adalah suatu ibadah dan diberi ganjaran pahala seperti orang yang sedang melakukan solat. Bahkan jika seseorang tidur sekalipun kerana menunggu waktu solat berikutnya insya Allah mendapat kelebihan daripada para malaikat yang mendoakan serta memohon keampunan dan rahmat Allah SWT kepadanya.

Dalam perkara rasulullah SAW ada bersabda ;
Maksudnya : Daripada Abu Hurairah ra. Katanya: Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesungguhnya sesiapa saja dari kalangan kamu yang duduk di dalam masjid kerana menunggu didirikan solat berjemaah maka dia akan dikira sebagai orang yang sedang melakukan solat selama mana dia tidak berhadas, sementara para Malaikat pula sentiasa berdoa untuknya dengan kata mereka: ‘Wahai Tuhan kami!! Berikanlah keampunan Mu untuknya dan cucurilah rahmat Mu ke atas dirinya.” - Hadis riwayat Imam Muslim.

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW juga memberi tahu kita maksudnya:  
Daripada Abu Hurairah ra. katanya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “Para Malaikat berselawat ke atas sesiapa saja dari kalangan kamu selama mana dia berterusan berada di tempat solat yang dia solat padanya selagi dia tidak berhadas. Para Malaikat juga akan berdoa untuknya dengan ucapan: “Wahai Tuhan kami!! Berikanlah keampunan untuknya. Wahai Tuhan Kami!! Limpah-kanlah rahmat Mu ke atasnya.” Hadis riwayat Imam Bukhari.

Pengisian seperti ini juga setidak-tidak akan turut mengimarahkan masjid dan surau daripada `sepi’ dengan harapan hidayah dan rahmat Allah akan diperolehi oleh mereka yang `jarang-jarang’ hadir solat berjemaah di dalamnya. Inilah kelebihan di dalam kelebihan yang lain ataupun `bonus’ untuk umat Islam.

7. Islam mengajar kita agar menjaga masa dan menggunakan peluang yang ada untuk beribadat bukannya dihabiskan begitu sahaja disebabkan kita tidak merasa berdosa apabila tidak mempedulikan masa. Orang kafir mampu menjaga masa dan menggunakan masa untuk perkara berfaedah serta tidak kurang juga digunakan untuk mengatur strategi di dalam menyerang Islam. Adakah kita terus hanyut dibuai mimpi sedangkan musuh Islam telah lama merancang untuk menghancurkan kita.

8. Islam mahu melahirkan umat yang berkualiti dalam ibadat, masa dan pekerjaan yang mana ia tidak menyuruh kita sekadar menunaikan ibadat khusus seperti sembahyang, puasa dan bersedekah sahaja tetapi juga menekankan agar setiap ibadat yang dilakukan mampu melahirkan umat yang sedar siapa mereka dan apa tanggungjawab mereka.

Ingatlah bahawa Rasulullah S.A.W pernah memarahi sahabat yang hanya mahu beribadat khusus sahaja sedangkan baginda S.A.W sendiri bukan sahaja merupakan orang yang kuat beribadat khusus, memohon keampunan malah baginda juga sebagai bapa, suami, ahli masyarakat dan juga yang paling besar dan berat adalah sebagai pemimpin negara.

Semuanya dikira ibadat jika dilakukan mengikut landasan Islam. Kita jangan termakan dengan dakyah sesat golongan kuffar yang menyatakan ibadat adalah perkara yang berkaitan dengan sembahyang, puasa, haji dan ibadat khusus yang lain sahaja tanpa mempedulikan kewajipan kita yang besar seperti tanggungjawab terhadap kerja, keluarga, masyarakat setempat dan juga pemerintahan negara.

9. Islam mencela mereka yang syirik, berzina dan bermusuhan yang mana doa mereka tidak dimaqbulkan.

Bibiografi
1. Fathul Bari syarah sohih Bukhari oleh Ibnu Hajar jilid 4 cetakan Maktabah Al-Risalah Al-Hadisah
2. Syarah Sohih Muslim oleh imam An-Nawawi jilid 15/16 cetakan Darul Makrifah
3. Kitab Fadahailul Auqat oleh Abi Bakar bin Al-Husin Al-Baihaqi di kaji oleh Adnan Abdul Rahman Majid Al-Qaisi cetakan Maktabah Al-Manarah Makah Mukarramah



CERMIN MATA TERAPI D'Mata
RM35.00 SAHAJA  (Termasuk Pos Laju)
Untuk Maklumat Lanjut / Tempahan / Pembelian
SILA KLIK IKLAN DI BAWAH

No comments:

Post a Comment