Friday, March 28, 2014

SYARAT MENDAPAT SYAFAAT NABI

4 SYARAT UNTUK MENDAPAT SYAFAAT NABI

Apa tujuan selawat?  Berselawat banyak-banyak bukan sebagai TANDA cinta kepada nabi. Tetapi tujuan kita berselawat banyak-banyak adalah sebagai syarat untuk mendapat syafaat nabi SAW. Ulamak kata untuk mendapat syafaat nabi ada 4 syarat :-

1. Umat Nabi Muhammad SAW
Umat selain nabi Muhammad SAW tidak (boleh) dapat.

2. Dosa yang menyebabkan masuk neraka tidak banyak
Di akhirat nanti kita akan diperlihatkan oleh Allah SWT segala amalan kita daripada umur baligh hingga kita mati sama ada amalan baik ataupun jahat.  Firman Allah dalam surah Az-Zalzalah : ayat 7-8 :

Maksudnya : “(7). Maka sesiapa berbuat kebajikan sekecil zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). (8). Dan sesiapa berbuat kejahatan sekecil zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)”

Segala amalan kita yang berupa dosa dan pahala akan ditimbang dengan Mizan (neraca) Allah yang Maha Adil. Lebar sebelah neraca Allah SWT seumpama antara langit dan bumi.  Firman Allah dalam surah Al-Qariah : ayat 6-9 :

Maksudnya : “(6) Setelah berlaku demikian, maka (manusia akan diberikan tempatnya menurut amal masing-masing), adapun orang Yang berat timbangan amal baiknya, (7). Maka ia berada Dalam kehidupan Yang senang lenang, (8). Sebaliknya orang yang ringan timbangan amal baiknya, (9). Maka tempat kembalinya ialah neraka "Haawiyah"

Orang berat timbangan pahalanya berbanding dosanya maka dia termasuk golongan yang berbahagia. Sebaliknya jika timbangan dosanya lebih berat berbanding pahalanya sengsaralah dia. Golongan ini nabi Muhammad tidak mengaku umat.

Ada pun jika timbangan dosanya berat sedikit daripada pahalanya Allah perintah malaikat masukan dia ke dalam neraka 10 hari (akhirat). Satu hari akhirat di sisi Allah SWT seumpama 1,000 tahun di dunia.  Jika 10 hari akhirat bermakna 10,000 tahun di dunia. Golongan inilah yang akan (boleh) mendapat syafaat Nabi Muhammad SAW.

Atas sebab itu ulama menyuruh kita agar segera bertaubat supaya timbangan pahala kita lebih berat daripada dosa kita.


3. Semasa hidupnya banyak berselawat ke atas Nabi SAW

Melalui syafaat Nabi Muhammad SAW akan menolong kita masuk syurga. Daripada hendak dimasukkan ke dalam neraka dengan sebab berat timbangan dosa daripada pahalanya tadi, akhirnya kita dimasukkan ke dalam syurga. Itulah syafaat.

Hendak dapatkan syafaat, (antaranya) kita kena banyakan berselawat. Ada ulama yang berselawat hingga beribu kali sehari. Mungkin kita akan dimasukkan ke neraka, tapi oleh kerana kita selalu berselawat, dapat syafaat Nabi maka kita dimasukan ke syurga.

Sabda Nabi saw : “Sesungguhnya manusia yang paling utama bersama-samaku pada hari Kiamat (iaitu yang paling hampir kepadaku dan yang lebih berhak dengan syafaatku pada hari Kiamat) ialah yang paling banyak berselawat ke atasku di dunia di kalangan mereka”. (Hadith riwayat Imam Tirmizi daripada Abdullah bin Mas’ud r.a)

Firman Allah (s.w.t) yang bermaksud :

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bershalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya”. (Surah Al-Ahzab: 56)

Selawat Allah SWT ialah pujian-Nya di sisi para malaikat. Selawat malaikat ialah doa memohon tambahan gandaan pahala. Dan selawat orang mukmin ialah berdoa memohon supaya Allah SWT melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada penghulu kita Nabi Muhammad SAW.

Sabda Rasulullah (S.A.W.) yang bermaksud: “Barang siapa yang berselawat ke atasku dengan 1 selawat nescaya Allah SWT akan berselawat ke atasnya 10 kali”. (Hadis riwayat Imam Muslim daripada Abdullah bin Amru bin Al-‘Ass r.a)

Sabda Rasulullah (S.A.W.) juga yang bermaksud: “Barang siapa yang berselawat ke atasku 1 kali nescaya Allah akan berselawat ke atasnya 10 kali”. (Hadis riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a)

Makna selawat dari Allah Ta’ala kepada hamba-Nya adalah limpahan rahmat, pengampunan, pujian, kemulian dan keberkatan daripada-Nya. [Lihat kitab “Zadul Masir”, 6/398]. Oleh itu Syafaat Nabi SAW merupakan rahmat Allah untuk umat Muhammad SAW di akhirat nanti.

Ada juga yang mengatakan selawat bererti taufik daripada Allah Ta’ala untuk mengeluarkan hamba-Nya daripada kegelapan (kesesatan) menuju cahaya (petunjuk-Nya), sebagaimana dalam firman-Nya :

“Dialah yang berselawat kepadamu (wahai manusia) dan malaikat-Nya (dengan memohonkan keampunan untukmu), supaya Dia mengeluarkan kamu daripada kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman”. (Surah al-Ahzab: ayat 43).

Menurut Kitab Mestika Hadis 1/259 : “Dan yang seafdhal-afdhalnya (paling baik) ialah selawat yang biasa dibaca selepas tasyahud akhir setiap solat (dinamai sebagai ‘Selawat Ibrahimiyyah’). Hal ini kerana para ulama telah menetapkan bahawa sesiapa yang bersumpah atau bernazar hendak berselawat kepada Nabi Muhammad SAW dengan seafdhal-afdhal selawat, tidak dihukum terlepas daripada wajib menepati sumpah atau nazarnya itu melainkan dengan membaca selawat itu.”

4. Sayang/cinta kapada Nabi SAW
Bukti sayang nabi bukan dengan banyaknya kita berselawat, bukan dengan  dengar ceramah, tetapi BUKTI & TANDA SAYANG NABI adalah sepertimana sabda nabi Muhammad SAW yang dikeluarkan oleh As-Sajzi dari Anas ra. dari Nabi SAW, baginda bersabda : “Barangsiapa yang menghidupkan sunnahku, maka dia telah mengasihiku, dan siapa yang mengasihiku dia akan memasuki syurga bersama-sama aku” . Hadis ini mengisyaratkan sayang Nabi adalah dengan menghidupkan sunnah Nabi SAW dalam kehidupan kita.

Bahkan iman seseorang itu tidak sempurna (tidak cukup) sehinggalah apabila Allah dan Rasulnya Muhammad SAW dicintainya melebihi segalanyaDiriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab r.a bahawa beliau telah berkata kepada Rasulullah SAW : “Wahai Rasulullah! Engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu melainkan nyawa yang ada di dalam diriku. Lalu Rasulullah s.a.w berkata:” Tidak sempurna iman seseorang sehinggalah aku lebih dicintai daripada dirinya sendiri. Umar pun berkata:” Demi Tuhan yang telah menurunkan al-Kitab kepada engkau, sesungguhnya engkau lebih aku kasihi daripada diri aku. Baginda berkata kepada Umar:”Sekarang iman engkau telah sempurna wahai Umar!”

Catatan Daripada Ceramah Umum Maghrib Ustaz  Hassan Din Al-Hafiz, Masjid Jamek Yong Peng 6-2-2014 dengan sedikit tambahan.